Semboyan dibunyikan menandakan bermula pertempuran di antara pihak Siam dan penduduk Langkawi. Dentingan senjata bersulam hiruk-pikuk jeritan suara mengegarkan jeti Kuah yang biasanya sibuk dengan urusan para nelayan.
Tentera siam mendarat ketika waktu dhuha baru menjengah. Matahari baru naik segalah dan hari masih muda. Kedatangan mereka, memang telah dinanti oleh penduduk Langkawi. Mereka telah bersedia dengan senjata yang diasah khusus demi mempertahankan tanah daripada jajahan Siam.
Wan Derus dan rakan-rakan yang sempat tiba sebelum pendaratan tentera Siam, tidak bertangguh untuk terjun ke medan perang. Menjadi barisan hadapan, menghayun senjata, menetak dan memenggal musuh yang ada. Pengalaman bertempur di Kuala Kedah, dimanfaatkan oleh mereka untuk memimpin barisan tentera Langkawi.
Pada permulaan, kekuatan mereka kelihatan seimbang. Namun begitu, perang yang tercetus semakin lama, tidak berpihak kepada mereka. Jumlah tentera Siam yang datang untuk menawan Langkawi terlalu ramai. Setiap orang tentera Langkawi terpaksa berhadapan dengan satu nisbah empat. Tambahan pula, ramai yang tidak punya pengalaman bertempur. Mereka lebih arif menebar jala, daripada menghayun pedang.
“Tujuan kita adalah untuk melambat-lambatkan mereka. Kita akan bertahan sehinggalah penduduk kampung berjaya dipindahkan!” Laungan Penghulu Kampung Mat Sirat yang dilantik menjadi ketua menjadi bekal keazaman.
Akan tetapi, semangat itu semakin kendur apabila kesemua tentera Siam selamat mendarat di pantai. Apatah lagi, ramai yang telah terkorban awal. Kali ini penduduk Langkawi yang masih berbaki perlu menentang sepuluh orang sekaligus. Ketiadaan pasukan memanah, menambah sukar lagi untuk mereka bertahan.
Apabila keadaan semakin getir, Penghulu Kampung Mat Sirat terpaksa membuat keputusan sepahit hempedu. Wajahnya kelat tatkala menitipkan pesan kepada beberapa orang di barisan belakang, “Kalian pergi ke rumah saya sekarang. Tolong bakar hangus simpanan padi dan beras yang telah kita tanam. Musnahkan semua haiwan ternakan dan bakar juga ladang serta kebun orang kampung."
"Tapi Tok Penghulu," Mereka cuba membantah.
"Pergilah. Kita tidak akan benarkan Siam menjamah hasil usaha kita. Biarkan mereka menang sorak, tetapi pulang dengan tangan kosong. Jadikan Langkawi padang jarak, padang terkukur.”
Arahan yang cukup pilu untuk dilaksanakan. Pemuda-pemuda yang diamanahkan, tidak dapat menahan air mata daripada mengalir kerana kekalahan begitu pasti di pihak Langkawi. Bila-bila masa sahaja, mereka akan menurut jejak rakan yang telah menemui Tuhan.
"Baik, tok!" Mereka segera menyusup pergi.
++++
Api yang menjulang tinggi dari suatu kawasan, menarik perhatian semua orang. Baik dari pihak Langkawi mahupun di pihak Siam. Di pihak Siam, tiada sesiapa yang dapat memahami maksud api tersebut. Sebaliknya di pihak Langkawi, hampir setiap orang mengukir senyum sayu. Api itu memberi isyarat yang sangat menghiris, mengembalikan mereka kepada kenyataan yang kejam.
Apabila melihat semangat orang Langkawi yang semakin rapuh, Wan Derus menyeru, “Andai kalian tidak dapat berpatah balik, dan tidak pula boleh maju, maka tetaplah di tempat kalian berdiri. Bertahanlah sehingga ke titisan darah yang terakhir! Kita pertahankan tanah kita, Langkawi!”
Usai berkata, Wan Derus lantas bertakbir dan maju ke hadapan. Menyerbu ke arah tentera Siam dan melibas pedang seakan singa lapar. Sedikit pun dia tidak peduli baju besi yang tidak lagi mampu melindungi. Sedikit pun dia tidak endah akan darah yang mengalir laju daripada luka di seluruh badan.
Tindakan Wan Derus itu berjaya mencetus kembali semangat yang hampir luput di kalangan rakan seperjuangan. Tanpa mempedulikan nyawa sendiri, mereka juga meluru dengan senjata masing-masing. Andai sebentar tadi wajah mereka dihurung duka, kini mereka tersenyum sambil menghunus senjata, sehingga menyebabkan tentera Siam berkerut dahi kehairanan. Senyuman yang tidak putus, meski tubuh rebah ke bumi dalam lautan darah.
Apabila Wan Derus terkepung oleh tentera Siam, barulah dia menyedari bahawa rakan-rakan di sekeliling telah pun gugur kesemuanya. Tapak pertempuran bertukar merah. Suasana hiruk-pikuk bertukar sunyi. Malahan burung pun tidak sudi menyanyikan talkin. Hanya ombak menyanyi lagu sepi.
Berdirilah Wan Derus seorang diri dengan puluhan mata pedang bersedia menembusi tubuh. Senyum sinis terukir di wajah pihak yang mengepung. Kejayaan berada di tangan mereka.
Wan Derus mendongak ke langit. Tanpa sepatah perkataan pun meluncur dari bibir. Dia kelihatan pasrah. Seperti bersedia untuk bertemu dengan Tuhan yang mencipta. Tuhan yang maha agung lagi bijaksana. Tuhan yang mempunyai perancangan sebaik-baiknya.