Bab 11

885 16 0
                                    

BUNYI suara Aqil yang seperti mengerang dari bilik sebelah mengejutkan Anissa dari tidur. Dia bingkas bangun.

"Qil?" Antara sedar dengan tidak, dia memanggil.

Panggilannya tidak bersambut. Namun suara itu semakin jelas di telinganya. Semakin lama semakin kuat. Anissa lantas bangun menuju ke bilik itu.

"Aqil? Demam ke?" Dia segera menghampiri tubuh yang berselubung dengan selimut itu. Melihat panggilannya langsung tidak bersambut, Anissa lantas menggoyang-goyangkan tubuh kecil itu yang berbungkus dengan selimut.

"Aqil... Itulah, kan kak ngah dah kata jangan masuk hutan, kan dah demam," bebelnya berbaur kesal. Memang telah dia duga tubuh kecil itu tidak akan sanggup menerima beban yang berat. Sebelum itu walau pun mengikut Haji Zabri secara senyap-senyap, dia tidak pernah berada terlalu lama di ladang kelapa sawit itu. Paling lama dua jam. Inikan pula lima jam!

Perlahan-lahan Anissa bangun menuju ke dapur mendapatkan segelas air suam dan Panadol untuk adiknya.

"Nah, makan ubat ni dulu." Dua biji tablet putih dihulurkan kepada adiknya.

Terketar-ketar tangan kurus itu mencapai.

"Tak nak dengar cakap kak ngah, tu la pasal." Kekesalan Anissa masih belum berakhir. Antara geram dengan belas perlahan tangannya meraut kepala yang separuh botak itu.

"Dah, tidur. Esok jangan pergi mana-mana," pesannya sebelum berlalu dari situ.

Aqil yang faham dengan perasaan kak ngahnya ketika itu hanya mengangguk-angguk lemah sambil perlahan-lahan merebahkan badannya semula.

Dengan pandangan mata yang mula nanar, Anissa meninggalkan bilik tersebut. Meletakkan semula kepalanya ke bantal. Kantuk yang masih menebal serta kepala yang mula berdenyut membuatkan sepasang kelopak matanya seakan-akan masih belum bersedia untuk terus dibuka. Mencapai telefon bimbit yang diletakkan di hujung kepalanya, 3.15 minit pagi.

"Adik demam ke, Nis?"

Anissa terkejut. Disangkanya emaknya sedang tidur lena.

"Panas sangat ke badan dia?" soal emaknya lagi.

"Ya mak, tapi taklah panas sangat. Anis dah bagi dia ubat. Dah berpanas sepetang, mana tak demamnya," rungutnya sambil menarik selimut, menutup separuh tubuhnya.

Sambil mata terpejam, dia masih memasang telinga kalau-kalau Aqil terus mengerang kesejukan di biliknya. Namun kepenatan tubuhnya yang masih terasa membuatkan dia terus hanyut dibuai lena beberapa detik kemudian. Tidak mampu untuk dia bersengkang mata memandangkan beberapa jam lagi dia perlu bangun untuk meneruskan tugasnya seperti biasa.

PAGI itu sebaik kereta tuan mudanya meninggalkan rumah, Anissa bergegas ke pasar. Mencari keperluan untuk menyediakan juadah tengah hari. Jadual tugasnya yang agak kelam-kabut itu membuatkan kepalanya terasa seperti berputar. Mahu tidak mahu, dia terpaksa meneruskan tugas. Pandangan matanya yang mula berpinar membuatkan pergerakannya juga terganggu dan membuatkan kerjanya tidak lancar. Sekejap-sekejap dia mencari kerusi untuk duduk dan memejamkan mata untuk seketika. Perlahan-lahan, dia tetap meneruskan tugasnya. Mengemas, memasak dan mencuci pakaian.

Dalam keadaan kepalanya yang semakin terasa berat, dia menjenguk jam dinding yang tergantung di ruang makan. 12.30 minit tengah hari. Terdengar deruman enjin kereta di halaman. Dia bergegas menyiapkan kerjanya. Tangannya pantas mencapai pinggan mangkuk dari rak. Menghidangkan makanan di atas meja.

Tanpa sempat dia membuka pintu, tuan mudanya masuk ke dalam rumah. Duduk di atas sofa. Televisyen dihidupkan. Namun bunyi pinggan mangkuk yang berlaga di dapur mengganggu fokus menontonnya.

SERI DI LAMAN HATIWhere stories live. Discover now