Rizal menyidai tuala di ampaian. Matanya meninjau isterinya yang sedang melipat telekung. Hatinya serba-serbi tak kena. Kini mereka berdua telah berada di dalam satu ikatan yang dinamakan pernikahan. Terasa berat hati pula mahu tinggalkan Kuala Lumpur. Kejadian yang dilihatnya siang tadi membuatkan jiwanya gusar. Dalam gusar ada tanda tanya. Benarkah dia tidak tersalah pandang?
Seorang gadis yang begitu banyak kenangan bersamanya suatu ketika dahulu sedang beramah mesra dengan lelaki lain. Namun, mengapa gadis itu sedikit pun tak berasa janggal? Boleh bergurau senda dengan lelaki yang Rizal sendiri kurang pasti. Lusa dia akan pulang ke Pulau Pinang semula. Di mana sebenarnya tempat tinggal gadis itu sekarang?
Rizal hela nafas. Siapa lelaki yang bersama bekas tunangnya? Hatinya mula tak tenteram. Menyesal apabila mengenangkan perbuatan lampaunya. Dalam kepura-puraan sikapnya sebelum ini, ternyata dia masih jatuh hati pada kekasih lamanya. Bagaimana caranya untuk Rizal menebus segala penipuan?
"Abang..." Syuhaida menyapa meragut lamunan Rizal yang sudah jauh entah ke mana-mana. Lelaki itu berpaling.
"Ya?"
"Lusa abang balik ke Pulau Pinang pukul berapa? Kalau abang tak keberatan, kita singgah rumah mak teh dulu boleh? Dah lama dia ajak kita ke rumah dia. Tapi kalau abang sibuk, tak apa. Mungkin lain kali," maklum Syuhaida. Dia tahu perkahwinan mereka boleh dianggap masih baru. Rasa janggal itu masih ada.
Rizal tersenyum nipis. Wajah Syuhaida dia renung. Mengapa dia boleh bertindak bodoh begitu? Mengapa dia curang terhadap Mariah waktu itu? Rasa cinta kian membuak-buak dalam hatinya. Ada kala Rizal terfikir, mengapa dia sukar untuk menerima Syuhaida sebagai isteri? Bukankah dia yang mahu begitu? Apa kurangnya isterinya berbanding Mariah?
"Esok saya ada lagi satu seminar. Tak tahu sempat atau tak jumpa dia." Acuh tak acuh sahaja dia jawab.
"Mama awak ada apa-apa plan dengan mak teh?"
Syuhaida geleng. Dia menuju pula ke meja solek. Rambutnya yang lembap dikeringkan dengan tuala. Hujan di luar lebat sungguh. Syuhaida bangkit semula dari bangku sejurus menutup tingkap kamarnya.
"Tak ada. Mak teh sengaja ajak saya semalam. Dia dengar kita ada kat sini. Alang-alang tu, apa salahnya kita jenguk dia. Bukan selalu. Cuma, saya tak tahulah sama ada awak lapang atau tak."
Rizal menguak anak rambutnya ke belakang. Bagaimana dia harus memaksa hatinya untuk menyintai Syuhaida melebihi cintanya pada Mariah? Mampukah dia menolak semua rasa sayang terhadap Mariah dan memindahkan rasa itu kepada isterinya?
Lenggang-lenggok gadis itu yang lembut membuatkan dia mahu menyentuh Syuhaida. Tetapi cinta yang mencengkam mengakibatkan dia sendiri rasa terhalang untuk melakukan perkara itu. Untuk apa dia membelai wanita itu kalau tak ikhlas? Rumah tangga mereka hampir lima bulan terbina. Ingatannya terhadap Mariah masih utuh. Masa berlalu dirasakan begitu pantas.
"Nantilah saya usahakan. Saya takut saya sibuk aje. Kalau tak sibuk, boleh aje kita pergi. Kan?" Lelaki itu peluk bantal. Sesekali matanya mencuri pandang isteri yang masih tekun menyisir rambut. Dia telan liur. Tidak sama sekali dia menikahi Syuhaida kerana perempuan itu merupakan anak orang kaya. Ah! Dia juga keliru. Dia terlalu terburu-buru melangsungkan perkahwinannya bersama gadis itu. Adakah isterinya akan berasa tertipu sekiranya Syuhaida dapat meneka apa yang bermain dalam hatinya?
"Tak apa. Saya tak paksa. Lain kali aje kalau macam tu." Syuhaida berhenti dari menyikat rambut.
"Abang, esok saya nak teman mama pergi ke butik sementara tunggu abang habis seminar. Abang nak kirim apa-apa?"
"Tak ada kut. Awak keluar ajelah dengan mama awak."
Syuhaida tersenyum nipis. Kenapa suaminya langsung berubah? Riak wajahnya juga tawar. Sepatah yang ditanya, suku patah yang disahut. Wanita itu duduk di sisi Rizal yang sedang bersandar di kepala katil. Dia ikhlas mencintai lelaki itu dan menerimanya sebagai suaminya yang sah.
YOU ARE READING
Yang Tertulis Kelmarin
General FictionTajuk: Yang Tertulis Kelmarin Penulis: Tina Derika Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-22-9 Harga: RM22 (Semenanjung)/ RM25 (Sabah & Sarawak) Terbitan: September 2017 DAPATKAN SEGERA MELALUI APLIKASI KARYASENI DI GOOGLE PLAY ATAU APP STORE AND...