BEBERAPA helai kertas A4 putih yang berselirat dengan pelbagai angka bersepah di atas meja. Sebatang pen yang tadi menari-nari di jari kini kaku. Hembusan dingin dari kotak penyaman udara yang terlekat di dinding seakan-akan tidak lagi terasa membelai tubuh. Seluruh pandangan dan tumpuan Harris yang sebentar tadi terarah pada kertas-kertas di hadapannya tiba-tiba terasa dilintasi oleh dua batang tubuh. Dua orang kanak-kanak berkejaran dengan riang di sekeliling sebuah rumah kayu yang separuh usang.
Apabila kanak-kanak itu tertawa riang, dia tersenyum. Rasa bahagia itu terpercik ke hatinya. Apa tidaknya, waktu itu umpama dunia ini mereka yang punya. Bebas berlari ke sana ke mari, satu kampung telah mereka jelajahi.
Nakal sungguh kedua-duanya sewaktu kecil. Sanggup mereka mengejar anak-anak ayam peliharaan emaknya ketika anak-anak ayam tersebut diberi makan oleh ayah di hadapan tangga dapur. Kasihan, berdecit-decit si anak-anak ayam itu lari menyelamatkan diri. Terlihat ayahnya datang dengan sebilah ranting di tangan, kedua-duanya lari lintang-pukang. Ayah tidak pula mengejar. Bermakna mereka menang!
Tidak cukup dengan itu, mereka cuba pula menunjukkan kehebatan dengan mengusik sepasang angsa milik seorang jiran yang baru berpindah ke kampung tersebut. Malangnya angsa-angsa itu lebih hebat daripada mereka. Bermula dengan mengacah-acah itik tersebut dengan ranting kayu, mereka berdua akhirnya yang bertempiaran lari apabila tiba-tiba dikejar oleh itik-itik tersebut.
Tidak mungkin dia akan lupa tentang tempurung lututnya yang menghentam banir pokok saat dia lari menyelamatkan diri daripada angsa 'meroyan' itu. Akibat daripada itu dia jatuh tersembam. Hampir sahaja kepalanya terhempas ke satu banir runcing di hadapan. Apa lagi, saat itu juga lututnya bengkak, berbenjol hampir sebesar bola pingpong.
Nama pun budak-budak, mana mampu sembunyikan kesakitan. Bila malam, dia mengerang. Demam akibat menanggung kesakitan tersebut. Waktu itu, emaknya yang sedang berpantang selepas melahirkan adiknya, tidak tidur semalaman. Terus-terusan menjaram kepalanya yang panas dengan air perahan daun bunga raya yang dipetik oleh ayahnya dari halaman rumah. Seakan-akan masih terasa sejuk di kepalanya saat itu.
Kasihan pada emak? Ah, dia masih kanak-kanak, mana tahu untuk mempertimbangkan semua itu. Yang dia tahu, dia sakit. Emak mesti ada di sisinya. Hilang saja sesaat, dia mula gelisah. Air mata pun mula mengalir.
Saat merengek-rengek, dia dilambai oleh emaknya yang sedang menepuk-nepuk si kecil yang tiba-tiba terjaga dari tidur. Apa lagi, dalam teresak-esak dia bangun menjinjit bantal busuknya tidur di sebelah emak. Teringat lagi akan bau yang begitu kuat dari herba yang terpalit di dahi emaknya. Aduh, menyesakkan hidung! Tetapi, demi untuk mengambil tempat di sisi emak, dia relakan saja bau itu memenuhi rongga hidungnya. Dan akhirnya dia lena di situ.
Celik sahaja sebelah mata, kaki Zahir sedang berlabuh di atas dadanya. Entah bila Zahir datang tidur di sebelahnya, dia tidak tahu. Zahir memang cemburu, pantang tengok dia ada di sebelah emak, mulalah dia macam hendak menerkam, menolaknya ke tepi. Tidak hairanlah kalau pagi-pagi buta lagi mereka sudah bergelut berebut 'wilayah'.
Sehinggalah ayah membulatkan mata, barulah kedua-duanya pandai mencari posisi masing-masing di sebelah emak. Seorang di kiri, seorang di kanan. Ketakutan, kecut, bagai burung puyuh yang kebasahan. Bimbang juga mereka sekiranya sesekali tangan ayah sampai ke tubuh mereka tetapi kenyataannya itu tidak pernah berlaku. Apabila ayah berlalu, kedua-duanya menyeringai memandang emak. Mereka menang lagi!
Waktu itu dia merasa pelik. Berkali-kali emak mereka meyakinkan yang dia adalah adik kepada Zahir tetapi orang kampung tidak pernah mengeyakan. Malah ada ketika dia dan Zahir naik berang apabila ada di antara penduduk kampung tersebut yang 'kurang cerdik' sengaja mengacah-acah bahawa dia hanyalah anak angkat emaknya. Akibat marah, beberapa buah basikal dan motosikal milik pemuda-pemuda itu tumbang ditolak oleh mereka sebelum kedua-duanya lari dari situ.

ANDA SEDANG MEMBACA
SERI DI LAMAN HATI
Fiksi UmumTajuk: Seri Di Laman Hati Penulis: Zara Farida Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-2102-30-4 Muka Surat : 640 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM29.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Januari 2018 Harris nekad. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mencantas pr...