SEJAK insiden Anissa tumbang di hadapan pintu beberapa hari yang lalu, keadaan telah menjadi sedikit berubah. Dia rasa terlalu sukar untuk memandang muka majikannya itu. Malu dan kesal bercampur menjadi satu. Dalam pada itu terdetik rasa bimbang dalam hati apabila hari demi hari sepasang mata majikannya itu semakin kerap terarah padanya. Seakan-akan ada sesuatu yang tidak kena. Bukan dia bimbang dia akan diapa-apakan, tetapi sebaliknya dia takut identitinya yang disembunyikan selama ini terbongkar.
Terdetik rasa pelik dalam hati kerana telah beberapa kali keadaan yang sama berlaku. Apabila dia mengangkat muka bertanyakan soalan, majikannya itu bagaikan terpinga-pinga. Apa yang difikirkan oleh lelaki itu, dia tidak tahu. Apa yang jelas hanyalah soalan yang sama diajukan padanya saban hari. Awak dah sarapan? Awak dah makan tengah hari? sehingga dia lali mendengarnya. Keluar sahaja separuh ayat dari mulut tuan mudanya itu, dia sudah siap mengangguk.
Minggu itu jadual kerja Anissa sedikit berbeza. Oleh kerana majikannya itu ada urusan di Johor untuk tempoh satu minggu, dia diberi kebenaran untuk datang ke rumah itu mengikut waktunya sendiri.
Kesempatan itu diambil oleh Anissa untuk mengurus rumah dan emaknya. Dia tidak perlu lagi bergegas keluar rumah pada awal pagi. Selepas makan tengah hari dan solat zohor barulah dia berangkat ke rumah itu. Menyapu, mengemas mana yang perlu dan menyiram pokok bunga yang hanya sepasu dua di halaman, hasil tangan Mak Wa mungkin.
Sesekali telefon di ruang tamu berdering. Panggilan dari tuan mudanya. Bertanya itu dan ini. Entah apa yang ingin dipastikan, Anissa tidak tahu. Yang penting panggilan tersebut berjawab. Sekurang-kurangnya hati tuan rumahnya itu lega apabila mendapat tahu rumahnya berpenghuni dan dalam keadaan selamat.
Pada suatu petang sedang dia leka memasang semula langsir yang telah dicuci, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Siti Khadijah, sahabat karibnya menghubunginya.
"Assalamualaikum..."
"Waalaikumussalam... Wah... Pengantin baru ni, baru jumpa nombor telefon kita ke?" usik Anissa sebaik saja mendengar suara sahabatnya itu.
"Ala... Sorry la... Sibuk, banyak benda nak buat."
"Sibuk? Aik, pelik bunyinya tu. Orang pergi honeymoon tenangkan fikiran, bawa balik sweet memory, ini sibuk pula?" balas Anissa lucu.
"Ala... Orang tua pergi honeymoon Anis, siap bawa anak sekali. Bukan sweet aje, segala sour, salty, semua ada. Adam ni, kau tau-tau sajalah nakalnya."
Anissa ketawa. Lucu dengan penjelasan sahabatnya itu.
"Dah lama kita tak jumpa, kan?"
"Memang pun... Dah lama sangat. Tapi tak apa, aku faham Dija, kau bukannya orang bujang macam aku..." balas Anissa.
"Alah, cakap orang, dia pun sama. Aku ni ha, nak jumpa kau punyalah susah. Sampai aku kahwin pun kau tak datang." Belum pun habis ayat Anissa, Siti Khadijah memangkas.
"Aku lain, Dija... Bukan aku tak sudi, tapi kau pun faham, kan? Mak aku tu bukan sihat sangat. Tak sampai nak tinggalkan dia sorang kat rumah."
"Yalah... Orang ada mak... Kita ni tak ada mak, sibuk jaga diri sendiri ajelah..."
"Dah, dah... Ha, apa souvenir untuk aku dari Holland?" Anissa mencantas ayat sedih sahabatnya itu. Sejak ibunya meninggal, itulah ayat 'tagan' paling power yang akan keluar dari mulut Siti Khadijah setiap kali ingin melemahkan hatinya. Siti Khadijah telah menempuh usia persahabatan dengannya selama hampir sepuluh tahun, sejak mereka belajar di sekolah menengah yang sama. Satu-satunya insan yang paling mudah untuk dia meluahkan segala persoalan yang berbuku dalam hati.
"Ada... Aku ingat, kau nak bunga tulip, kan?"
"Ha, nasib baik kau ingat." Anissa ketawa.
"Bukan aku aje yang ingat, Adam pun berkali-kali ingatkan aku pasal pesanan kau."

ANDA SEDANG MEMBACA
SERI DI LAMAN HATI
General FictionTajuk: Seri Di Laman Hati Penulis: Zara Farida Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-2102-30-4 Muka Surat : 640 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM29.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Januari 2018 Harris nekad. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mencantas pr...