Hukuman yang diputuskan itu membuatkan Mahsuri berteriak seperti hilang akal. Deramang yang dituduh sebagai pasangannya meronta-ronta cuba melepaskan diri. Namun tali yang dipintal daripada sabut kelapa itu mengikat Deramang kejap ke batang pohon kelapa. Riuh seketika suasana apabila Mak Andam, emak Mahsuri rebah ke tanah tidak sedarkan diri.
Pandak Mayah segera tampil di hadapan Datuk Pekerma Jaya, lantas merayu, “Tolong lepaskan anak perempuan saya. Dialah satu-satunya buah hati pengarang jantung kami. Datuk sebutlah, berapakah wang tebusannya. Saya sanggup menyerahkan seluruh harta, emas, perak, tanah sawah, lembu serta kambing milik saya kepada datuk. Asal sahaja Mahsuri tidak dihukum. Kami sanggup tinggalkan tanah Langkawi ini buat selama-lamanya dan kembali ke Pattani.”
Datuk Pekerma Jaya merenung wajah Pandak Mayah dengan bengis. “Pandak Mayah, kata-katamu itu suatu hinaan kepada saya. Menerima harta tebusan bagi membebaskan pesalah hanya akan mencemarkan gelaran Datuk Pekerma Jaya yang dikurniakan baginda Sultan kepada saya. Setiap yang bersalah mesti dihukum!” Datuk Pekerma Jaya berhenti sekilas dan menoleh ke arah Mahsuri. “Walaupun orang itu adalah ipar saya sendiri!”
Jatuh terduduk Pandak Mayah ke tanah. Lelaki tua itu tidak dapat menahan kesedihan yang amat sangat sehingga badannya terhenjut-henjut menangis. Tanpa mempedulikan Pandak Mayah, Wan Mahora menggesa, “Hukuman sudah pun dijatuhkan. Bila pula hendak dilaksana? Adakah hendak menanti lautan menjadi kering?"
Pandak Mayah seakan masih berharap hati Datuk Pekerma Jaya menjadi lunak. Pujuknya, “Seandainya datuk tidak kasihani kami, tolonglah belas ehsan kepada anak Mahsuri yang masih menyusu. Usianya terlalu rebung. Belum pun pandai merangkak. Gigi juga belum tumbuh. Dia masih perlukan emaknya.”
Wan Mahora lantas mengherdik, “Ah, apa hendak difikir anak haram itu? Biarlah matinya muda, daripada menanggung malu sepanjang usia!” Wan Mahora merapatkan diri kepada Datuk Pekerma Jaya. “Usah ditangguh lagi hukuman kepada Mahsuri. Banyak lagi urusan lain yang perlu diselesaikan.”
Datuk Pekerma Jaya mengangguk. “Bawa Pandak Mayah pergi dari sini! Bersedia untuk jalankan hukuman!” Pandak Mayah segera diheret jauh dari Padang Mat Sirat. Isterinya Mak Andam yang tidak sedarkan diri, turut diangkat sama. Dua orang hulubalang bersedia dengan tombak masing-masing.
Ketika ini, Mahsuri tidak lagi menangis dan meraung. Dia hanya tertunduk memandang tanah dengan air mata yang kering di pipi. Deramang sahaja yang masih meronta-ronta tanpa mempedulikan kulit yang terluka dek bergeser dengan tali yang mengikat.
Sebelum hulubalang tadi merejam tombak, Mahsuri mengangkat kepala. Ujarnya perlahan, "Izinkan saya berkata sesuatu untuk terakhir kali."
Tombak yang yang telah diangkat tinggi, direndahkan kembali sebaik sahaja menerima isyarat kebenaran oleh Datuk Pekerma Jaya.
Setiap wajah yang berada di Padang Mat Sirat direnung oleh Mahsuri satu-persatu. Apabila bertentangan mata dengan Wan Mahora, Mahsuri berkata dengan lantang, “Demi Tuhan, saya tidak pernah melakukan perbuatan keji seperti yang dituduh! Saya tidak pernah berzina dan menduakan suami saya. Hukuman ini tidak adil. Saya tidak akan halalkan darah saya jatuh ke bumi!"
Suasana menjadi sunyi sepi. Hanya hempasan ombak yang menjadi latar.
Pandangan Mahsuri bertukar sayu. Ujarnya lirih, "Saya sumpah Pulau Langkawi ini menjadi padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan!”
Tamat sahaja kata-kata Mahsuri, hari yang cerah bertukar kelam secara tiba-tiba. Angin bertiup dengan kuat sehingga setiap orang terpaksa memegang pakaian dan kerudung daripada diterbangkan. Pohon-pohon kelapa mulai bergoyang dan menjatuhkan buah dan pelepah. Seorang demi seorang penonton, melarikan diri untuk mencari perlindungan.
Soal hulubalang separuh menjerit, “Bagaimana sekarang datuk? Adakah kita patut teruskan dengan hukuman ini?”
Angin ribut yang melanda semakin kuat. Datuk Pekerma Jaya tidak membalas apa-apa. Dia dan isterinya Wan Mahora segera masuk ke dalam tandu dan meninggalkan Padang Mat Sirat.
Melihat orang ramai yang berlari pergi mencari tempat perlindungan, dua orang hulubalang itu tidak menunggu lama lagi. Langkah terus dibuka. Keselamatan diri menjadi keutamaan.
Dalam kekalutan itu, tiada siapa pun yang menyedari kemunculan beberapa kelibat. Tabah meredah angin ribut, menghampiri Deramang dan Mahsuri yang dibiar terikat di pohon kelapa. Deramang segera mengenali mereka. Rungutnya, “Kalian lambat!”
Balas mereka sambil memotong tali, “Tetapi kami masih belum terlewat! Syukur atas bantuan Tuhan dengan datangnya ribut ini. Kami telah menyediakan sampan dan kapal seperti yang abang pinta.”
Deramang mengalihkan pandangan ke arah Mahsuri yang sedang berdiam diri merenung tanah, kosong. Ujar Deramang, “Lepaskan perempuan itu dan kita akan bawanya bersama ke Pattani.”