SUBUH itu seperti biasa, azan yang berkumandang dari masjid berhampiran bagai mengetuk-ngetuk kelopak mata Anissa minta dibuka. Kicau burung juga bersiul-siul meniup gegendang telinganya.
Seketika dia meregang-regangkan urat-urat sendi. Sengal-sengal di tubuh dek kesibukan semalam masih terasa. Hari pertama bergelut dengan kerja dan urusan keluarga seperti yang telah dibayangkan sejak awal lagi, memang amat memenatkan.
Perlahan-lahan dia bangun, mengemaskan tempat tidurnya dan melangkah ke dapur. Selesai solat subuh dia mula menyambung tugas seperti yang telah disusun. Memasak air untuk mandian emaknya, menyediakan sarapan, mengejutkan Aqil untuk solat subuh, membawa emaknya ke bilik air untuk mandi sehinggalah menyiapkan ibunda tercintanya itu untuk bersolat.
Walaupun ada ketika sendi-sendi di tubuhnya tiba-tiba terasa seakan-akan mencucuk-cucuk namun terpaksa dibiarkan sahaja. Alah bisa, tegal biasa, dia memujuk hati.
PAGI kedua bekerja di rumah tuan mudanya, Anissa mula rasa sedikit selesa. Alat kawalan jauh untuk pintu pagar dan kunci rumah yang diberikan kepadanya semalam membuatkan dia boleh terus masuk ke dalam rumah tersebut tanpa perlu mengejutkan lelaki itu yang mungkin masih lena.
Sebaik masuk ke dalam rumah dia terus melangkah ke dapur untuk menyediakan sarapan. Seperti yang telah diberitahu, roti bakar tiap-tiap hari pun tak apa, dia terus mencapai bungkusan roti di atas meja dan memasukkan dua keping ke dalam pembakar roti. Apabila siap, diambil dua keping lagi dan sekali lagi memasukkannya ke dalam pembakar roti.
Beberapa minit kemudian secawan Milo panas dan empat keping roti bakar tersedia di atas meja. Di tepinya sepiring butter yang telah dipotong dan sebotol jem blueberry St. Dalfour kegemaran tuan mudanya, agaknya. Kerana orang secerewet itu tidak mungkin akan menyimpan sesuatu yang tidak digemari di dapurnya.
Selesai menyediakan sarapan, Anissa terus menyambung tugas yang lain. Mengambil pakaian-pakaian kotor dari bilik hujung, dibawa ke dapur untuk dicuci. Beberapa minit kemudian tuan mudanya keluar dari bilik. Siap berkemeja cotton putih dan berseluar hitam. Terus menuju ke meja makan. Tanpa bersuara sarapan tersebut terus dijamah. Minuman coklat yang masih agak panas itu diteguk perlahan.
Sedang Anissa mengemas dapur, dia terdengar namanya dipanggil. Dia lantas bergegas ke ruang makan.
"Ya, encik... "
"Saya pergi dulu. Nanti awak tolong kemas bilik saya sekali, ya?"
"Hah?!" Bulat mata Anissa mendengar permintaan tersebut.
"Kenapa?"
"Errr... Tak ada apa-apa, encik," jawabnya dengan mata terkebil-kebil. Terasa sedikit malu, tidak sangka ekspresi wajahnya itu dapat ditangkap oleh tuan mudanya itu.
"Mmm... Maksud saya, awak tolong tukarkan cadarnya dan hantar pergi dobi," jelasnya dengan wajah bersahaja. Seolah-olah tidak sempat menangkap kejutan yang tersimbah di wajah gadis itu.
Anissa angguk laju.
"Nanti saya tukarkan. Tapi nak gantikan dengan cadar yang mana, encik?"
"Awak buka almari dalam bilik belakang tu, ambillah mana yang awak rasa sesuai."
Anissa angguk terus. Sebaik tuan mudanya keluar dari rumah, dia segera ke bilik yang dimaksudkan. Beberapa helai cadar siap dengan sarung bantalnya terlipat kemas dan tersusun rapi di dalam almari tersebut. Seketika, dia leka memerhatikan susunan tersebut.
"Kemasnya? Mak Wa ke yang buat semua ni?" bicaranya sendirian sambil matanya tertancap pada satu per satu pakaian yang turut tergantung kemas di situ. Ketika itu baru dia tahu betapa perempuan lebih separuh umur itu begitu teliti dalam melaksanakan tugas-tugasnya. Dia pasti itu hasil kerja perempuan itu kerana dia adalah orang terakhir yang berkerja di rumah tersebut. Mustahil untuk orang lain yang menguruskan semua itu apatah lagi tuan mudanya.
Sehelai cadar berwarna biru lembut ditarik keluar dan dia segera melangkah keluar dari situ.
Perlahan-lahan tangannya memutar tombol pintu bilik majikannya itu. Sebaik daun pintu terkuak, haruman cologne merobos masuk ke hidungnya. Haruman yang digunakan oleh tuan mudanya pagi itu yang masih terperangkap di dalam bilik tersebut.
Matanya memandang sekeliling. Kemas, agak bersih. Sehelai tuala dan sehelai sejadah tergantung elok di sebuah rak kayu di hujung katil. Sehelai selimut berlipat kemas di atas bantal. Night curtain siap terkuak dan disangkutkan pada cangkuk di sisi tingkap tersebut. Anissa seakan-akan tidak percaya pada pandangan matanya saat itu.
"Lain macam punya kemas ni, kalah bilik Alissa," bisiknya sedikit lucu apabila tiba-tiba dia teringatkan adiknya yang seorang itu yang sering ditegur emaknya kerana mengambil mudah soal kekemasan rumah tangga. Sebaliknya Afif pula yang lebih teliti berbanding kakaknya itu.
Merenung sekeliling, dia tersenyum sendiri. Bilik 'semaskulin' itulah yang sering disebut-sebut oleh Si Afif. Seperti yang sering dibayangkan kepada si bongsu seorang itu setiap kali mereka berbual-bual ringan sebelum tidur. Membayangkan mereka berdua berada di dalam sebuah bilik remaja yang penuh bergaya. Dan alangkah lucunya apabila imaginasi si abang sering saja dicantas oleh si adik yang lebih selesa dengan bantal-bantal busuknya.
"Bantal kau tu Qil, kalau kau jelum masuk kolam, semua ikan mati!" Itulah ayat yang akan dibalas oleh si abang yang membuatkan kedua-duanya bergomol sehingga penat dan tertidur.
Deringan telefon dari ruang tamu mematikan lamunannya. Segera dia berlari keluar.
Encik Harris tertera di skrin.
"Ya, encik," soalnya sebaik menjawab salam.
"Seri, saya terlupa nak bagi tahu, awak boleh gunakan bilik yang di hadapan ruang makan tu. Bilik tu kosong."
"Baik, encik," jawabnya tanpa banyak soal. Lega hatinya kerana telah ada ruang peribadi untuknya. Sejak semalam memang dia berkira-kira untuk bertanya hal itu tetapi dia bimbang dianggap berlebih-lebih. Kerana itu jugalah semalam dia terpaksa solat zohor dan asar di ruang tamu rumah itu.
Sebaik talian dimatikan dia bergegas masuk semula ke dalam bilik. Meneruskan tugasnya yang terhenti sebentar tadi. Laju saja tangannya menukar cadar tersebut kerana dia perlu segera menuju ke dapur menyediakan makan tengah hari untuk tuan mudanya.
Resipinya untuk tengah hari itu telah siap tercatat di dalam kepala sejak semalam lagi. Tanpa berlengah dia membuka peti sejuk mencapai semua keperluan yang dibeli semalam. Sebiji labu air dibawa keluar. Seekor ikan tongkol sederhana besar yang telah siap disiang serta bekas plastik yang berisi udang turut dibawa keluar.
Beberapa jam kemudian, semangkuk kari ikan tongkol serta semangkuk labu air masak tumis berencahkan udang, seekor ikan masin belanak serta sepiring sambal belacan terhidang di atas meja.
Sebaik jam menunjukkan tegak ke pukul 12.30 tengah hari, dia segera mencapai beg galas dan kunci keretanya bergegas keluar dari rumah. Bukan bermaksud dia sedang mengejar waktu tetapi untuk tidak bertembung dengan tuan rumah itu yang akan tiba pada bila-bila masa sahaja. Jarak dari rumahnya ke pejabat hanya kira-kira 20 minit perjalanan.
Namun perkiraan masanya kurang tepat. Ketika menutup pintu rumah, terdengar bunyi pintu pagar terkuak. Anissa menoleh. Sebuah Honda Civic 2.0 hitam meluncur masuk terus ke hadapan pintu rumah. Berderau darahnya melihat muncung kereta itu yang bergerak laju ke arahnya. Berhenti betul-betul tepat di hadapannya bersebelahan dengan Perodua Kancil putihnya.
Dengan kunci rumah yang masih di tangan, pintu yang telah dikunci dibuka semula.
"Saya balik dulu, encik," ujar Anissa sambil berlalu dari situ. Walaupun dia memalingkan sedikit wajahnya ke arah pemandu kereta tersebut yang sedang keluar dari perut kereta tetapi matanya tidak tertumpu ke wajah itu.
"Okey." Sepatah kata yang antara dengar dengan tidak di telinga Anissa.
YOU ARE READING
SERI DI LAMAN HATI
Fiksi UmumTajuk: Seri Di Laman Hati Penulis: Zara Farida Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-2102-30-4 Muka Surat : 640 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM29.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Januari 2018 Harris nekad. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mencantas pr...