Selesai sarapan, Hana bersiap mengenakan pakaian yang sesuai di tubuhnya. Tudung yang sedondon dengan baju dipadankan. Sejurus selepas itu, Puan Ashikin terus menghantar anaknya. Tiga puluh minit Hana menunggu Harraz di lobi hospital. Dia menghenyakkan punggung di atas sofa sambil menyelak majalah. Ada kalanya, dia memandang makhluk yang keluar masuk dari pintu utama. Hana hela nafas seraya mengetuk-ngetuk jari di atas naskhah majalah yang dipegang.
Tiba-tiba kepalanya terasa sakit. Hitam putih bayangan sesuatu yang sukar untuk dijelaskan melintasi mindanya. Dia seakan ternampak kelibat seorang lelaki. Siapa? Dia menggesa otaknya untuk ingat jejaka itu. Argh! Tangannya memicit dahi. Mukanya mulai pucat.
"Hana," tegur satu suara yang agak garau dari belakang. Harraz menanggalkan jubah putihnya. Dia menghampiri pesakit yang pernah dirawat sebulan lalu. Tak keruan dibuatnya.
"Awak tak apa-apa? Kita naik atas dulu, jom. Saya cek keadaan awak." Harraz sedikit cemas melihat wajah Hana yang berpeluh. Perempuan itu menggeleng. Dia tak mahu. Tak nak buang masa dengan rawatan.
"Tak nak. Saya datang sini nak jumpa awak." Hana kuatkan diri. Harraz hembus nafas. Degil pula pesakitnya hari itu. Dia terus berdiri sambil membetulkan pakaian yang sedikit berkedut. Lengan kemeja disingsingkan hingga ke paras siku. Stetoskop dia masukkan ke dalam kocek jubah.
"Erm, okey saya tahu. Kakak awak pun ada beritahu semalam yang awak teringin nak jumpa saya. Tapi kalau apa-apa jadi kat awak, saya yang kena bertanggungjawab. Jadi sebelum kita keluar, apa kata awak ikut saya ke bilik rawatan sekejap."
Hana tegar terhadap pendiriannya. Dia sudah letih dengan rawatan. Lantas dia melangkah keluar dari bangunan itu. Harraz mengejar perempuan bertudung itu dari belakang. Apa angin Hana siang-siang itu? Tersalah minum atau makan ke? Laju saja tapak kakinya meluru tanpa menghiraukan seruan Harraz.
"Hana!" panggilnya.
Hana terus memekakkan telinga. Menuruni anak tangga. Berselisih sesama manusia yang mendaki tangga.
"Hana..." Beg yang tersangkut di bahu gadis itu ditarik. Menghentikan perbuatan Hana daripada terus melangkah. Anak mata mereka saling bersabung. Renungan mengancam dari perempuan itu menyapa kerutan di dahi Harraz.
"Okey, okey." Harraz angkat sepasang tangannya mengaku kalah. Entah mengapa Hana sudah tak mahu mendengar kata. Yalah, dia faham. Sedangkan diberi ubat pun, pesakit malas mahu makan. Inikan pula sakit yang seperti Hana.
Harraz mengeluh.
"Sekarang awak nak pergi mana?"
Reaksi Hana serius. Badan tegap Harraz dipandang atas bawah.
"Saya nak awak temankan saya cari kerja."
"Kerja? Kat mana awak nak kerja?" soalnya sedikit tak percaya. Kepala yang tak gatal digaru. Apa yang Hana merepek ni?
Hana angguk mengeyakan.
"Mana-mana pun boleh." Sepatah yang ditanya sepatah yang dijawab. Hana memandang Harraz yang jelas risau. Apalah yang dirisaukan sangat? Dia hairan, mengapa uminya dan lelaki itu asyik melayannya seperti kanak-kanak? Dia bukannya anak kecil yang belum cukup akal. Dia perlukan ruang untuk belajar makna berdikari. Bukan mengurung diri sepanjang hari.
Harraz menguak anak rambutnya. Haih! Lagi satu masalah. Bibirnya diketap rapat.
"Hei, awak baru aje keluar dari hospital. Awak tak boleh melulu macam ni."
"Kenapa tak boleh? Saya dah okey. Saya nak awak temankan saya, itu aje. Dua hari duduk kat rumah sangat membosankan saya." Hana pusing tubuh meneruskan perjalanan. Harraz mengejar Hana. Kali ini dia benar-benar hairan. Degilnya Hana.
YOU ARE READING
Yang Tertulis Kelmarin
Narrativa generaleTajuk: Yang Tertulis Kelmarin Penulis: Tina Derika Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-22-9 Harga: RM22 (Semenanjung)/ RM25 (Sabah & Sarawak) Terbitan: September 2017 DAPATKAN SEGERA MELALUI APLIKASI KARYASENI DI GOOGLE PLAY ATAU APP STORE AND...