*Disclaimer: Cerita ini fiksyen semata-mata.
Tengahari itu penduduk kampung beramai-ramai membanjiri Padang Mat Sirat. Semenjak semalam lagi ada orang datang memberi perkhabaran, “Datuk Pekerma Jaya mahu menjatuhkan hukuman kepada Mahsuri dan Deramang. Khabarnya mereka bermukah sehingga Mahsuri melahirkan anak!”
Soal seseorang, “Bukankah Mahsuri itu isterinya Wan Derus? Adik ipar Datuk Pekerma Jaya sendiri?”
Balas seorang yang lain, “Sudah berminggu-minggu Wan Derus pergi berperang dengan Siam di Kuala Kedah. Sebab itu Mahsuri mencari pengganti. Tambahan pula, Deramang yang menumpang di rumah Pandak Mayah, ayahnya Mahsuri itu berwajah tampan. Pandai pula bergurindam dan bersyair. Hati perempuan mana yang tidak terpikat?”
Bidas rakannya pula, “Ah, apalah sangat Si Deramang itu? Kalau hendakkan wajah cantik, aku pun cantik juga. Kalau mahu yang pandai bersyair, aku pun pintar juga. Bila-bila masa sahaja Mahsuri hendak, aku sedia! Kecil tapak tangan, nyiru aku tadahkan!”
“Kau tahu kenapa Mahsuri tidak memilih engkau?” Kawan yang lain mencelah. “Apa yang kau tidak punya hanyalah harta dan kekayaan!” Ejekan pemuda itu disambut dengan gelak-tawa.
Setelah beberapa ketika, sampai jua mereka ke Padang Mat Sirat. Sama-sama mengambil tempat di celah orang ramai. Ada yang memanjat pohon kelapa untuk melihat dengan lebih jelas. Tidak kurang yang datang dengan membawa sama lembu dan kambing. Manakala yang tua-tua datang dengan mulut yang masih merah, dibasahi sirih dan gambir.
Keadaan hiruk-pikuk bertukar sunyi apabila Datuk Pekerma Jaya tiba dengan tandu. Isterinya Wan Mahora mengikut rapat. Datuk Pekerma Jaya mengisyaratkan supaya Mahsuri dan Deramang dibawa ke hadapan untuk dibicarakan. Mahsuri dan Deramang diheret dan diikat ke pohon kelapa, berhadapan dengan semua orang.
Apabila Datuk Pekerma Jaya seakan teragak-agak hendak memulakan bicara, maklumlah, orang yang dituduh itu adalah iparnya sendiri. Wan Mahora segera menyinggung. Ujar Wan Mahora perlahan tetapi tegas, “Lebih cepat kita bermula, lagi mudah urusan dan kita dapat pulang ke rumah sebelum senja.”
Ketika perbicaraan dimulakan, Deramang membantah dengan keras. “Atas dasar apa pertuduhan ini dijalankan? Adakah kalian punya saksi yang melihat dengan mata kepala sendiri, saya ke rumah Mahsuri?”
Soalan Deramang itu menyebabkan Wan Mahora tersungging. Dia mengisyaratkan dengan ekor mata, meminta empat orang lelaki tampil ke hadapan.
Melalui tubuh badan yang kecil dan kulit yang gelap, segera diketahui bahawa empat orang itu bukanlah orang tempatan. Sebaliknya merupakan orang laut yang hidup berpindah-randah dari satu tempat ke tempat yang lain. Mereka merupakan peniaga kecil-kecilan dan diketahui umum akan berbuat apa sahaja demi wang. Sebahagian besar daripada mereka turut terlibat sebagai lanun yang menyerang pulau-pulau kecil sekitar perairan Kedah.
“Kami menyaksikan sendiri mereka berdua bermukah di bilik Mahsuri.” Pendek kata-kata mereka, namun cukup untuk membuatkan Mahsuri menjerit.
“Saya tidak pernah menduakan suami saya!” Air mata bercucuran membasahi pipi wanita yang masyhur sebagai tercantik di Langkawi. Namun begitu, tiada sepicing pun simpati daripada orang yang melihat.
“Diam!” Jerit Datuk Pekerma Jaya. “Mahsuri dan Deramang didapati bersalah dan dijatuhkan hukum bunuh!”