Bab 10: Close but Yet Seems So Far Away

9.6K 502 52
                                    


DEWAN makan Sri Anjung tampak cantik dihiasi dekorasi berwarna biru dan putih. Bunga-bunga segar berwarna putih yang digunakan menambahkan seri pada dekorasi majlis kahwin yang serba mewah itu. Matanya Nadya menangkap pelamin yang diletak di atas pentas. Bibirnya mengulum senyum.

"Mommy, cantiklah pelamin tu." Nadya mengait tangan wanita yang berjalan di sebelah yang langsung membuahkan senyuman di bibir wanita itu.

"Kahwin, kalau, nak merasa pelamin sendiri." Puan Warda usap tangan si anak yang masih erat memaut. Rasa penat penerbangan dari Pulau Pinang tidak terasa apabila berada di sisi Nadya. Ada saja yang menjadi topik perbualan mereka.

"Nak kahwin macam mana kalau tak ada calon." Nadya mencebik. Mata macam nak juling naik ke atas. Ayat yang tak patut terpacul dari mulut ibunya.

"Issac?" Puan Warda menebak. Dia tidak pernah mengenali rapat lelaki itu tapi, dia tahu wujudnya Isaac dalam hidup Nadya.

Halus saja hembusan nafas Nadya. Melayang terus mood apabila nama itu meniti bibir Puan Warda. Senyuman di bibir hanya tinggal garisan serba hambar. Terasa terbang jauh jiwanya saat itu.

"Kenapa sebut nama dia? Hilang mood Nad." Halus saja suara Nadya. Berbunyi merajuk.

"Kenapa mommy tak boleh sebut nama dia? Dia teman lelaki Nad, kan?"

"He was..." Nadya sengaja menekan nada suaranya. Dia tahu ibunya tahu, tapi sengaja mahu mengujinya begitu.

"Mommy tak fahamlah dengan orang muda zaman sekarang. Mudah jatuh cinta, mudah putus cinta. Semua benda nak ambil mudah." Puan Warda mula membebel.

"Mommy..." Nadya gigit bibir apabila kotak ingatannya mula memainkan segala kenangan bersama lelaki itu. Lagi menipis mood yang tersisa.

"Dia dah ada orang lain. Not even my fault." Meleret saja kedengaran suara Nadya. Kata-kata yang bersulam rasa kecewa.

"Ish, yang ni lagi mommy tak faham." Puan Warda berhenti melangkah.

"Tak faham apa?" Langkah Nadya turut terhenti. Mata bulat dan keningnya terangkat memandang Puan Warda.

"Mommy tak faham, macam mana anak mommy yang cantik macam ni pun boleh kena tinggal." Puan Warda menggeleng. Ada nada gurauan dalam kata-katanya. Cuba menyejukkan hati yang kian suram.

"Mommy. Janganlah guna ayat kena tinggal tu. Teruk rasanya pula. Tutur Nadya perlahan. Mata yang melilau ke segenap dewan menangkap seseorang sedang melambai ke arah mereka.

"Daddy tu." Nadya tarik tangan Puan Warda menghampiri meja.

"Lama sangat, daddy ingatkan dah tak jumpa pintu masuk." Seloroh Encik Radzi sebaik Nadya dan Puan Warda duduk.

"Bukan tak jumpa pintu masuk, tapi terpegun dengan dekorasi dalam dewan ni, daddy," jawab Nadya sambil tersenyum-senyum. Matanya masih dibiar meneroka sekeliling.

"Kalau dah suka dengan dekorasi macam ni, maknanya dah tak lama lagilah tu," balas Encik Radzi selamba membuatkan Puan Warda yang mendengar ketawa kecil.

"Apa yang tak lama laginya?" Nadya berpura-pura tidak faham. Nanti mulalah topik itu berlarutan sampai ke malam. Boleh panas telinga mendengar perancangan tak sabar nak bermenantu kedua ibu bapanya.

Encik Radzi ketawa.

"Daddy, Nadya baru 27 tahun. Tak puas lagi hidup. Tak puas lagi nak rasa hidup tanpa komitmen. Nanti dah kahwin, kena jaga makan minum suami. Menakutkan." Tergeleng-geleng kepala Nadya berserta dengan mimik di muka.

"Hidup bila ada komitmen akan mengajar kita jadi lebih bertanggungjawab." Puan Warda menyampuk. Mata sempat menghantar pandangan penuh makna pada suaminya di sebelah.

Once AgainWhere stories live. Discover now