Tersentak daripada tidur. Harraz menguap. Ya Allah! Lama dia terlelap rupa-rupanya. Dia menghidupkan suis komputer. Tangannya meraup muka untuk yang kali yang ke berapa. Apakah dia juga berasa tersepit? Siapalah bekas kekasih Hana yang diceritakan Puan Ashikin? Jemarinya lincah menaip sesuatu. Tak keruan apabila fikiran Hana benar-benar dirasuk oleh keluarga sendiri. Termasuk juga dirinya yang kerap berdalih-dalih kisah.
Mungkin hasrat Puan Ashikin ada benar dan kebaikannya juga untuk sementara waktu ini. Namun, perkara itu membebankan Harraz yang terkepit dengan situasi. Kadang-kadang ada rasa bahagia dia bersemuka dengan insan bernama Hana. Lelaki itu bersandar. Cinta? Harraz ketawa sinis. Ah! Merepek.
Takkanlah aku suka kat Si Hana tu? Gilalah kau, Raz!
Sungguh dia gerun, sungguh dia khuatir untuk mengakui perasaannya yang semakin terpaut dengan Hana. Risau seandainya cintanya dibalas dengan sebuah kebencian.Warna akal dan matanya kian kelabu.
Apa reaksi wanita itu sekiranya di penghujung antara kisah mereka tercetus beberapa tanda tanya? Ya, waktu itu Hana pasti akan menyoal siapa Rizal? Siapa Harraz Nazran? Siapa yang telah membuatkan dia cedera? Juga, mengapa Harraz sengaja berlakon? Harraz tarik nafas.
Maaf, Hana. Kepalanya jatuh ke atas meja. Pening kepala! Harraz pejam mata. Rapat. Sanggupkah dia hentikan semuanya? Hutang kesalahannya belum langsai. Dia... Dia penyebab segala punca hingga menjadi bimbang kepada kemunculan 'Hana' akan datang.
Eee, yang geramnya dengan mak dialah. Beragaklah kalau nak ugut orang pun, bisik hati Harraz geram.
JEMARINYA menari-nari di atas petak-petak abjad papan kekunci mengarang sesuatu. Harraz senyum sendiri. Jujur, semakin lama bersama Hana, hatinya semakin tertarik. Mana mungkin dapat singkirkan perasaan itu begitu sahaja. Harraz dan Hana begitu ceria setiap kali mereka bertemu. Tapi apakah keceriaan hari ini akan berubah menjadi tusukan ngilu antara mereka kelak? Adakah Hana akan membencinya? Dia pula bakal terasa sakit seandainya kehilangan Hana.
Berlakon. Rupa-rupanya bukanlah kerja mudah. Terlalu banyak pembohongan yang terpaksa dia lakukan. Huh!
Telefon bimbitnya berdering minta disahut. Harraz terus menekan punat hijau.
"Helo, assalamualaikum..."
"Waalaikumussalam. Hai, Harraz tak tidur lagi?" ceria suara Hana di hujung talian. Dia tersenyum nipis. Jari telunjuk menggaru kening.
"Hai, Hana. Errr..." Harraz kerling waktu yang tertera di skrin komputer. Hampir dua belas tengah malam.
"Belum. Ada kerja sikit. Tadi tertidur. Awak?"
Hana ketawa kecil.
"Belum juga. Saja aje telefon awak. Sebab tak boleh tidur. Tapi awak pula ada kerja. Awak buat kerja apa?" Sempat Hana bergurau. Harraz berdehem.
"Buat research sikit-sikit sambil baca artikel dalam Internet."
Harraz membiarkan Hana bersuara lagi. Apa yang ditanya, dia akan jawab. Fikirannya benar-benar kosong. Telefon masih terlekap di cuping telinga.
"Saya ganggu?"
"Tak, tak. Tak apa. Ada apa yang awak nak cakap?"
"Harraz." Hana di hujung talian mengusap sekeping foto mereka berdua semasa di laman rumah bermain buaian. Sungguh dia ingin tahu bagaimana dia boleh berada di kawasan rumah yang indah itu. Jadi, niat hatinya mahu meminta Harraz menceritakan kembali apa yang dia telah lupa.
"Urmmm?"
"Saya tengah tengok gambar awak."
"Oh! Gambar yang mana, eh?" Terbabas soalan. Pap! Dia menampar bibirnya. Menggatal tanya soalan tu! Ah! Tapi kalau aku tak tanya, dia yang akan tanya aku. Harraz berdehem.
YOU ARE READING
Yang Tertulis Kelmarin
General FictionTajuk: Yang Tertulis Kelmarin Penulis: Tina Derika Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-22-9 Harga: RM22 (Semenanjung)/ RM25 (Sabah & Sarawak) Terbitan: September 2017 DAPATKAN SEGERA MELALUI APLIKASI KARYASENI DI GOOGLE PLAY ATAU APP STORE AND...