Bab 6

1K 14 0
                                    

RUMAH banglo dua tingkat yang terletak di Jalan Bukit Kerajaan berhampiran Istana Iskandariah Bukit Chandan, Kuala Kangsar itu kelihatan sunyi. Sebuah Mercedes-Benz mewah yang menjadi penghuni tetap salah satu ruang parkir di hadapan rumah tidak kelihatan. Biasanya kalau kereta tersebut tidak kelihatan bermakna tuan punya kereta juga tiada di rumah. Yang terlihat hanyalah kelibat si tukang kebun yang terbongkok-bongkok menggembur tanah di tepi pagar.

"Dari mana ni, Hawa?" tegur Pak Usop yang terkejut dengan kemunculan Hawa di banglo tersebut pada petang itu. Polibag yang berisi anak pokok palma di tangan dilepaskan.

"Dari kampung. Dari rumah anak."

"Ya tak ya juga. Datin dengan Datuk pergi ke Sarawak. Duduk sini pun nak jaga siapa, kan?" soalnya semula.

Hawa senyum dan sekadar mengangguk sambil menuju ke pintu meninggalkan lelaki lebih separuh abad itu sendirian meneruskan kerjanya. Dia tidak mahu memanjang-manjangkan perbualan tersebut kerana dia perlu segera masuk ke rumah.

Pak Usop merupakan bekas pekerja am di pejabat Datuk Azran memang telah lama bekerja di rumah itu sebagai tukang kebun. Atas faktor usia, dia diberi upah bulanan walaupun hanya akan dipanggil sekiranya khidmatnya diperlukan. Selebihnya keluarga itu memberinya kepercayaan untuk menyelenggara kawasan sekeliling rumah tersebut mengikut kemampuannya. Orang tua itulah yang mereka harapkan selama ini untuk tolong menjaga rumah sekiranya Datuk Azran keluar untuk urusan perniagaan.

Setelah berehat seketika dan solat asar, Hawa terus ke dapur. Berkemas setelah beberapa hari dia meninggalkan rumah tersebut.

"Datin, saya ada hal sikit nak cakap dengan Datin ni." Hawa memulakan perbualan sebaik sahaja Datin Zaharah muncul di dapur.

"Ada apa, Hawa?"

"Dulu Datin ada sebut pasal nak cari pembantu rumah untuk Encik Harris."

"Haah, kenapa? Awak ada kenal sesiapa ke?" jawab Datin Zaharah sambil menarik kerusi duduk di hadapan Hawa yang sedang ralit memotong sayur.

"Ada, anak saudara saya," jawabnya pantas.

"Berapa umurnya? Dah kahwin?"

Seperti ada liur yang tersekat di kerongkong Hawa. Dari ekor mata dia memerhati reaksi Datin Zaharah.

"25. Dah kahwin. Anak dua."

"Hesy! Mudanya? Apa namanya?"

"Dia kahwin muda. Dah habis sekolah, kahwin ajelah." Pantas dan lancar Hawa memintas.

"Hmmm... Nanti saya bincang dengan Datuk dan Harris. Kalau betul dia nak bekerja, awak suruh dia datang ke sini. Saya nak jumpa dengan dia dulu. Apa namanya?" tanya Datin Zaharah lagi.

"Errr... Seri."

"Seri?"

Hawa mengangguk cepat. Mujur liur ditelan tidak terlihat di mata Datin Zaharah. Bukan takut tetapi sedikit rasa bersalah terdetik dalam hati.

"Tapi... Esok saya nak temankan Datuk. Dia nak ke Johor." Datin Zaharah mula berkira-kira.

"Kalau macam tu, saya suruh dia datang jumpa Datin lepas Datin dan Datuk balik dari sana." Hawa memberikan cadangan.

"Tapi saya pergi dalam satu minggu, lama tu kalau nak suruh dia tunggu. Kesian pula saya kat Si Harris tu, apalah yang dia nak makan nanti?"

Datin Zaharah menung seketika.

"Mmm... Macam inilah, Hawa. Tak payahlah tunggu saya balik. Suruh aje dia pergi terus ke rumah Harris. Kerja dulu dalam seminggu ni, nanti saya pergi jumpa dia di sana. Saya pun dah lama tak jenguk rumah anak teruna saya tu."

Hawa mengurut dada.

"Baik juga macam tu, Datin. Dia pun kena mulakan kerja secepat mungkin. Maklumlah, kena tampung perbelanjaan keluarga."

Datin Zaharah mengangguk-angguk. Seperti faham benar dengan keadaan tersebut.

"Suaminya kerja apa, Hawa?"

"Errr... Pemandu lori."

"Pemandu lori?" Wanita montel itu mengangkat muka memandang Hawa. Seakan-akan ada riak tidak kena pada wajahnya.

"Lori apa?" soalnya pendek.

"Errr... Lori panjang ni, errr... Entah tak ingat saya lori apa, Datin!" Terpacul jawapan tidak dirancang itu dari mulut Hawa. Pada saat yang mendesak itu dia tidak cukup peluang untuk berfikir mengenai jenis lori yang sesuai. Tak termasuk dalam plan tipu sunat!

Tanpa mengangkat muka, sayur di tangan terus dipotong laju.

Datin Zaharah mengangguk-angguk.

"Bukan ke gaji pemandu lori tu mahal? Kalau dia kerja sampai terpaksa tinggalkan anak-anak pada orang lain, apa yang dia dapat? Kos jaga budak sekarang ni pun bukannya murah macam dulu. Kerja sebagai pembantu rumah gajinya bukan sama macam kerja kilang. Ada overtime segala." Datin Zaharah membebel. Seperti tidak dapat menerima idea Hawa.

"Memang betul cakap Datin tu, tapi mereka perlu pendapatan yang lebih untuk menyimpan. Maklumlah, anak-anak sedang membesar. Kalau dia bekerja pun emak dia ada. Boleh tolong tengok-tengokkan anak-anak dia."

"Ooo... Tak apalah kalau macam tu. Tapi orangnya amanah ke, Hawa? Takut juga saya nak benarkan orang yang kami tak kenal masuk ke rumah Si Harris tu." Wajah bimbang Datin Zaharah mula kelihatan.

"Tentang itu Datin janganlah risau. Dia jujur orangnya. Malah seluruh keluarganya juga memang orang baik-baik. Saya cukup kenal dengan mereka sekeluarga Datin."

Datin Zaharah mengangguk-angguk.

"Kalau macam tu, awak telefon aje dia sekarang, suruh dia mula kerja esok. Awal bulan. Lebih senang Harris nak kira gaji dia."

"Tapi... Tak nak bagi tau Encik Harris dulu ke, Datin?" Terkejut pula dia nanti tiba-tiba aje ada perempuan ketuk pintu kata nak tolong masak?"

Datin Zaharah ketawa. Terasa lucu benar dengan gambaran insiden tersebut yang terbayang di kepalanya.

"Ya tak ya juga, Hawa. Dah macam cerita Red Riding Hood la pula nanti, tiba-tiba ada perempuan bawa bakul ketuk pintu rumah dia," ujarnya dalam ketawa.

Hawa turut tertawa dengan jawapan tersebut. Tidak disangka pula imaginasi Datin Zaharah sejauh itu.

"Yalah, nanti saya bagi tahu Harris, biar dia yang tetapkan bila budak tu boleh mula bekerja."

Hawa mengangguk-angguk tanda setuju. Lega hatinya apabila usahanya untuk memberi laluan kepada anak saudaranya setakat itu telah berjaya.

"Terima kasih, Datin," ucapnya dengan perasaan gembira. Saat itu ada sesuatu berbayang di fikirannya.

SERI DI LAMAN HATIWhere stories live. Discover now