PINTU pagar yang dikawal melalui alat kawalan jauh itu terbuka perlahan-lahan. Sebuah Honda Civic 2.0 hitam berkilat membelok masuk dan berhenti di tengah halaman sebuah banglo dua tingkat. Banglo yang tersergam indah itu yang dikelilingi dengan pelbagai jenis tanaman hiasan termasuk sebuah pancuran buatan serta sebuah kolam ikan di satu sudut. Dengan sebuah jambatan kayu yang terentang di tengah-tengah kolam tersebut, suasana halaman itu kelihatan begitu tenang dan damai.
"Hah, panjang umur anak teruna mama ni. Baru aje mama sebut nama, dah muncul." Bercahaya wajah Datin Zaharah saat anak bujangnya memberi salam di muka pintu.
"Mana tak panjangnya, bau masakan spesial udang sambal petai mama tu, dari pejabat lagi Ris dah boleh bau," seloroh Harris sambil bersalaman dengan mamanya.
"Papa mana, ma?" soalnya apabila mendapati bayang Datuk Azran tidak kelihatan di ruang tamu.
"Papa ada dalam bilik, berehat. Sejak dari pagi tadi tak sihat," jawab Datin Zaharah dengan wajah sedikit gusar.
"La... Kenapa mama tak bagi tahu Ris?"
"Bagi tahu apa?" soal datin Zaharah berpura-pura kurang pasti.
"Bagi tahu yang papa tak sihat?"
"Hmmm... Ris tu, kalau dah kerja, mama call pun susah nak jawab. Letak telefon kat mana pun mama tak tau. Lebih baik mama jangan call," balas Datin Zaharah dengan nada kecewa.
Wajah mamanya dipandang penuh sesal. Harris tahu mamanya kecewa. Tapi entah mengapa, dia sendiri pun tidak faham dengan sikapnya yang ada ketika meletakkan keluarganya di tempat kedua selepas urusan syarikat. Bukan keluarga tidak penting baginya, bukan dia tidak sayang pada mama dan papanya tetapi...
"Ris minta maaf ma, Ris sibuk sangat." Itulah alasan termurah yang selalu disajikan apabila dia terpaksa berhadapan dengan situasi seperti itu.
"Ni mesti ada telefon buruk yang bagi tahu mama masak udang sambal petai ni. Kalau tak, tak adanya Ris nak balik sini..." teka mamanya seakan-akan cuba mengalih perasaannya sambil menjeling ke arah Hawa pembantu rumahnya. Wanita separuh umur itu menatang sedulang minuman ke ruang tamu.
"Bukan saya, Datin," nafi Hawa sambil tersenyum-senyum. Faham dengan maksud jelingan tersebut.
"Kak Zu dialah tu... Siapa lagi? Datuk Azran tiba-tiba muncul dari biliknya.
"Papa." Harris segera bangun bersalaman dengan orang tua itu.
"Dah lama sampai?" soal Datuk Azran sambil memeluk erat anak lelaki tunggalnya itu. Seakan-akan rindu benar dia dengan Mohd Harris Fahmi yang sejak kebelakangan ini semakin jarang pulang ke rumah.
"Baru aje, pa," balasnya. Perlahan-lahan Harris memapah papanya duduk di sofa.
"Encik Harris, pakaian yang Encik Harris bawa balik minggu lepas Mak Wa dah gosok semuanya. Ada dalam almari. Kalau nak, Mak Wa boleh ambilkan." Hawa bersuara setelah lama memberi ruang untuk anak-beranak itu berbual mesra. Dah beberapa hari kedua-dua orang tua itu menyebut-nyebut nama si teruna kesayangan mereka itu.
"Hesy! Mak Wa ni, Harris ni baru aje letak punggung, dah nak suruh dia balik?" celah Datin Zaharah.
"Eh, maaf Datin, bukan maksud saya macam tu..." tingkah Hawa pantas dengan perasaan bersalah. Tidak sangka kata-katanya mengundang suatu perasaan halus dalam hati Datin Zaharah.
"Tak apalah Mak Wa, saya tidur sini malam ni," jawab Harris sekali gus cuba memujuk hati mamanya yang mula terusik.
"Tu, tepi pintu tu ada satu beg lagi, nanti Mak Wa tolong cuci ya," pintanya penuh hormat.

YOU ARE READING
SERI DI LAMAN HATI
Ficción GeneralTajuk: Seri Di Laman Hati Penulis: Zara Farida Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-2102-30-4 Muka Surat : 640 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM29.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Januari 2018 Harris nekad. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mencantas pr...