Langkahnya semakin perlahan tatkala matanya melihat kereta Toyota Corolla terpakir di depan rumahnya. Tak lain tak bukan itu kereta Harraz. Rasa bersalah pula. Siap sedialah kena hambur dengan Puan Ashikin. Sudahlah keluar tanpa izin. SMS dan panggilan lelaki itu pun dia tidak jawab. Sampai ke rumah hampir jam enam tiga puluh minit petang. Tak tahu pula ada masalah dengan pengangkutan semasa pulang tadi. Hana tarik nafas sebelum memberi salam. Punat loceng ditekan. Automatik pintu pagar terbuka.
"Assalamualaikum." Dia memberi salam. Degupan jantungnya deras dan terasa bergoncang-goncang. Hana telan liur. Belum sempat dia mengetuk daun pintu...
"Waalaikumussalam. Hana, kau pergi mana?" soal Yusnita khuatir. Tubuh adiknya dipandang dari atas ke bawah. Ya, adiknya itu semakin keras kepala. Makin dilarang makin dia buat.
"Ha... Hana..."
"Ha! Balik pun," celah Puan Ashikin sambil bercekak pinggang. Mukanya merah menahan marah. Hana tunduk. Rasa bersalah. Perlahan-lahan dia melangkah masuk. Sedikit terkejut apabila tubuh seorang lelaki sedang duduk di atas sofa membelakangkan dirinya.
"Kan umi dah cakap, kalau nak keluar beritahu umi dulu! Dahlah keluar sorang-sorang. Harraz pun tak teman!" tambah ibunya lagi. Lama dia pendam sabar.
"Sorry, umi. Hana tak sengaja."
"Tak sengaja?! Kau pergi mana, hah? Orang telefon berkali-kali tak jawab. Seharian kau buat umi risau. Karang kena culik, kena ragut siapa yang susah?"
Hana geleng. Ke situ pula perginya! Alahai, dia bukan budak kecil yang tak pandai jaga diri.
"Umi, Hana retilah jaga diri. Umi tak payahlah kalut sangat."
"Mana umi tak kalut? Kau tu baru aje..." Ayatnya tergantung. Takkan dia mahu melancangkan lagi lidahnya untuk menyambung kata? Puan Ashikin jeling Harraz yang juga membalas renungannya.
Hana mendekati Harraz yang diam sejak tadi. Anak tekaknya terasa kelat. Dia seperti dapat mengagak pasti lelaki itu turut dimarahi ibunya. Huh! Harraz merengus. Sikap Hana memang menyakitkan hati. Yang lebih parah, lelaki itu kerap jadi mangsa. Kadang-kadang dia sungguh penat. Apa-apa kejadian, Puan Ashikin selalu cari Harraz. Terganggu kerjanya di hospital.
Kalaulah aku tak terlanggar minah ni dulu, mesti sekarang ni aku dah bersenang-lenang. Harraz berdehem. Sekarang, dia terpaksa akur dengan setiap satu perintah Puan Ashikin. Urmmm... Silapnya sendiri kerana pernah berjanji untuk terus setia tak kira apa jua. Harraz tarik nafas. Sakit batinnya memendam perasaan sendiri. Seksa!
Jika cintanya dibalas Hana sekarang, tak mungkin perkara yang sama akan berlaku pada masa hadapan. Barangkali rasa kasih Hana boleh bertukar jadi kebencian. Kan?
"Awak..." tegur Hana. Harraz mendongak. Ada senyuman nipis di bibir Harraz. Dia meraup muka.
"Awak dah balik?" tanyanya bernada tawar. Harraz bangkit mahu pulang. Penangan bebelan Puan Ashikin memang menguji emosi.
"Saya minta diri dulu, mak cik. Assalamualaikum." Harraz menyeluk kocek seluar mengeluarkan gugusan kunci kereta. Hana berkerut. Dia mengejar langkah lelaki itu. Puan Ashikin dan Yusnita saling berpandangan dan membiarkan sahaja Hana dan Harraz berurusan di luar.
"Harraz!" panggil Hana sambil menyarung selipar. Laju Hana mengejar lelaki itu.
"Harraz!" Seruannya masih tak diendahkan. Dia tarik sedikit baju kemeja di tubuh lelaki tegap itu. Hana beranikan diri bertentang mata dengan Harraz. Harraz membalas dengan renungan yang bersahaja.
"Awak nak apa?"
"Awak marah?" Soalan berganti soalan. Hana gigit bawah bibir.
Harraz ketawa sinis. Dah tahu lagi mahu tanya!
YOU ARE READING
Yang Tertulis Kelmarin
General FictionTajuk: Yang Tertulis Kelmarin Penulis: Tina Derika Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-22-9 Harga: RM22 (Semenanjung)/ RM25 (Sabah & Sarawak) Terbitan: September 2017 DAPATKAN SEGERA MELALUI APLIKASI KARYASENI DI GOOGLE PLAY ATAU APP STORE AND...