Bab 3

1.1K 19 0
                                    

"KAK NGAH, duit PTPTN dah masuk." Sayup-sayup terdengar suara Seri Nur Alissa di corong telefon. Adiknya yang tiga tahun lebih muda darinya, sedang menyambung pelajaran di sebuah universiti di Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah..." Lega hati Anissa mendengar berita tersebut. Perkhabaran yang memang dinanti sejak adiknya itu berangkat pulang ke universiti menyambung pengajian untuk semester keempat.

"Tapi Lissa rasa macam tak cukup. Lissa ingat nak buat kerja part time."

"Lissa mampu ke? Bukan senang tau nak urus masa. Nak kerja dengan nak siapkan assignment lagi. Lagipun jurusan yang Lissa ambil ni bukannya mudah, Lissa kena sentiasa konsisten dengan pelajaran." Berat hati Anissa untuk membenarkan.

"Alah... Setakat jaga kedai koperasi pelajar tu, bukan susah sangat pun, kak ngah. Lagipun dalam kawasan universiti aje, boleh pergi terus lepas kelas habis. Bukannya Lissa kena travel jauh-jauh."

"Kak ngah risau nanti Lissa tak ada masa nak buat assignment."

"Kedai tu bukannya setiap masa ada pelanggan, kak ngah. Masa tak ada pelanggan Lissa boleh buat assignment. Alah... Ramai pelajar buat macam tu, janganlah kak ngah risau. Tahulah Lissa macam mana nak handle nanti. Janji kak ngah izinkan. Ek?"

Anissa melepaskan nafas yang panjang. Dia buntu. Hendak dihalang, dia faham kesukaran yang dialaminya saat itu. Dia sendiri tidak mampu menyediakan sepenuhnya keperluan untuk adik-adiknya. Tidak dihalang, dia bimbang adiknya-adiknya akan tertekan. Jika ada yang membantu, syukur alhamdulillah. Tetapi dalam masa yang sama dia kesal kerana itu akan membebankan mereka. Kerana sepatutnya, menyediakan segala keperluan mereka adalah menjadi tanggungjawabnya.

"Kak ngah, Lissa tau kak ngah berat hati nak benarkan Lissa kerja, kan?"

Anissa sedikit tersentak. Ayat yang keluar dari lubang kecil telefon di tangannya itu mematikan bicara hatinya seketika.

"Kak ngah, Lissa faham ini semua bukan kehendak kita. Ini semua kehendak takdir. Jadi Lissa tak nak kak ngah susahkan diri untuk kami. Kami dah besar kak ngah, biar kami ambil tanggungjawab ni sama, demi keluarga kita. Demi mak, demi Aqil. Lagipun, Lissa nak kerja untuk kumpul duit. Nanti kalau Afif dapat masuk universiti boleh Lissa tolong dia. Masa semester pertama sampai semester ketiga Lissa tak nak dia buat kerja part-time. Sebab waktu-waktu macam tu dia kena serius dengan study. Dia kena kukuhkan dulu CGPA. Kalau keputusan peperiksaan dia okey, baru dia boleh buat kerja sambilan kalau dia nak buat." Mendatar suara Alissa, meyakinkan kak ngahnya supaya dapat memahami niat murninya.

"Suka hati Lissalah, buatlah mana yang baik. Cuma ingat, kalau tak larat, jangan paksa diri. Apa-apa pun, pelajaran lebih penting."

"Lissa tau, kak ngah..."

"Jangan buat kerja yang bukan-bukan. Lissa duduk di bandar tau, di bandar tu banyak lorong yang tak betul."

"Jangan risau kak ngah, Lissa tau jaga diri." Dia faham benar dengan maksud istilah 'lorong' yang dimaksudkan oleh kakaknya itu.

"Mmm. Bukan apa. Kak ngah takut Lissa tersilap pilih kawan aje..."

"Lissa bukan budak-budak lagilah, kak ngah... Lissa kan dah dewasa... Kak ngah tak payahlah nak risaukan Lissa. Kalau kak ngah tak bagi Lissa belajar berdikari, sampai bila-bila pun Lissa tak akan pandai berdikari. Sampai bila Lissa nak susahkan kak ngah?"

"Kenapa cakap macam tu? Lissa kan adik kak ngah? Dah tentu itu semua jadi tanggungjawab kak ngah."

Alissa tertawa kecil.

"Lissa tau, kak ngah... Tapi Lissa bukan budak kecil lagi. Lissa kena belajar untuk jadi kuat macam kak ngah. Sebab kak ngah juga yang kata, untuk hidup kita kena usaha, jangan harap simpati orang, jangan berserah pada takdir semata-mata."

"Yalah, yalah... Terserahlah pada Lissa. Kak ngah percaya Lissa boleh buat keputusan. Adik kak ngah ni kan hebat."

"Tengoklah adik siapa... Okey, terima kasih, kak ngah. Sampaikan salam Lissa pada mak, ya? Cakap pada mak, Lissa nak berbual dengan mak tapi tak sempat sebab Lissa dah nak masuk dewan kuliah. Nanti malam Lissa telefon semula. Assalamualaikum..."

Setitis air mata Anissa jatuh saat panggilan telefon dimatikan.

"Ya Allah, Kau berilah kekuatan kepada adik-adikku... Bantu aku untuk menjaga mereka, Ya Allah... Tutuplah kelemahan dan kebimbangan aku dari pandangan mata mereka."

SERI DI LAMAN HATIWhere stories live. Discover now