PANGGILAN telefon dari Harris pada petang itu amat melegakan hati Anissa. Esok petang tuan mudanya tidak terus pulang ke rumah. Dari Johor dia akan singgah sebentar di Kuala Lumpur dan terus ke Kuala Kangsar, ke rumah orang tuanya.
"Tapi tengah hari lusa saya balik awal sikit ya, sebab lepas makan tengah hari saya nak ke Pulau Pinang, ada hal." Dia meninggalkan pesan.
"Awal tu pukul berapa, encik?" Anissa bertanya lebih jelas.
"Emmm... Dalam pukul 11.30 pagi macam tu."
SEPERTI yang diarahkan, Anissa ke dapur lebih awal pada pagi itu. Sepinggan ayam kampung masak rendang tersaji di atas meja tepat jam 11.30 minit pagi. Memandangkan dia bukan tukang masak yang hebat, dia tidak tahu apakah sajian lain yang terbaik untuk disaji seiring dengan juadah tersebut. Setelah berfikir, semangkuk sayur campur tersaji di sebelahnya. Untuk lebih mempelbagaikan lagi, seekor belanak masin digoreng, ikan masin kegemaran tuan mudanya. Tidak lupa juga sepiring kecil sambal belacan berulamkan bendi celur. Semuanya serba sedikit.
Sewaktu mengemas dapur, terdengar deruman kereta memasuki pekarangan rumah. Dia segera ke ruang tamu membuka pintu.
Terpaku Anissa saat satu tubuh keluar dari perut kereta. Encik Harris? Ya Allah... Kenapa sampai macam ni?
"Assalamualaikum."
Diam.
"Assalamualaikum! Seri?"
"Aaa... Waalaikumussalam." Anissa terpisat-pisat menginjakkan dirinya dari muka pintu. Memberi laluan kepada tuan mudanya itu yang berdiri terpacak di hadapannya untuk masuk ke rumah.
Harris tersenyum sambil melangkah masuk. Sebaik meletakkan beg pakaiannya di tepi pintu, dia menuju ke ruang tamu dan meletakkan telefon bimbit serta beg kerjanya di atas meja. Saat melucutkan jam di tangan dia berpaling sedikit ke belakang. Sebatang tubuh masih terpacak di muka pintu. Sewaktu melangkah menuju ke bilik dia menoleh ke belakang.
"Kenapa awak pandang saya macam tu?" tegurnya.
Tubuh yang tadinya mematung tersentak.
"Errr... Tak ada apa-apa, encik!" jawabnya gugup, terkejut!
Sambil tercengang-cengang Anissa pantas berlalu ke dapur. Aduh... Malunya! Macam manalah dia boleh terbabas renung sampai begitu sekali?
Dari dapur dia terdengar kerusi ditarik. Dibiarkan saja. Pasti majikannya itu hendak segera menjamah makanan yang telah tersaji. Malu benar rasanya dengan reaksinya sebentar tadi. Bimbang pula sekiranya disalah anggap. Bukan apa, dia terkejut. Seakan-akan tidak percaya badan lelaki itu susut sampai begitu sekali. Seminggu di Johor telah mengubah fizikalnya dengan begitu mendadak! Atau... Adakah kerana lelaki itu memakai kemeja T kelabu yang agak body fit hingga membuatkan dia nampak lebih kurus daripada biasa? Tidak... Tidak... Memang betul badan dia yang susut!
Berada di Johor negeri yang terkenal dengan kemasyhuran nasi beriani gam itu pun dia boleh kurus? Pelik! Setahunya negeri itu kaya dengan pelbagai juadah istimewa tetapi mengapa dia tidak mengambil peluang itu untuk menikmati makanan-makanan tersebut? Paling kurang pun sekadar untuk mengenyangkan perut. Atau, susah benarkah tugasnya di sana sehingga dia kepenatan dan menjadi sekurus itu? Anissa berfikir sendiri. Tubuh dan wajah cengkung Harris menjadi teka-tekinya sendiri. Mahu berkilo berat badan hilang tu!
Bunyi sudu berlaga dengan pinggan mematikan lamunannya. Perlahan-lahan dia menjenguk ke ruang makan. Berselera benar lelaki itu menyuap nasi bersulamkan ayam kampung masak rendang itu ke mulutnya. Waktu itu Anissa merasa pelik. Tidak pernah sekali pun lelaki itu menolak masakannya. Apa sahaja yang disajikan dia akan makan dengan penuh berselera. Kalau dilihat dari segi penampilannya, memang ketokohannya sebagai ahli korporat jelas terpancar. Tetapi ketika menghadap makanan perwatakannya langsung tidak seiring dengan kedudukannya itu. Sebaliknya dia seperti seorang lelaki biasa. Perwatakan lelaki itu saling tidak tumpah seperti perwatakan ayahnya, tekun ketika mengadap makanan.

YOU ARE READING
SERI DI LAMAN HATI
General FictionTajuk: Seri Di Laman Hati Penulis: Zara Farida Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-2102-30-4 Muka Surat : 640 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM29.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Januari 2018 Harris nekad. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mencantas pr...