"MAK dah sihat, Anis? Dah boleh berjalan ke?" Sekonyong-konyong Hawa menuju ke rumah Surinah pada pagi itu. Sinar matahari yang mula mencucuk mata memaksanya mempercepatkan langkah menuju ke kaki tangga. Bernaung di bawah julai atap di serambi.
"Alhamdulillah, dah boleh berjalan Mak Wa, tapi pelan-pelan, kena ada orang pimpin," jawab Anissa. Tangannya pantas membetulkan pakaian terakhir yang disangkutkan ke ampaian yang terletak di hujung halaman.
"Tak apalah, pelan-pelanlah... Yang penting mak kamu makin sihat dan kamu adik-beradik kenalah banyak bersabar, ya?"
Anissa angguk. Memang itulah yang menjadi kekuatannya selama ini. Sabarlah yang menjadi perisainya saat dia dan keluarga menghadapi dugaan yang tidak disangka seperti itu.
"Mak Wa tak kerja ke hari ni?" soalnya sambil tangan mencapai baldi di sisi.
"Tak, Datuk dengan Datin tak ada di rumah, pergi ke Sabah. Ada urusan perniagaan," jawab Hawa sambil memegang kaki tangga dan bertenggek di situ.
Anissa mengangguk. Seakan-akan dia faham dengan keadaan keluarga tersebut yang seringkali tidak ada di rumah seperti yang selalu diceritakan oleh dua pupu emaknya itu. Maklumlah, nama pun businessman, mana ada businessman yang ada masa untuk tidur lena di rumah.
"Jemputlah naik, Mak Wa," pelawanya sambil melangkah menuju ke tangga.
"Anis tak kerja ke?" soal perempuan itu lagi. Tanpa teragak-agak dia terus mengekori anak saudaranya itu. Memang dah lama dia tidak datang menjenguk mereka sekeluarga. Sibuk. Tambah-tambah lagi apabila majikannya itu jatuh sakit beberapa bulan yang lalu. Hendak balik ke rumah pun dia tidak berpeluang.
"Belum lagi, Mak Wa. Memang Anis nak kerja tapi kena tengok dulu. Anis kena cari kerja yang sesuai sebab dalam masa sama Anis nak kena uruskan mak. Anis tak berani nak tinggalkan mak sehari suntuk seorang diri di rumah," jawabnya melepaskan sesak perasaan yang selama ini berjerebu dalam hati.
Baldi di tangan ditinggalkan di beranda.
"Duduklah, Mak Wa. Nanti Anis panggilkan mak," ujarnya di ruang tamu.
"Tak payahlah susah-susah Anis, biarlah mak kamu berehat dalam bilik tu dulu. Sekejap lagi Mak Wa masuk jenguk dia," jawabnya.
Anissa tidak jadi hendak masuk ke dalam bilik emaknya. Berpatah balik ke ruang tamu.
"Jadi, Anis tak kerjalah sekarang ni, ya? Mak Wa faham. Tapi, kalau Anis nak kerja, Datin tengah cari pembantu." Dia cuba menduga.
"Pembantu rumah?" teka Anissa. Muka Hawa ditenung tepat.
Wanita separuh umur itu mengangguk. Anissa diam. Memandang perempuan itu lama. Seketika pandangannya di buang ke luar tingkap.
"Tak payahlah Anis nak fikir sangat, keluarga Datuk ni baik. Mak Wa dah lama sangat kerja dengan dia orang. Dah faham sangat hati budi mereka tu." Hawa seakan-akan faham apa yang ada dalam kepala Anissa saat itu.
Anissa tersenyum hambar.
"Bukan macam tu, Mak Wa."
"Anis bimbang pasal mak?
Anissa mengangguk.
"Nanti Anis berbincanglah dengan tuan rumah tu supaya Anis boleh balik sekejap-sekejap tengok mak, bukannya jauh sangat rumahnya dari sini. Lagipun, bukannya banyak sangat kerja di rumah tu," jelasnya cuba memujuk.
"Rumah tempat Mak Wa kerja tu? Hesy! Jauh tu, Mak Wa... Tak sanggup Anis. Lagipun, duit minyak kereta lagi." Anissa menggeleng.
"Buang masa tengah jalan, sejam pergi sejam balik, nak masak lagi. Datin tu pun fikir dua kali nak benarkan Anis kerja kat situ, Mak Wa."

YOU ARE READING
SERI DI LAMAN HATI
General FictionTajuk: Seri Di Laman Hati Penulis: Zara Farida Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-2102-30-4 Muka Surat : 640 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM29.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Januari 2018 Harris nekad. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mencantas pr...