Kapal kecil yang lusuh itu menarik perhatian semua orang di jeti Kuah. "Mereka telah kembali! Pemuda-pemuda Langkawi telah pulang dari medan perang!"
Penduduk Langkawi segera berpusu-pusu ke jeti untuk bertanya khabar saudara yang diutus menentang Siam. Namun begitu, kapal itu hanya membawa sekumpulan kecil pemuda berwajah muram yang penuh luka di badan. Sebaik sahaja kelibat Wan Derus kelihatan, bisik-bisik mulai kedengaran. Ada yang menyindir, tidak kurang juga yang meluahkan rasa simpati.
Wan Derus melihat di kalangan orang di jeti, kalau-kalau ada terselit wanita yang sangat dicintainya. Isteri yang menjadi pelengkap hidup. Riak Wan Derus kembali muram tatkala menyedari Mahsuri tidak berada di situ. "Barangkali Mahsuri sibuk mengurus rumah." Dia cuba memujuk diri.
Seperti menyedari dirinya menjadi tumpuan ramai, Wan Derus berhenti melangkah. Soal Wan Derus, "Mengapa kalian memandang saya begitu? Ada sesuatu yang tidak saya ketahui?"
++++
Lemah-longlai seluruh sendi tubuh Wan Derus apabila perkhabaran itu sampai ke telinganya. Gugur air mata tatkala mengetahui nasib yang diterima oleh Mahsuri. Luluh mendengar tangisan anak kecil yang mendambakan ibunya.Langkah Wan Derus berat untuk dibuka. Luka di hati lebih parah daripada luka dek mata pedang. Akhirnya Wan Derus tiba di pintu rumah Datuk Pakerma Jaya. Wan Mahora yang mengetahui perihal kehadiran Wan Derus, segera menyembunyikan diri.
Soal Wan Derus ringkas, "Kenapa?"
Datuk Pekerma Jaya cuba menegakkan benang basah. Mempertahankan tindakan yang telah dilakukan. Membenarkan hukuman terhadap Mahsuri. “Isteri kau bersikap curang. Sepanjang ketiadaan kau, dia bermesra dengan lelaki lain! Setelah itu dia lari mengikut lelaki itu. Entah-entah anak yang dilahirkan itu pun bukan anak kau!”
Wan Derus mengetap gigi menahan marah. “Saya kenal dengan isteri saya. Saya tahu siapa Mahsuri. Dia tidak akan menduakan saya."
Tingkah Datuk Pekerma Jaya, "Dia itu orang mendatang. Hati budi tidak sama seperti kita."
Senyuman pilu terlukis di bibir Wan Derus. "Siapa Datuk untuk menilai isi hati orang? Menghukum orang dengan sangkaan?"
"Jangan kau pertikai keputusan aku. Aku ada saksi!"
"Saksi." Wan Derus tertawa kecil. Jelas di mata, luka paling dalam. "Nampaknya Datuk lebih faham hati budi orang-orang laut daripada ipar sendiri?"
Kali ini Datuk Pekerma Jaya tidak membalas. Orang-orang laut itu memang diketahui umum, tidak boleh dipercayai. Kerjanya culas, timbangannya tipu, cakap berdegar-degar tetapi kosong.
"Saya berjuang bermati-matian melawan Siam di Kuala Kedah. Begini layanan Datuk Pekerma Jaya terhadap keluarga saya?”
Pedang yang sentiasa tersisip di pinggang, diletakkan ke lantai. “Terimalah kembali pedang yang dipinjamkan Datuk kepada saya. Saya sudah tidak betah berkhidmat kepada Datuk. Saya akan membawa seluruh keluarga saya keluar dari Langkawi.” Wan Derus berpaling dan melangkah pergi.
“Bukankah aku juga keluargamu?” Bantah Datuk Pekerma Jaya. “Aku abangmu!”
Langkah Wan Derus terhenti. Dia hanya mengerling dengan ekor mata. “Maafkan saya Datuk. Keluarga saya hanyalah Pandak Mayah, Mak Andam dan anak saya.”
Sebelum pergi lebih jauh, Wan Derus sempat berpesan, “Saya dan rakan-rakan gagal menahan Siam di Kuala Kedah. Kami kehilangan banyak nyawa dan terpaksa berundur. Tentera Siam terlalu kuat. Pedang kami ibarat batang padi melawan besi. Tiada langsung kesan kepada mereka."
"Barangkali tidak lama lagi Siam akan sampai jua ke Langkawi. Adalah lebih baik Datuk membuat persediaan menghadapi mereka.”
+++
Dalam tempoh beberapa hari, Pandak Mayah dan Wan Derus menjual kesemua harta mereka. Sebuah kapal dilengkapkan dengan barang keperluan untuk menjalani hidup baru di tempat lain. Meskipun ramai yang cuba memujuk, Wan Derus telah pun tekad. Keputusan yang dibuat seperti telah dipahat pada batu. Tiada siapa yang boleh mengubah.
Soal Pandak Mayah kepada Wan Derus, “Ke manakah arah tujuan kita? Adakah kita akan ke Pattani?”
Soalan itu dijawab Wan Derus dengan gelengan. Tanpa segan, Wan Derus membuang pakaian perwira dan diganti dengan pakaian seorang ayah. Dia mengendong bayinya ke mana sahaja. Apabila anak itu menangis kelaparan, Wan Derus akan menyuakan susu kambing.
Sambil merenung ke arah laut, Wan Derus berkata, “Kita akan menuju ke arah Selatan. Kita akan ke Pulau Pinang.”