Pap! Satu tepukan singgah di bahu Harraz. Dia mendongak.
"Haaa... Termenung! Nah." Syafiq menghulurkan satu tin minuman Sarsi kepada teman serumahnya. Lelaki itu ketawa.
"Kenapa tak tidur lagi? Tadi apa cerita?" soal Syafiq bersahaja.
Harraz hela nafas. Syafiq satu-satunya sahabat yang tahu segala kisah. Dia juga antara doktor yang bertugas di bilik pembedahan sewaktu Hana kemalangan gara-gara dirinya yang terlanggar perempuan itu dalam keadaan hujan yang sangat lebat. Dia bangkit menuju ke jendela.
"Hana," jawabnya sepatah. Terus Syafiq berkerut. Dia bangun menghampiri Harraz seraya meneguk tin minuman. Seakan faham masalah yang membelit fikiran Harraz.
"Oh! Apa cerita kes petang tadi? Kau dah terus terang ke dengan Hana?"
Dua soalan itu dijawab dengan sekilas gelengan daripada Harraz.
"Petang tadi dia sendiri yang merayau. Hana kata dia pergi cari kerja. Entahlah. Aku rasa penatlah terus-terusan macam ni. Boleh jadi gila aku dibuatnya." Dia meneguk lagi. Banyaknya kereta yang lalu-lalang di bawah. Walau sudah hampir sepertiga malam, jalan raya masih sibuk. Mengacau-bilaukan lagi minda Harraz. Dia meraup wajah dengan telapak tangannya yang basah dek sisa sejuk yang berpeluh pada tin minuman tadi.
"Oh!" Syafiq angguk.
"Kau rasa aku ni bodoh ke?" Sungguh! Harraz buntu dia sudah tak tahu apa yang harus dia tanyakan lagi. Syafiq menepuk bahunya. Sejak di awal kisah dia mengerti perasaan Harraz. Kerana dia juga hampir-hampir terjebak dalam kes ini. Atas alasan Syafiq juga antara doktor yang bertugas merawat Hana pada asalnya sebelum diberikan kepada Harraz.
"Aku faham. Kau tak bodoh, Raz. Kalau akulah ada di tempat kau, mungkin aku akan rasa benda yang sama. Tapi kau kena ingat, kau tak boleh main sergah aje. Hana tu belum sembuh. Aku tengok dia pun... Kadang-kadang aku kesian juga. Dia tak tahu apa-apa."
Harraz hela nafas berat.
"Bukan selamanya Hana akan hilang ingatan. Lambat-laun dia akan ingat segala-galanya. Waktu tu mungkin Hana juga terasa diperbodohkan oleh orang-orang sekelilingnya. Aku tahu kesalahan aku kat dia besar. Bukan kesalahan aku langgar dia tapi kesalahan sebab aku dah banyak tipu dia. Aku tak rasa dia akan maafkan aku." Gusar suaranya jelas terpancar. Sepasang anak matanya tekun merenung langit gelap.
"Macam mana aku nak hentikan semua ni? Kalau boleh, aku tak nak terlalu rapat dengan dia. Realitinya aku ni orang baru bagi Hana. Tapi... Mati-mati dia anggap aku kenalan lama dia. Sedangkan aku ni bukan siapa-siapa."
"Sumpah aku cakap aku makin nak gila ikut perintah umi Si Hana tu. Boleh sewel kepala aku kalau macam ni, weh. Aku rasa aku patut cakaplah yang aku nak berhenti daripada semua ni. Apa nak jadi, jadilah. Aku kena ambil langkah untuk berjauhan dengan anak dia."
"Boleh ke kau berjauhan dengan perempuan tu? Macam aku tak tahu yang kau sebenarnya simpan perasaan pada dia, kan?"
Harraz tersentak. Huh? Reaksinya membuatkan Syafiq ketawa.
"Raz, aku yakin yang kau takkan berjauhan dengan dia. Aku boleh nampak semuanya. Sampai bila kau nak pendam hati tu?" Syafiq menghentikan ayatnya. Dia segera mengalih perhatian. Harraz menjongket sepasang keningnya.
"Kenapa? Memang eloklah aku pendam."
Syafiq gigit bawah bibir.
"Aku rasa Hana anggap kau lebih dari seorang kawan," responsnya ringkas. Jururawat di hospital pun ada yang mengatakan mereka berdua seperti kekasih.
"Jangan merepeklah, Syafiq. Aku dah janji kat orang tua dia yang aku takkan jatuh cinta dengan Hana. Aku ni kaki penipu! Huh." Kusut fikirannya begitu menambahkan keyakinan dalam hati Syafiq bahawa Harraz tiada pilihan lain.
YOU ARE READING
Yang Tertulis Kelmarin
General FictionTajuk: Yang Tertulis Kelmarin Penulis: Tina Derika Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-22-9 Harga: RM22 (Semenanjung)/ RM25 (Sabah & Sarawak) Terbitan: September 2017 DAPATKAN SEGERA MELALUI APLIKASI KARYASENI DI GOOGLE PLAY ATAU APP STORE AND...