AQIL sudah ke asrama penuh. Walau berat hati untuk dia meninggalkan emaknya yang tidak sihat tetapi dia tiada pilihan. Wang hasil kutipan kelapa sawit lerai tidak digunakan.
"Simpan dalam akaun bank Aqil. Susah-susah cari, kenapa senang-senang nak habiskan?" pesan kak ngahnya.
Pada masa yang sama, Afif sudah mendapat tempat di universiti. Jurusan kejuruteraan yang menjadi impiannya selama ini. Wang gaji yang dikumpul sepanjang tempoh bekerja selama beberapa bulan di Pulau Mutiara itu walaupun tidak banyak, tetapi telah dikeluarkan dengan bangganya untuk menampung keperluan kewangannya ketika itu. Hasil titik peluh! Berkat!
Alissa juga turut membantu. Dia juga turut menghulurkan sejumlah wang kepada adiknya itu. Cukup buat menampung bayaran yuran pengajian dan pendaftaran masuk ke kolej penginapan. Hasil simpanannya selama bekerja secara sambilan di kedai koperasi universiti. Lega hati Anissa kerana penantian adiknya itu selama ini kini berakhir. Cita-citanya untuk menyambung pelajaran ke universiti telah tercapai.
Bagi Anissa, dia tidak boleh mengalah pada takdir. Walau bagaimana keadaan sekali pun, dia mahu adiknya-adiknya berjaya merebut peluang yang ada. Berusaha sedaya mungkin demi masa depan mereka. Emaknya selalu menasihatkan adik-adik, membeli kekayaaan memang memerlukan wang yang banyak tetapi membeli masa depan, menuntut kepada sebuah pengorbanan.
Hanya itu yang mampu mereka lakukan. Dan untuk itu, peluang tersebut harus direbut sebaik mungkin walaupun seisi keluarga terpaksa bersusah payah dan terpaksa saling membantu.
Awal-awal lagi Anissa telah mengingatkan Afif supaya tidak membuat kerja sambilan seperti yang telah dipesan oleh kakaknya Alissa. Harus tumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran pada peringkat permulaan. Itu sangat penting.
PAGI itu Anissa bergerak seperti biasa ke rumah yang terletak di kaki Bukit Larut itu. Kira-kira tiga kilometer dari rumahnya di Kampung Pinang. Hujung minggu, jalan agak lengang. Kenderaan sekolah yang saban pagi memenuhi dada jalan langsung tidak kelihatan. Memberinya lebih ruang untuk memandu dengan lebih selesa.
Tambahan pula dalam keadaan tangannya yang semakin sakit dan tidak selesa memegang stereng. Dia harus memandu dengan lebih berhati-hati. Tidak memegang stereng dengan kemas bererti tayar keretanya mudah untuk terlayah ke kiri atau ke kanan.
Sampai di rumah tersebut, dia bergegas keluar dari kereta. Kereta majikannya itu seperti biasa masih di tempat letak kereta di hadapan pintu utama. Dia segera masuk menyediakan sarapan. Hari Sabtu, dapat tiba lebih awal. Dia merancang untuk masak lebih sedap. Bagus juga sesekali menukar selera setelah berhari-hari menghadap roti. Macam manalah tuan mudanya sanggup, dia tidak tahu.
Segala bahan-bahan telah disediakan sebelum pulang sehari sebelumnya. Hanya tunggu untuk memasak sahaja. Sedikit kacang tanah goreng telah disediakan lebih awal.
AROMA harum dari sepinggan nasi lemak di atas meja makan menarik sepasang kaki Harris menuju ke ruang makan. Dengan penuh nikmat, dia merenung pinggan dan piring yang tersusun di atas meja. Nasi lemak, sambal tumis ikan bilis, kacang tanah goreng, ulam timun, sebiji telur rebus dibelah empat. Tanpa menunggu dijemput, dia terus menarik kerusi duduk menjamah hidangan tersebut. Anissa hanya meninjau dari dapur.
Usai menghadap hidangan, Harris menarik keluar dompetnya dari poket seluar.
"Seri..." laungnya sekadar dengar.
Anissa keluar dari dapur.
"Ini duit belanja dapur untuk minggu ni. Awak simpanlah. Nanti kalau awak perlukan apa-apa, tak perlulah tunggu saya."
Anissa segera menghulurkan tangan menyambutnya. Sebaik helaian-helaian wang kertas tersebut menyentuh tangannya dia mengaduh.
Harris terkejut. Empat helai wang kertas 50 ringgit melayang jatuh ke atas lantai. Anissa segera melutut memungutnya dengan tangan kiri sambil tangan kanan digenggam sedikit.
YOU ARE READING
SERI DI LAMAN HATI
Ficción GeneralTajuk: Seri Di Laman Hati Penulis: Zara Farida Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-2102-30-4 Muka Surat : 640 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM29.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Januari 2018 Harris nekad. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mencantas pr...