Nia mengangkat mukanya dengan ragu-ragu. Suasana dan masa berubah dengan cepat. Hanya Nia dan Daniell yang masih tercegat berdiri di situ.
Kelihatan sebuah ambulans datang dan mengambil mayat pemandu teksi tadi.
Tempat mereka berdiri bertukar ke sebuah hospital. Di dalam wad. Wanita tadi sudah melahirkan bayinya. Comel sungguh wajah bayi itu.
"Anak puan nak namakan apa, ya?" Seorang jururawat bertanya.
"Nia. Nia Hasyira. Cantik tak nama tu?"
"Cantik, puan." Jururawat itu melemparkan senyuman manis.
Nia meneguk liurnya kesat. Nia Hasyira.
Bunyi pintu diketuk membuatkan Nia berpaling. Seorang wanita bersama seorang lelaki masuk bersama sebuah bakul buah-buahan. Ibu? Abah?
"Wah, cantiknya anak kamu, Nia. Bukankah jauh meleset daripada jangkaan doktor. Dirinya sempurna tanpa cacat cela. Alhamdulilllah." Suara lembut ibu menyapa pendengaran Nia.
"Alhamdulillah. Kuasa ALLAH SWT semuanya. Akak, nama dia pun Nia jugak. Saya Nia Haslina. Dia pula Nia Hasyira. Barulah saya rasa selalu dekat dengannya walaupun jauh bersama dengan keluarga akak nanti." Wanita itu tersenyum lagi. Ada sinar bahagia dalam anak matanya.
"Daniell... Apa semua ni?" Nia memandang Daniell dengan matanya kemerahan. Mukanya terasa panas berbahang.
"This is the truth. Nia kena tau semua ni."
"A-aku nak balik. Daniell... Nak balik." Tersedu Nia menangis. Dia menggeleng kepala berkali-kali.
Daniell mengangguk mengerti. Dalam sekelip mata, mereka kembali ke taman yang berkabus tadi.
Nia terduduk. Tangannya menyentuh dada kirinya yang terasa sakit. Sakit yang amat.
Daniell pula duduk dengan menongkat sebelah lututnya di sisi Nia.
"Nia... Nia tak nak tau ke apa yang terjadi pada budak lelaki tadi?" Daniell menawarkan khidmat untuk bercerita. Dengan tiba-tiba saja dia membangkitkan cerita itu.
"Apa... Apa yang dah jadi pada kau?" Nia mendongak.
"Dia membunuh dan dibunuh." Daniell mula membuka cerita. "Selepas hantar perempuan tu ke hospital, dia larikan diri dengan teksi tu. Untuk beberapa hari. Dia tak tau nak pergi mana masa tu. Tapi polis bijak. Dapat detect keberaadaannya dan cuba tangkap dia. Seorang remaja yang tak tahu apa-apa, hanya tahu lari dan lari. Dan disebabkan sikap tak sabar manusia, mereka melepaskan tembakan rambang. Saat itulah, nyawa budak tu melayang."
Nia memandang tepat ke dalam mata Daniell.
"Apa benda yang kau cerita ni? Habis yang depan aku ni siapa?" Bentak Nia.
"Roh yang sudah terpisah daripada jasadnya. Aku datang nak minta maaf atas apa yang aku lakukan. Lama aku tunggu kau. Tapi lastly aku jumpa kau kat bus stop 7 hari yang lalu. Dan, untuk tempoh 7 hari, aku berjanji dengan diri aku untuk selalu ada di samping kau. And I did it."
"Habis, lepas ni kau nak pergi mana? Kau punya 7 hari dah tamat." Nia menyeka sisa air matanya.
"Sebab itulah kita kat sini. Aku nak ceritakan semua pada kau sebelum aku pergi. Dan minta maaf untuk kematian ayah kau, Nia." Daniell sudah berdiri tegak.
"Selepas kau tinggalkan aku dalam semua kekusutan ni, kau nak hilang macam tu saja?Tak adil, Daniell!"
"I'm here to tell you the truth. Kau jangan nakal-nakal dah. Aku dah tak ada untuk jaga kau. Dan tolong jangan berani sangat dan bahayakan diri kau." Daniell tergelak kecil.
Nia hanya memerhatikan Daniell dengan fikiran kosong. Perlahan-lahan kabus memenuhi ruang pandangannya lagi.
* * *
Sebaik sahaja dia membuka mata, suara ibu riuh kedengaran.
"Abang! Nia dah sedar! Alhamdulillah."
"Ibu," panggil Nia lemah.
Dari hujung birai matanya, sempat dia melihat kelibat Daniell di penjuru wad. Ingin dia memanggil lelaki itu tapi tiada daya.
Wayar yang berselirat di badannya dipandang dengan rasa serabut. Apa benda semua ni? Nia cuba membuang wayar tersebut dek rasa rimas.
"Kenapa sayang? Nia, jangan macam ni," ujar ibu sambil menahan tangan Nia.
"Doktor! Doktor!" Suara abah pula kedengaran sebelum beberapa jururawat mengiringi seorang doktor perempuan.
Nia dikerumun lagi. Buat kali ini, dia diam. Tak mampu melawan tenaga mereka yang sihat walafiat.
* * *
Beberapa bulan kemudian...
Nia menarik nafas sedalam yang mungkin. Riuh rendah taman itu pada petang hari dengan kehadiran anak-anak kecil yang bermain riang ria. Tersenyum Nia melihat telatah mereka.
Dia bersandar selesa di bangku sambil mengenakan earphone untuk mendengar lagu. Lagu HearThe Wind Sing oleh Gfriend menjadi pilihan.
Petang itu sungguh nyaman apabila angin mula bertiup sepoi bahasa mengalunkan selendangnya.
Untuk sejenak, dia termenung mengingatkan Daniell. Tentang rahsia yang diberitahu Daniell, tak pernah sekali pun diceritakan kepada ibu dan abah. Entah. Dia malas membangkitkan isu ini. Mungkin belum tiba masanya lagi.
'Daniell... kau dah pergi untuk selamanyalah, kan? Tapi, aku tetap rasa kau ada.'
Nia mengeluh kecil. Penat mengenangkan lelaki yang sudah tiada itu.
Selepas kejadian Nia kemalangan tempoh hari, punca kemalangan yang menimpa Nia masih kekal misteri. Semua orang menganggap Nia terbabas kerana dia sangat mengantuk pada pagi tersebut. Sumber info daripada si Wawa.
Tentang hal ini juga tidak dibangkang oleh Nia. Dia tahu apa yang terjadi tetapi hanya tidak mengenali siapa pemilik kereta yang cuba mengasaknya untuk merempuh sisi jalan.
Tapi bagi Nia semua itu tidak penting. Masih berpeluang menghirup udara segar di atas bumi ALLAH SWT ini lebih diutamakan.
"Alhamdulillah, Ya Allah." Nia menarik nafas panjang.
Perlahan senyuman nipis terukir di bibir Nia.
'Akan aku semat tarikh itu di dalam hati. Hari perginya Daniell dalam hidup aku. 10 Oktober 2017. Terima kasih untuk segalanya. Moga kau tenang di sana.'
YOU ARE READING
Menghitung Hari
Krótkie OpowiadaniaDaripada : Nia Hasyira Kepada : Terima kasih untuk segalanya. Aku amat hargai jasa baik kau. ... Nasib baik kau tak maju setapak dekati aku. *tersenyum bahagia~ Kalau tidak, kau mungkin aku kunci dalam satu bilik yang aku panggil hati. Dan, cukup...