Bab 9

688 9 0
                                    

Sesekali dia mendongak menatap siling. Harraz mengeluh beberapa kali. Telefon bimbitnya setia di cuping telinga. Jemarinya menyentuh dahi. Kemudian, dia mencapai sebatang pen dari bekas alat tulis menconteng tarikh di kalendar. Mengira hari. Puan Bashira seperti memaksa Harraz pulang ke Brunei dalam masa terdekat. Aduhai...

"Ibu, Raz tahu ibu nak Raz balik tapi Raz tak tahu bila hari yang Raz lapang. Kat hospital ni ramai pesakit. Kerja pun makin banyak." Harraz cipta alasan.

"Dah lama ibu tak jumpa Raz. Baliklah. Seminggu pun jadilah. Ibu rindu sangat nak jumpa anak ibu. Nanti, Raz boleh balik Malaysia dengan Emi."

Emilia? Harraz geleng. Sebaris nafas dihela. Jemarinya mengetuk dada meja. Sepasang matanya menekur jubah putih yang tersangkut kemas di tepi rak buku. Mengapa perasaannya tak pernah setenang sebelum ini?

"Kalau ibu nak suruh Raz balik sebabkan Emi, Raz rasa tak perlu kut. Lagipun dulu semua orang percaya cakap Emi, kan? Sampai Raz kena halau. Sekarang?"

Puan Bashira turut menyesal dengan kejadian itu. Tak sepatutnya dia mengusir anaknya keluar dari rumah sehingga Harraz merajuk. Ya, walau itu kisah lama tapi tak mudah untuk Harraz lupakan. Kali ini dia mahu yakinkan sekali lagi kepada anaknya bahawa Emilia yang dahulu telah berubah menjadi seorang gadis yang baik. Penampilan dan perwatakannya juga jauh berbeza dari sebelum ini.

"Raz, ibu minta maaf sangat-sangat. Lepas kau pergi ke Malaysia barulah ibu tahu Emi yang tuduh Raz. Itu pun dia mengaku sendiri depan ibu dan abah. Emi menyesal buat Raz begitu. Raz, Emi dah tak sama macam dulu." Puan Bashira mengharapkan tiada sebarang dendam lagi yang terbuku dalam hati anaknya.

Harraz bangkit sambil bercekak pinggang.

"Ibu, dia dah berubah atau tak... Dia tetap Emilia. Pada Raz dia sama aje. Dia perempuan yang hipokrit. Pandai bermuka-muka. Raz kenal sangat dia, bu." Kakinya menghala ke sofa. Dia mengubah posisi telefon bimbitnya ke telinga sebelah kanan pula.

"Raz, itu Emilia lima tahun dulu. Dia dah tak sama. Tolonglah maafkan dia. Ibu tak nak kita simpan dendam. Mula-mula pun ibu marahkan dia. Lepas dua tahun kau tak ada kat sini, sekali lagi dia datang ke rumah dengan penampilan baru."

Harraz meraup muka. Sejak bila Puan Bashira lekas terpedaya? Dari luaran nampak molek, tapi dalaman? Tiada siapa yang tahu. Manusia boleh pakai topeng. Gerak laku, tutur kata, itu semua boleh jadi suatu lakonan spontan. Bibir merah Emilia sering beralaskan madu tapi berbalut racun. Lelaki itu ketap bibir.

"Penampilan tu bila-bila boleh berubah, bu. Tapi hati manusia lain. Benda tu diri dia sendiri aje yang tahu. Raz minta ibu jangan terpengaruh dengan sikap pura-pura Emi. Cukuplah."

"Astaghfirullahalazim, Raz. Kita tak boleh buruk sangka. Emi betul-betul dah berubah. Raz tak ada hak tahu cakap macam ni. Allah dah beri petunjuk kepada dia. Percaya cakap ibu," tekan Puan Bashira untuk kali kedua. Harraz tewas memangkah kata-kata ibunya itu. Benarkah? Bagaimanalah rupa Emilia sekarang?

"Raz, boleh ya balik sini sekejap. Bawa Emi ke Malaysia." Puan Bashira meringkaskan ayatnya. Harraz tak menyahut. Apakah yang bakal terjadi seandainya Emilia bekerja di hospital yang sama? Adakah Emilia masih menyimpan perasaan terhadapnya?

"Insya-Allah, Raz tak janji." Tawar saja nadanya.

"Raz, ibu merayu. Kita selesaikan semua ni dengan cara yang baik. Ibu tak nak kita berpecah. Ibu harap sangat, Raz balik dalam masa terdekat ni. Ibu dah janji dengan Emi yang ibu akan pujuk Raz. Dia pun dah bersedia nak terima hukuman daripada Raz." Tak putus asa Puan Bashira menggunakan cara untuk memancing anaknya. Alah, Harraz pun kalau nak ikutkan bukanlah seorang anak yang degil. Biasalah, ego lelaki...

Yang Tertulis KelmarinWhere stories live. Discover now