Tempoh edah Hana selesai minggu lalu. Hidupnya semakin menjadi huru-hara sejak Azlan bertegas menghalang keras Hana bertemu anak-anaknya. Telefon pun tak dibenarkan.
"Abang, betul ke apa yang kita buat ni?" soal mak su pada suaminya. Pilu melihat keadaan Hana yang hilang semangat untuk hidup sejak menjanda. Macam robot saja rutin hariannya. Tiada perasaan. Tiada nyawa.
"Si Ha tu kata memang kelakuan orang tertekan macam Hana ni. Awak nak ke tengok dia lost macam tu lagi? Abang tak sanggup. Dialah satu-satunya anak buah abang. Tanggungjawab abang," jelas pak su.
Hana mulai mengambil ubat penenang selepas dia terselamat daripada dilanggar oleh sebuah lori hantu. Mujurlah ketika itu, Talhah yang merupakan jiran sebelah rumah pak su ada di tempat kejadian. Nak dijadikan cerita, Talhah tu doktor psikiatri. Senang saja dia kenal pasti simptom tekanan yang ada pada diri Hana. Setelah menjalani pemeriksaan lanjut di hospital, Hana didapati mengalami tekanan yang akan mengganggu kesihatan mentalnya. Hana mulai mengalami halusinasi iaitu suara-suara halus. Disebabkan itu Hana susah nak tidur malam. Dan turut menyebabkan selera makannya jatuh merudum. Interaksinya dengan orang lain pun semakin kurang. Dia lebih selesa menyendiri dalam bilik.
"Tak ada kesan sampingan ke, bang? Yalah, Hana bergantung pada ubat tu untuk tenang," musykil mak su.
"Kata Ha, tak ada masalah. Cuma Hana akan rasa mengantuk aje. Sebab itulah Ha kata kalau boleh jangan biarkan Hana keluar sendirian ataupun memandu. Bahaya," sambung pak su lagi.
Cekodok atas piring dipandang penuh menyelerakan. Sebiji demi sebiji masuk dalam mulut mak su yang melayan rasa geram. Tengah geram ni, makan apa pun sedap.
Pak su melepaskan keluhan bimbang. Muk berisi Nescafe yang baru dituang oleh mak su diteguknya perlahan. Kepala kembali menerawang memikirkan ikhtiar terbaik untuk memulihkan Hana kembali.
"Saya inikan bang, ikutkan hati mahu saja saya sula budak Azlan tu. Dah ceraikan Hana tu sudahlah. Jangan diganggu lagi. Bukan awak tu lama sangat menduda. Dah nak nikah baru pun dengarnya. Buatlah cara orang nak nikah baru. Halang sangat Hana tak bagi jumpa anak-anak dia. Macamlah kita tak nampak niat sebenarnya. Gimik aje tu. Dah macam orang gila talak pun ada juga," bebel mak su.
Pak su mengeluh lagi. Apa yang diucapkan si isteri ada kebenarannya. Azlan dah macam orang gila talak merayu Hana. Walaupun cara Azlan tu menjengkelkan, tapi sangat meninggalkan kesan pada Hana dan orang sekeliling Hana. Alasan anak diguna sampai buatkan bukan Hana saja terkesan, malah anak-anak mereka pun mendapat tempiasnya. Kesian budak berdua tu.
"Aku pun dah tak tahu nak cakap apa dengan Si Azlan tu, Mah. Dia yakin sangat Hana tu mengalah dan terima dia semula. Dia tak tahu yang hati Hana tu dah cedera parah disebabkan dia. Isy, nak aje aku suruh Hana tu nikah dengan siapa-siapa, baru putih mata dia," sokong pak su.
Perbualan mereka terhenti, ketika sebuah teksi berhenti betul-betul di depan rumah. Turun seorang wanita dari perut kereta bersama sebuah bagasi ditarik masuk ke pekarangan rumah.
"Assalamualaikum," sapa pak su yang berdiri di depan anjung.
"Waalaikumussalam. Tumpang tanya ya, pak cik? Betul ke ini rumahnya pak su Ain Farhana binti Sulaiman?" soal wanita itu cukup sopan.
"Ya. Ini rumah saya. Anak ni siapa?" soal pak su. Lebar senyum di wajah wanita tersebut. Terus dia berjalan mendekati pak su dan mak su yang berdiri memandangnya pelik.
"Laaa, takkanlah dengan Uni pun pak su dan mak su dah lupa? Saya ni kawan baik Hana. Murni, yang kahwin dengan mat salih tu," jelas Murni memperkenalkan diri. Melopong mulut pak su. Terkejut.
"Astaghfirullahalazim budak bertuah ni," ucap pak su. Kepala digeleng tak percaya. Baru minggu lepas dia bersembang dengan Murni melalui telefon. Tak ada angin, tak ada ribut muncul tiba-tiba depan rumah. Mak su menarik tubuh Murni ke dalam pelukannya. Pipi dilaga penuh kasih sayang. Sebak rasa hati tiba-tiba.
"Budak bertuah ni. Manalah mak su nak cam. Kamu tu sejak dah kahwin mana nak datang rumah mak su ni. Mak su dengar cerita kamu pun dari Hana aje. Mana anak dan suami kamu, Uni?" soal mak su. Kenal sangat dia dengan Murni. Kawan baik Hana dari sekolah hingga dia berumur tiga puluh enam tahun.
"Saya balik sorang aje, mak su. Nak jumpa Hana. Anak-anak tinggal dengan daddy dia. Sekali-sekala tinggal apa salahnya, kan? Hana macam mana, mak su?" soal Murni, tak sabar nak bersemuka dengan teman baiknya itu.
Bergetar bibir mak su menahan sebak yang semakin menebal. Hujung lengan baju ditariknya untuk mengesat air mata yang sudah berkumpul di tubir mata. Hana gosok lengan mak su perlahan. Faham maksud bahasa badan yang disampaikan.
"Dah... Dah la tu, mak sunya. Tetamu datang jauh ni. Jom masuk dalam. Hana tengah tidur dalam bilik," pujuk pak su lembut.
Murni angguk. Dia membuntuti pak su dan mak su sambil menarik beg bagasinya masuk ke dalam rumah. Keputusan untuk pulang diambil setelah Murni berbual dengan pak su dan kemudiannya dengan doktor psikiatri yang merawat Hana. Bukan orang lain, kenalan rapat mereka masa di sekolah menengah dulu rupanya.
"Murni cuti berapa lama?" soal pak su.
"Uni cuti sebulan, pak su. Ingatnya nak menumpang sini aje. Uni nak bawa Hana berubat. Uni dah bercakap pun dengan Dr. Talhah yang pak su bagi tu. Laaa, kenapa pak su tak cakap nama dia Ha aje?" cerita Murni cukup ceria. Sikap peramahnya tak berubah dari dulu sampailah sekarang.
"Uni kenal?" soal pak su dengan kening bercantum.
"Apa tak kenalnya pula pak su? Ha tu senior kami masa sekolah menengah dulu. Masa call tu, dia terus minta maaf sebab masa sekolah dulu dia selalu buatkan Uni dan Hana kena denda. Sikit-sikit denda. Sikit-sikit denda. Tapi itulah, budak nakal memang selalu jadi mangsa pengawaslah, kan," cerita Murni selamba.
"Alhamdulillah. Mudahlah kalau macam tu. Pak su pun bukan faham sangat apa yang Ha tu cerita. Pakat serah mana yang terbaik pada dia aje. Asalkan Hana sembuh," pasrah Paksu.
"Uni dan Ha sentiasa ada di sisi pak su dan mak su. Kami nak tengok Hana sembuh macam dulu balik. Kita usaha dan doa sama-sama ya, pak su, mak su,"pujuk Murni. Pak su dan mak su hanya mengangguk. Itu yang mereka harapkan. Hana kembali pulih seperti sebelum ini.
"Aku benci kau! Aku benci! Aku benci! Benci!"
Suara Hana bergema di tingkat atas rumah. Berlari pak su dan mak su macam lipas kudung menuju ke bilik Hana. Murni yang pertama kali dengar jeritan Hana tergamam.
Wake up, Hana! Fight! Fight for youself. Doa Murni bersungguh. Terkesan hatinya melihat pak su dan mak su bersusah payah menenangkan Hana. Luluh hatinya melihat Hana yang menangis dan meronta semahu hatinya. Sakitnya kerana dia bingung tak tahu nak bantu bagaimana.
YOU ARE READING
BAHAGIA BUKAN BIDAAN
General FictionTajuk: Bahagia Bukan Bidaan Penulis: Hessa Widad Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-076-2 Muka Surat : 560 Harga: RM24.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Mac 2018 "Dengar sini, Ain Farhana binti Sulaiman, aku ceraikan kau de...