Lembaran kuning bertulis ayat-ayat suci Al-Quran itu diletakkan ke tepi dengan penuh hati-hati. Perlahan-lahan bibir yang hampir kering itu menuturkan kata istighfar. Mata dipejam dengan tubuh bergoyang mengikut rentak zikir yang dialun.
‘Ya Tuhanku, tabahkan hati hambaMu yang lemah ini. Selamatkan suamiku yang sedang berperang dengan Siam. Selamatkan anak kecilku yang ditinggalkan di Langkawi sana’. Mahsuri tunduk bersujud dan air matanya jatuh lagi.
“Assalamualaikum kak.” Suara halus di luar pondok, mengejutkan Mahsuri dari tangisnya. Sambung suara itu lagi, “Maaf kerana mengganggu kakak beribadah. Ayahanda guru memanggil kakak untuk datang ke masjid dengan segera.”
Air mata yang membasahi pipi dikesan perlahan dengan belakang telapak tangan. Balas Mahsuri, “Terima kasih Fatma. Harap dapat tunggu sebentar.”
Kerudung kepala yang dipakai, diperbetulkan letak. Bedak tepung beras dioles sedikit untuk menyembunyikan wajah yang sembab dek banyaknya menangis. Setelah yakin dengan penampilan diri, Mahsuri melangkah keluar dari pondok. Seorang gadis yang manis berkerudung, menanti di luar dengan senyuman.
Pondok tempat Mahsuri berteduh merupakan salah sebuah pondok yang dibina di perkampungan itu. Kampung Chempaka, sebuah kampung kecil yang tersembunyi di daerah Pattani dan menjadi tempat perlindungan orang ramai yang melarikan diri daripada tentera Siam.
Selain daripada menjalankan aktiviti pertanian secara beramai-ramai untuk menampung hidup, penduduk juga tidak melepaskan peluang untuk mendalami ilmu agama di bawah bimbingan seorang guru agama, Tuan Guru Nik Muhamad Hassan Al-Fathoni.
Di tengah-tengah kampung dibina sebuah masjid yang yang menjadi pusat aktiviti masyarakat. Di situlah sembahyang berjemaah dilaksanakan dan majlis-majlis ilmu dibangunkan. Masjid itu juga menjadi tempat bermesyuarat. Membincangkan segala permasalahan daripada soal keluarga sehingga kepada strategi mempertahankan diri daripada serangan Siam.
Sepanjang perjalanan ke masjid, Mahsuri dan Fatma melintasi kawasan latihan. Mereka berhenti sebentar menyaksikan anak-anak muda Kampung Chempaka berlatih ilmu silat dan bermain senjata.
Ada yang beradu tarung tangan kosong. Sebahagian lagi memahirkan diri dengan bilahan senjata. Riuh-rendah suara, namun ada keazaman pada mata mereka.
Semakin jauh mereka berjalan menuju ke masjid, mereka ditemukan pula dengan sekumpulan gadis yang bersedia dengan busur dan anak panah. Sama seperti anak muda tadi, gadis-gadis ini juga melarikan diri daripada tentera Siam. Mereka juga memilih untuk masuk ke medan perang sebagai pasukan pemanah. Pasukan sokongan di belakang pasukan barisan hadapan.
Pandangan Mahsuri dan Fatma menumpu kepada salah seorang yang sedang bersedia di lapang sasar. Seorang gadis bersaiz sederhana. Busur diangkat tinggi lalu anak panah dilepaskan. Hampir sahaja Mahsuri dan Fatma menjerit gembira apabila anak panah tadi berjaya mengena sasaran.
Puji Mahsuri, "Hebat sungguh kalian bermain senjata!"
Balas Fatma, "Kakak juga boleh jadi hebat seperti mereka."
"Adakah Fatma juga mahir memanah?"
Soalan itu hanya disambut dengan senyum simpul. "Saya hanya mampu menyediakan herba ubatan di barisan belakang. Memanah, bukan bakat saya."
"Setiap orang punya kelebihan dan peranan sendiri. Perlu saling menyokong agar matlamat tercapai."
"Wah, pandai kakak berbicara!"
Serta-merta wajah Mahsuri bertukar sayu. "Suami kakak yang ajarkan."
Suasana bertukar sepi. Tiada lagi perbualan sepanjang perjalanan yang masih berbaki ke masjid.
Ketika melintasi kawasan sawah padi, pandangan Mahsuri tertangkap kepada seseorang yang sangat dikenalinya, “Deramang?”
Lelaki itu sedang membanting tulang dan berlumuran dengan lumpur. Jauh dari imej seorang lelaki penyair yang ditampil di Langkawi. Perantau yang singgah di rumah Pandak Mayah. Pemuda berwajah tampan yang enggan tunduk pada godaan Wan Mahora.
Insan yang diperangkap sehingga mengheret Mahsuri keluar dari Langkawi. Jauh dari suami, anak dan ibu bapa.
Fatma turut menoleh ke arah yang dimaksudkan. Jelasnya tanpa dipinta, “Kejadian di Langkawi tempohari menyebabkan ayahanda guru murka. Abang Deramang dihukum melakukan kerja-kerja bertani."
"Dia sepatutnya datang ke Langkawi untuk membuat tinjauan. Namun begitu, Abang Deramang terlupa tujuan asal dan asyik dengan syair serta gurindam sehingga menimbulkan fitnah terhadap kakak.”
Mahsuri mengangguk. Seperti tidak mahu berlama-lama di situ, tangan Fatma segera ditarik dan Mahsuri menggesa, “Marilah kita lajukan langkah. Sudah lama agaknya ayahanda guru menanti.”