Bahagian sembilan

1.2K 91 1
                                    

Mesyuarat malam itu di rumah Penghulu Kampung Mat Sirat, membuatkan Idris sesak dada. Amanah yang diberi kepadanya bukan alang-kepalang.

Soal Idris, "Di mana saya mahu cari Wan Derus?"

Balas Penghulu, "Kau bawa beberapa orang, berpecah ke pulau-pulau lain. Cari maklumat berkenaan Wan Derus. Bawa dia semula ke Langkawi. Kita perlukan semua tenaga yang ada untuk mempertahankan tanah kita!"

Beberapa orang yang lain dikerah untuk memindahkan orang perempuan dan kanak-kanak. "Bawa mereka ke kaki Gunung Mat Cincang. Bersembunyi di sana sehingga perang tamat. Jangan lupa bekalan makanan sepanjang persembunyian."

Penghulu mengalih pandangan kepada sebahagian orang di sebelah kiri. "Kalian kumpulkan semua senjata yang kita ada. Asah dan pertajamkan matanya."

Ujar Penghulu lagi, "Kumpulan terakhir, satukan semua simpanan beras yang ada. Kemudian, gali lubang di halaman rumah saya. Kita tanam semua beras. Tinggalkan sedikit, sekadar cukup makan. Biar Siam kekurangan makanan dan menjadi lemah. Kita bersurai dan terus kepada tugasan masing-masing!"

Arahan Penghulu segera dipatuhi. Setiap orang bertebaran mengikut amanah yang diberi. Pasukan pemindahan berbincang lagi untuk mempermudahkan urusan.

Pasukan yang bertugas menanam beras, terus menggalas cangkul. Menggali lubang di hadapan rumah Penghulu Kampung Mat Sirat, bertemankan jamung dan nyamuk. Sebahagian lagi pergi ke rumah-rumah, mengumpulkan beras.

Manakala, kumpulan Idris keluar ke pulau berhampiran, mencari khabar Wan Derus. Soal salah seorang daripada mereka, "Di mana kita hendak bermula?"

"Kita cari orang laut di Pulau Beras Basah. Mungkin mereka tahu arah tuju Wan Derus."

"Kita pergi malam ini juga?"

Idris melihat bulan terang di dada langit. Bintang-bintang bertaburan menghiasi malam. "Malam ini cerah, pasti mudah untuk kita melihat arah."

+++
Fajar telah pun terbit, tatkala kapal kecil kendalian Idris tiba di Pulau Beras Basah. Pertemuan dengan orang kampung di situ, membuatkan secebis senyum timbul di bibir.

Ujar Idris, "Tunjukkan saya arah."

++++
Sebuah pondok ringkas didirikan di pinggir pantai nan memutih. Kecil, tetapi riuh dengan suara lelaki bergurau dan anak kecil ketawa mengekek.

Kehadiran mereka disambut oleh seorang lelaki tua yang cukup dikenali, "Pandak Mayah."

Seperti mengetahui tujuan Idris dan kumpulannya datang, Pandak Mayah berkata, "Dia ada di dalam. Masuklah seorang untuk memujuk."

Ketika Idris masuk, Wan Derus hanya memerhati dengan ekor mata sambil sibuk mengagah anak. Idris hanya menanti dengan sabar, tanpa berucap sepatah kata.

Setelah beberapa ketika, Wan Derus  meletakkan si anak bermain sendirian. Tanpa menoleh, dia berkata, “Maafkan aku Idris. Aku tidak akan kembali ke Langkawi.”

“Walaupun Langkawi menjadi padang jarak padang tekukur, dijarah Siam? Di manakah pesan guru, kau campakkan wahai sahabatku Wan Derus?” Soalan Idris bernada kecewa.

“Kau telah lihat apakah yang dilakukan oleh Siam di Kuala Kedah. Adakah kau ingin melihat Langkawi menerima nasib yang sama?”

Pandangan Wan Derus masih tertumpu kepada anak tunggalnya itu.

Sambung Idris, “Abangmu Datuk Pekerma Jaya telah pun melarikan diri, sebelum khabar kedatangan Siam tiba di cuping telinga orang kampung. Malahan isterinya Wan Mahora juga ditinggalkan begitu sahaja."

Kening Wan Derus hampir bercantum. Kali ini dia menoleh ke arah Idris. Soal Wan Derus, "Siapa yang jadi ketua di Langkawi buat masa ini?"

"Datuk Penghulu Mat Sirat. Semalam kami berbincang cara berhadapan dengan Siam. Kita tak punya cukup tenaga. Kita perlukan semua sumber yang ada. Sebab itulah kami datang mencari kau."

"Bagaimana kalian tahu mencari hingga ke sini?"

Idris tertawa kecil. "Entah. Kami hanya cuba nasib. Kami cadang mahu bertanya arah sahaja. Rupanya Tuhan memang membisikkan dorongan. Orang kampung mengkhabarkan bahawa kau terdampar di sini kerana kapal kau ditakdirkan mengalami kerosakan.”

Pandak Mayah yang mendengar sedari tadi pun menyampuk, “Pergilah menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara di Langkawi. Usah bimbangkan anakmu, kerana kami akan menjaganya dengan sebaik mungkin di sini. Asahlah pedang yang sudah tumpul. Gilap kembali pakaian perang yang sudah kusam.”

“Tapi ayah.…”

“Ayah hanyalah seorang peniaga yang langsung tidak mahir perihal perang. Ayah juga tahu luka di hatimu masih belum sembuh. Namun begitu, ayah maklum, bahawa ini bukanlah masanya untuk kamu terus-terusan bersedih. Kamu mungkin kalah di Kuala Kedah, tetapi jika kamu tidak bangkit sekarang, kamu akan kalah selama-lamanya.”

Wan Derus tidak berkata apa-apa. Anak kecil yang sedang bergolek-golek di atas hamparan tikar mengkuang, didukung rapat ke badan. 

Soal Idris penuh berbunga harapan, “Apakah jawapanmu bang?”

“Berikan aku tempoh seketika untuk mempersiapkan diri. Setelah itu, kita akan menuju ke Langkawi!”

MahsuriWhere stories live. Discover now