Bab 11

632 9 0
                                    

Bagasi diletakkan di tepi dinding. Siap sudah dia berkemas hampir setengah jam. Harraz mengibas-ngibas baju yang tersarung di tubuh mengurangkan bahang. Panas. Dia membawa langkah ke ruang tamu. Suis televisyen dihidupkan sambil bersantai di atas sofa. Alat kawalan jauh dipusing-pusingkan menghilangkan rasa bosan. Jam empat petang dia akan berangkat ke Brunei.

Harraz merehatkan tangan di sisi sofa. Terasa kosong tanpa kerja. Syafiq pula tidur memanjang. Eloklah tu. Mentang-mentang hari ini bercuti.

Siaran ulangan filem Mom At Sixteen di Hallmark Channel ditonton dengan pandangan bersahaja. Kisah seorang anak dan pelajar yang masih bersekolah. Berumur enam belas tahun melahirkan anak kepada kekasih hati tanpa restu seorang ibu yang begitu inginkan yang terbaik buat anaknya.

Teringat Harraz pada satu peristiwa di mana seorang gadis muda meminta supaya menggugurkan kandungannya yang berusia tiga bulan. Sanggup untuk membayar beratus ribu ringgit. Harraz cuma mampu menolak. Kemalangan yang berlaku ke atas Hana sudah dianggap suatu kebodohan inikan pula mahu membuat perkara keji begitu. Nauzubillah.

"Wei, Raz," Syafiq memisat mata. Wah! Sedapnya tidur.

Ding dong! Loceng pangsapuri Laman Mutiara berdenting. Siapa pula yang datang? Syafiq merelakan diri menuju ke pintu utama. Harraz berkerut. Sejak bila pula temannya itu bangkit daripada tidur? Syafiq mengintai dari lubang pintu siapa gerangan tetamu yang hadir.

"Assalamualaikum," suara seorang wanita memberi salam.

"Waalaikumussalam," jawab Harraz dan Syafiq serentak.

"Siapa datang?" soal Harraz. Syafiq mengukir senyuman tawar. Dia tak menjawab pertanyaan lelaki itu sebaliknya membuka pintu. Membuntang biji mata Harraz melihat Puan Ashikin menerpa masuk. Syafiq meluaskan daun pintu dan pintu cermin memandangkan wanita itu hadir berseorangan.

"Mak cik, jemput duduk." Harraz menolak segala surat khabar dan majalah di atas meja. Berselerak. Dia menyusun naskhah-naskhah itu lalu disambut Syafiq.

Puan Ashikin menyimpulkan senyuman.

"Maaf, mak cik datang tak beritahu."

"Tak apa. Mak cik nak minum?"

"Biar saya buatkan," sampuk Syafiq. Meluru dia ke dapur membancuh minuman. Puan Ashikin meliarkan matanya ke serata rumah yang dihuni oleh dua orang doktor itu. Fail menimbun di atas meja makan. Risau pula dia terjah semasa Harraz sedang sibuk.

Aik, dia tak kerja ke hari ni? Puan Ashikin betulkan duduk.

"Ada apa mak cik ke sini?"

"Raz mesti tahu yang Hana dah mula kerja, kan?"

Harraz angguk kecil. Dia menyilangkan jemarinya. Syafiq muncul kembali bersama dua muk berisi Nescafe panas. Sejurus itu terus dia menyorok di belakang dinding. Mencuri dengar perbualan Harraz dan Puan Ashikin. Apa yang serius sangat sampai Puan Ashikin datang ke rumah?

"Semalam Hana jumpa Rizal. Dia orang terserempak di KLCC."

Harraz terkedu. Dia menggaru kepala. Lama wanita berhijab itu diam.

"Harraz rasa apa tujuan Rizal kali ini?" tanya Puan Ashikin lagi.

"Entahlah, mak cik..." Tersarat beban lidahnya untuk berkata-kata.

"Eddy Rizal tu lelaki yang memang tak reti malu, juga satu-satunya lelaki yang masih tak tahu apa-apa soal hidup Hana sekarang."

Harraz tetap bereaksi biasa. Seolah-olah jiwanya tenang setenang air mukanya. Nafas panjang dihela. Harraz menelan liur. Halkumnya bergerak-gerak. Sungguh dia tak tahu apa yang wajar dia balas. Fikirannya juga kusut.

Yang Tertulis KelmarinWhere stories live. Discover now