Bahagian enam

1.3K 91 8
                                    

Berita yang disampaikan oleh Panglima Hitam itu membuatkan Datuk Pekerma Jaya menggigil seluruh badan. Jerkahnya, “Adakah benar khabar ini? Siam sedang bersiap menuju ke Langkawi?”

“Kata-kata Wan Derus tempohari serupa dengan apa yang disampaikan pengintip kepada saya. Siam sedang menyediakan kapal untuk membawa seribu pahlawan untuk melanggar Langkawi.”

Datuk Pekerma Jaya mundar-mandir, tidak senang duduk. “Seribu orang? Kita tidak punya kekuatan untuk menentang beberapa ratus tentera Siam. Inikan pula seribu orang? Tentera terbaik telah kita hantar membantu Sultan di Kuala Kedah. Seratus anak muda Langkawi kita hantar, yang pulang hanyalah Wan Derus dan beberapa orang sahaja. Malahan Wan Derus juga telah tinggalkan Langkawi dengan anak haram Mahsuri. Apa yang perlu kita lakukan sekarang?”

“Kita tinggalkan Langkawi.” Pendek cadangan Panglima Hitam.

“Kita tidak mampu sediakan kapal secukupnya untuk memindahkan kesemua penduduk Langkawi.” Panglima Hitam membentangkan hujah. "Tambahan pula, masa terlalu singkat! Ketika kita sibuk bersiap, Siam telah pun sampai di jeti Kuah. Ketika itu, tiada apa yang boleh kita lakukan!"

Apabila Datuk Pekerma Jaya kelihatan tidak bersetuju, Panglima Hitam menyambung, “Apa yang penting adalah nyawa Datuk sendiri. Pihak Siam tidak akan bertindak kejam terhadap orang kampung. Sebaliknya orang seperti Datuk akan menerima nasib yang buruk! Datuk akan disiksa cukup-cukup sehingga Datuk akhirnya merayu untuk dibunuh!”

Kata-kata Panglima Hitam itu membuatkan Datuk Pekerma Jaya berfikir panjang. Rintik peluh membasahi dahi. “Ada benarnya kata-katamu Panglima. Jadi, apa perancanganmu?”

Senyuman menghias wajah Panglima Hitam, seakan berpuas hati kerana berjaya mempengaruhi Datuk Pekerma Jaya. “Usahlah Datuk gusar. Saya telah mengarahkan orang-orang saya untuk menyediakan kapal dan perbekalan. Kita akan bertolak meninggalkan Langkawi, malam ini juga.”

"Begitu cepat?"

"Kita tidak punya masa untuk berlengah."

“Jika begitu, saya akan maklumkan kepada Wan Mahora supaya bersedia….” Datuk Pekerma Jaya mengangkat kening apabila Panglima Hitam mengangkat jari, tanda menghalang.

“Harap Datuk tidak memberitahu Wan Mahora berkenaan hal ini. Tentunya Datuk lebih mengenali sifat dan perangai isteri Datuk. Pasti dia tidak dapat menyimpan rahsia dan akan memberitahu semua orang. Perkara ini tentu akan menimbulkan huru-hara di kalangan orang kampung dan menyukarkan kita untuk berangkat meninggalkan Langkawi. Kita akan pergi tanpa isteri Datuk.”

Cadangan itu menyebabkan Datuk Pekerma Jaya menjadi serba-salah. “Tinggalkan Wan Mahora? Seorang diri di sini?”

Panglima Hitam mengangguk. “Supaya tidak dicurigai, mungkin Datuk boleh memberitahu isteri Datuk, bahawa Datuk ingin ke Kota Setar menghadap baginda Sultan.”

Apabila melihat Datuk Pekerma Jaya yang masih berbelah bahagi, Panglima Hitam memujuk lagi, “Seandainya Datuk dapat menyelamatkan diri dalam serangan kali ini, Datuk masih berpeluang untuk bertemu semula dengan isteri Datuk, Wan Mahora. Ketika itu, bolehlah Datuk meminta maaf kerana meninggalkannya."

Tidak mudah untuk Datuk Pekerma Jaya untuk menerima bulat-bulat cadangan Panglima Hitam. Berkerut dahi tuanya menimbang pilihan yang ada.

"Bolehkah Datuk jamin, Wan Mahora tidak akan bocorkan rahsia kita?"

Jawab Datuk Pekerma Jaya lambat-lambat, "Tidak."

Segaris senyuman halus terlukis di wajah Panglima Hitam. "Jika hal ini tersebar, Datuk mungkin tidak dapat meninggalkan Langkawi.” Panglima Hitam berpura-pura mengeluh, "Saya tak dapat jamin keselamatan Datuk. Adakah Datuk telah bersedia menadah leher dipancung Siam?"

Pucat wajah Datuk Pekerma Jaya ibarat setiap titik darah habis disedut keluar. "Bagaimana jika kita tawarkan sesuatu kepada Siam?"

Panglima Hitam tertawa kecil sehingga membuatkan Datuk Pekerma Jaya termangu-mangu.

"Jika Siam itu boleh dipujuk dengan harta, tentu sekali Sultan telah menghantar sesuatu untuk mengelakkan perang. Malangnya, mereka memang berniat menjarah tanah kita."

"Jadi, Datuk pilih untuk pergi secara diam-diam dan tinggalkan Wan Mahora di Langkawi. Datuk selamat dan masih ada peluang bertemu Wan Mahora lagi."

Panglima Hitam menunjukkan dua jari. Ujarnya tegas, "Datuk juga boleh beritahu isteri Datuk, rancangan kita bocor, Siam datang mendarat dan...." Panglima Hitam memberi isyarat kepala dipotong. "Yang mana satu pilihan Datuk?"

Datuk Pekerma Jaya menelan air liur yang melekat di tekak.  Lama dia berdiam diri, sebelum menjawab, “Baiklah.”

MahsuriWhere stories live. Discover now