Bab 2

15.6K 104 2
                                    

Hana selesai mengemas semua pakaiannya. Dokumen penting awal-awal lagi sudah disimpan dalam deposit box di bank. Dua bagasi besar dibawa menuruni tangga. Bibik memandang hairan.

"Ibu mahu ke mana?" prihatin bibik. Hatinya tak sedap melihat kepulangan Hana yang tergesa sambil menangis tadi.

Hana senyum kelat. Tubuh bibik ditarik dan dipeluknya erat. Perempuan ini banyak membantunya membesarkan Hakimi dan Haida. Hampir dua belas tahun bibik bersamanya.

"Tolong jaga Kimi dan Ida baik-baik ya, bik. Saya bukan isteri tuan lagi. Saya sudah dicerainya tadi," bisik Hana sakit.

"Astaghfirullahalazim, puan. Kenapa jadi begini? Subhanallah."

Bibik menangis terkejut. Dibalas pelukan Hana.

"Jodoh kami tak panjang, bik. Tolong ya, bik? Jangan berhenti kerja. Jangan pergi mana-mana sampai Kimi dan Ida boleh terima ketiadaan saya di sini. Tolong," rayu Hana. Sebak hatinya. Baru kini tersedar akan kesan yang bakal dilalui oleh si anak. Tadi masa bergaduh dan minta cerai dari Azlan, tak terfikir langsung hal anak-anak. Bibik tak mampu membalas kata. Anggukan di kepala tanda akur.

Bunyi kereta masuk ke laman rumah buatkan Hana melepaskan pelukan. Air mata bibik disekanya dengan hujung jari. Bahu bibik ditepuk sebelum berlalu menuju ke ruang tamu. Bibik memerhati dari pintu dapur. Sedih!

"Hana! Nak ke mana?" soal Azlan resah. Rupa keruh bercampur kesal. Beg bagasi besar tepi pintu dipandangnya tak berkelip.

"Hana perlu keluar. Talak dah jatuh. Hana bukan isteri abang lagi," balas Hana pedih. Seingatnya dia mampu berpisah dengan Azlan. Tapi hakikatnya, ketika mengemas baju tadi baru dirasakan sesak dada melepaskan cinta. Pahit manis enam belas tahun bersama, tamat di sini.

Azlan memeluk Hana erat. Rontaan Hana dikunci. Bibir mencari telinga Hana.

"Maafkan, abang. Kita rujuk," rayu Azlan berbisik memujuk.

Hana geleng. Hatinya terus mengeras.

"I love you," bisik Azlan lagi.

"Mana? Tunjuk pada Hana. Mana cinta abang pada Hana. Hana tak nampak. Tak dapat sentuh. Tak dapat rasa. Hana setuju bernikah dengan abang sebab masa tu kita cinta satu sama lain. Hana nak kita halal meluahkan cinta antara kita. Hana fikir abang akan jaga dan bimbing Hana sebagai isteri abang, sampai akhir hayat Hana. Tapi macam-macam yang Hana perlu lalui sebagai isteri abang. Sejak kita ada business sendiri dan dah rasa mewah sikit. Hana dipandang penuh kekurangan. Ini kurang. Itu kurang. Di mata abang, Hana ni menyusahkan. Tak mendatangkan keuntungan langsung pada abang," luah Hana. Tubuh Azlan ditolak menjauh.

"Hana, abang minta maaf. Abang tahu abang salah. Kita rujuk ya, sayang?" bisik Azlan memujuk lembut. Ditarik tubuh Hana ke dalam pelukannya kembali. Hana menolak. Ke belakang selangkah menjauhi Azlan.

"Tak! Hana tak sanggup. Kes-kes curang ni dah jadi perkara biasa buat abang. Dah buat, minta maaf. Janji tak buat lagi. Tapi sudahnya jadi lagi. Ingat tak masa Hana mengandungkan Ida dulu? Hana tengah sarat masa tu. Abang boleh pergi bercuti dengan girlfriend abang, Si Melinda tu. Hana menangis tengah malam, sebab Hana tumpah darah tengah malam tu. Mana abang masa Hana sedang sakit nak melahirkan Ida?" Hana mengungkit kisah silam.

Hana sangat kecewa dengan sikap curang Azlan yang tak berubah. Pendirian Azlan tentang bergaul mesra dengan perempuan terlalu liberal dan moden. Bukan salahnya sebab perempuan yang terhegeh padanya. Itu memang lumrah hidup seorang lelaki yang ada rupa, pangkat, berharta dan bermulut manis.

"Jangan ungkit kisah lama boleh tak? Abang dah minta maaf kan? Kalau asyik ungkit, sampai bila pun hal ni tak selesai," kata Azlan. Bengang pula dengan perangai Hana yang mengimbas kembali khilaf silam.

"Sebab kisah lama itu sama aje dengan yang baru. Bezanya adalah perempuan yang menjadi pasangan abang tu aje. Dahlah, bang. Hana dah nekad. Hana tak sanggup jadi isteri abang lagi. Hana dah puas bersabar. Sejak Ida dalam perut Hana, sampailah Ida dah masuk tingkatan satu, abang tetap tak berubah. Abang bangga dan bermegah dengan apa yang abang miliki. Abang kejar harta kekayaan dan pujian hingga Hana dan anak-anak terabai. Sampai Hana rasa Hana ni bukan isteri abang lagi. Hana tak nampak abang insaf sebab abang asyik mengulangi kesilapan yang sama berulang-ulang," jelas Hana dengan suara yang mulai bergetar.

Azlan mengeluh. Tangan meraup rambut. Kusut kepalanya. Kedegilan Hana buatkan dia bingung seketika. Dia sayangkan rumah tangga yang lama dibina.

"Hana, kita rujuk demi Kimi dan Ida, ya?" Alasan Azlan. Berharap hati keras Hana akan cair. Hana menggeleng.

"Hana dah lama letakkan Kimi dan Ida sebagai penyebab untuk Hana bersabar. Tapi itu dulu. Sekarang, Hana dah letih guna sebab yang sama untuk terima abang. Hana tak mampu nak tipu hati Hana lagi. Hana kecewa sangat. Kecewa sangat-sangat. Huh! Rasa terhina sangat. Cukuplah," jawab Hana. Air mata diseka laju.

"Kalau begitu abang tak izinkan Hana jumpa langsung dengan Kimi dan Ida. Itu yang Hana nak, kan? Baik! Kita jumpa di pejabat agama," tegas Azlan.

Marah Azlan membuak. Maafnya tak diterima langsung oleh Hana. Dia suami yang bertanggungjawab. Dia mampu. Sikap Hana menidakkan haknya yang boleh beristeri lebih dari seorang mencabar egonya.

"Abang!" jerit Hana terkejut. 

BAHAGIA BUKAN BIDAANWhere stories live. Discover now