Daripada : Nia Hasyira
Kepada : DaniellTerima kasih untuk segalanya.
Aku amat hargai jasa baik kau.Nasib baik kau tak maju setapak dekati aku.
Kalau tidak, kau mungkin aku kunci dalam satu bilik yang aku panggil hati. Dan, cukuplah setakat ini. Pertemuan kita aku simpan dalam satu kotak memori. Kerana aku tahu kau takkan kembali ... lagi.
Di hujung ayat, noktah aku beri. Coretan aku pun terhenti. Pen tidak lagi menari di atas kertas putih. Segala rasa yang bergelojak dalam jiwa telah aku sapu bersih. Telah setahun berlalu sejak Daniell pergi.
Surat itu aku lipat kemudian dimasukkan ke dalam sampul surat. Pen aku capai kembali. Di hujung sampul aku catatkan tarikh surat ditulis beserta bulan dan tahun.
Aku seorang yang sentimental. Mahu aku kenang surat ini apabila bulan dan tahun menginjak ke hadapan. Bukannya mahu kekal di takuk lama tapi kerana emosiku enak membuai perkara yang sudah berlalu.
Laci meja aku buka. Lantas sampul surat itu aku masukkan ke dalam laci.
Deringan telefon yang menandakan ada panggilan masuk serentak mematikan lamunan dan memancing perhatianku. Telefon aku capai. Terpapar nombor tak dikenali pada skrin. Ikon hijau segera aku tekan.
"Ini nombor Cik Nia Hasyira, ke?" Terdengar suara garau seorang lelaki di hujung corong telefon.
Aku mengangguk seolah-olah pemilik panggilan itu sedang melihat aku. Menyedari kesilapan diri sendiri, aku menepuk dahi. Senyuman manis dikulum.
"Hello? Betul ke ini nombor Cik Nia Hasyira?" lelaki itu menyoal lagi apabila aku tidak memberi respon.
"Ya, saya. Betullah tu. Ini nombor saya. Ada apa, encik?"
"Alhamdulillah. Baiklah, Cik Nia. Sebenarnya saya ialah Inspektor Khai daripada Balai Polis Jerjak. Saya ingin meminta Cik Nia datang ke sini untuk membantu siasatan penuh bagi kes kemalangan Cik Nia setahun yang lalu. Boleh cik bagi kerjasama?"
"Boleh je. Tapi setahu saya, tiada siapa yang memfailkan kes itu."
"Ayah kepada Cik Nia yang buka kes ini kembali. Dan kami sudah pun mula menjalankan siasatan. Oleh itu, kami meminta bantuan Cik Nia untuk melancarkan kerja kami."
Aku mengangguk perlahan.
"Ya, baiklah."
* * *
"Tak sangka benda remeh temeh pun dia perbesarkan hingga sanggup menggadaikan nyawa orang lain. Dah muflis keimanan gamaknya manusia zaman sekarang. Aku tak faham betul," Wawa berceloteh sepanjang perjalanan kami ke kafe.
"Ya. Aku pun tak sangka. Tapi dia orang pun dah terima hukuman, kan? Jadi, tak payahlah kita nak ungkit pasal benda ni lagi. Okey?"
Aku memaut lengan Wawa seraya beriringan ke mesin air. Hari yang panas membuatkan tekak aku kehausan.
"Tapi, aku kesian dekat Zack. Dipergunakan oleh kawan baik sendiri. Aduh ... aku tak bolehlah. Rasa kesian sangat."
Wawa menepuk dadanya perlahan. Mungkin cuba untuk menenangkan diri.
"Kau memang macam tu. Mudah jatuh kasihan dengan orang lain. Tapi bertempat, Wawa. Bukan sepanjang masa dan biar kena dengan situasi. Kalau tak, ia menjadi beban kepada diri sendiri," aku menasihatinya berlagak seperti seorang pakar.
Walhal hakikatnya, aku tetap seorang manusia biasa. Kadang terbabas juga emosi ini. Diri penuh dengan cacat cela. Banyak juga kepincangannya. Tapi itu tak bermakna aku perlu tunggu sempurna untuk bermadah kata memberikan nasihat kepada yang lain.
Setiap hal semakin baik dan positif. Begitu juga hidup aku untuk semalam, hari ini, esok dan hari yang mendatang.
Dan langkah aku mulakan dengan segaris senyuman.
YOU ARE READING
Menghitung Hari
Short StoryDaripada : Nia Hasyira Kepada : Terima kasih untuk segalanya. Aku amat hargai jasa baik kau. ... Nasib baik kau tak maju setapak dekati aku. *tersenyum bahagia~ Kalau tidak, kau mungkin aku kunci dalam satu bilik yang aku panggil hati. Dan, cukup...