"Yay!" Hana bersorak gembira. Akhirnya dapat juga dia kerja baru. Kerja di kedai jam Colin yang terletak di Suria KLCC. Alhamdulillah! Hari ini, keletihannya berbayar juga. Berbaloi! Awal pagi, dia curi-curi keluar dari rumah. Fuh!
Hana tersengih-sengih sambil tangannya memegang beg silang yang tersangkut di tubuh. Tangan kanannya menyeluk kocek seluar mengeluarkan Samsung Mini Galaxy miliknya. Sepasang matanya mengecil tatkala terlihat nama Harraz terpampang di skrin alat itu. 30 Missed Calls? Terbelalak anak matanya melihat angka yang tertera.
Apa hal pula tiba-tiba cari aku? Errr, boleh tak kalau aku biarkan aje dulu? Bukan selalu aku nak seronok sorang-sorang, kan? soalnya sendiri. Hana lantas menyisipkan semula objek itu ke dalam poket. Wah! Gembira sungguh hati.
Leka melilau memandang pada bangunan tinggi itu barulah hatinya terusik untuk melihat jam di pergelangan tangan. Jantungnya berdebar. Makkk oiii! Empat petang?
Mampus aku, mampus! Harap-harap umi tak tanya mana aku menghilang. Terkocoh-kocoh dia mengeluarkan telefon pintarnya. Mahu menelefon Puan Ashikin yang sememangnya tengah risau. Sambil berlari-lari anak, sambil itu juga tangannya ligat keluarkan telefon dari poket. Pap! Tubuhnya dilanggar seseorang. Hana jatuh tersungkur. Lengannya menggesel lantai. Barang yang dibeli tadi tercampak hingga terkena kaki pemangsa. Pula! Berkerut-kerut wajah Hana menahan pedih.
Adoi! Siapalah manusia tak ada mata ni? Dia mendongak. Seorang gadis cantik bertudung tunduk mendekati dia.
"Maaf, cik..." Gadis itu memegang lengan Hana dan meniup-niup lembut.
"Maaf, saya terlanggar. Saya minta maaf banyak-banyak. Ada luka kat mana-mana? Saya boleh suruh suami saya bawa cik ke klinik."
Hana tersenyum nipis. Alahai, baiknya perempuan ini. Nampak gaya gadis yang tidak dia ketahui namanya itu seperti sedang mengejarkan sesuatu juga. Hana perlahan-lahan bangun.
"Tak apalah. Sikit aje. Awak pun nampak macam tergesa-gesa aje?" tanya Hana bersahaja. Lemah lembutnya perempuan bertudung lilit itu. Gadis itu bantu dia mengutip semula barang yang bertaburan di atas lantai. Hana menepuk-nepuk seluarnya. Huluran disambut mesra.
"Saya dari kedai jam tu..." Dia tuding jari ke arah sebuah kedai jam yang disinggah Hana sebentar tadi.
"Saya jumpa sepupu saya kat sana. Minta tolong dia betulkan tali jam saya. Lepas tu suami saya pula telefon, dia beritahu yang dia dah sampai kat sini. Tu saya nak cepat. Kami nak balik ke Pulau Pinang hari ni. Maaf, ya..." Satu per satu dia jelaskan. Harap Hana faham keadaannya.
"Eh! Kedai jam tu sepupu awak punya ke?"
Gadis itu geleng. Tak.
"Tu kedai papa saya," jawabnya ringkas.
"Papa awak?" Perghhh!
Mesti anak orang berada dia ni, teka Hana dalam hati.
Gadis itu angguk kepala.
"Ya, Yunus tu papa saya."
Sekali lagi Hana mahu tersedak.
"Dato Yunus tu ayah awak?" soalnya untuk kesekian kali dengan rasa kurang percaya. Gadis itu langsung tidak sombong. Lembut, sopan dan berbudi bahasa. Memang untunglah suaminya dapat isteri begini.
Gadis itu ketawa kecil.
"Ya, dia papa saya. Kenapa?" Sempat pula mereka berbual. Kata dah lambat.
Hana garu-garu kepalanya yang tak gatal.
"Oh! Saya baru aje minta kerja kat situ. Tak sangka jumpa anak tauke kat sini..."
"Oh, begitu. Nama saya Syuhaida." Gadis jelita itu menghulurkan tangan mahu berjabat.
YOU ARE READING
Yang Tertulis Kelmarin
General FictionTajuk: Yang Tertulis Kelmarin Penulis: Tina Derika Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-22-9 Harga: RM22 (Semenanjung)/ RM25 (Sabah & Sarawak) Terbitan: September 2017 DAPATKAN SEGERA MELALUI APLIKASI KARYASENI DI GOOGLE PLAY ATAU APP STORE AND...