Bab 12

15.5K 61 8
                                    

"Kalau papa nak kahwin juga dengan Kak Aina tu, kahwinlah. Kimi tak larang. Tapi Kimi dan Ida tak akan duduk dengan papa lagi. Kimi nak duduk dengan tok ibu. Kimi dah cakap dengan tok ibu pun. Tok ibu dah setuju," suara Hakimi bergema dalam kereta. Azlan terdiam. Dia menoleh pada Hakimi di sebelah dan ke cermin belakang untuk memandang Haida.

"Mana boleh macam tu. Kimi dan Ida kan anak papa. Kenapa mesti susahkan tok ibu yang dah tua tu? Lagipun Kimi dan Ida kan duduk asrama. Takkan hujung minggu pun tak nak balik rumah papa? Kesianlah kat papa," pujuk Azlan.

"Bukan tok ibu susah pun. Suka lagi adalah sebab bibik pun ada sekali," celah Haida yang mencebik meluat. Perlahan namun sampai ke pendengaran Azlan yang sedang memandu.

"Bukan dulu Ida kata duduk rumah tok ibu tak seronok ke? Tak ada Internet. Tak ada Astro. Bilik pun tak ada air cond. Panas!" ungkit Azlan.

"Dulu tu sebab ada mama. Rumah rasa macam syurga. Mama ada aje masa untuk kami. Sekarang, mama tak ada. Bukan aje tak boleh jumpa mama. Nak call pun tak boleh. Baik duduk dengan tok ibu. Tok ibu selalu call mama. Ida boleh dengar suara mama," cerita Haida.

Azlan bengang. Dia mampu halang dan kawal anak-anak dan Hana. Tapi dia tak mampu kawal Rosnah, ibunya. Perceraiannya mendapat tentangan daripada Rosnah dan adik-beradik yang lain. Sampai sekarang, Rosnah mogok cakap dengannya. Bawa Aina balik kampung jumpa Rosnah pun, dilayan endah tak endah. Adik-beradik lain okey saja lepas disogok dengan keselesaan hidup yang dibantu sebelum ini.

"Bie! Bie! Mak tanya tu," kejut Aina.

Lamunan Azlan terus hilang. Soalan Salmi buatkan fikirannya melayang memikirkan anak-anak.

"Maaf. Apa dia tadi mak cik?" soal Azlan.

"Mak cik tanya anak-anak encik izinkan ke encik nikah dengan Aina ni? Dan boleh encik bagi tahu mak cik kenapa encik ceraikan puan? Mak cik tahu, itu soalan peribadi tapi sebabkan encik nak ambil anak mak cik jadi isteri, mak cik nak tahu." Lembut suara Salmi minta penjelasan.

Glurp!

Aina dah tak senang duduk. Soalan yang sama telah dijawabnya bila disoal oleh Salmi. Dia dah menjawab sebaik mungkin untuk buatkan Salmi faham kondisi kisah cintanya. Bukan dia yang suruh Azlan ceraikan Hana. Bukan!

"Sebenarnya mak cik, saya tak terniat pun nak ceraikan bekas isteri saya tu. Saya yakin dapat membahagiakan mereka dengan poligami. Saya mampu bahagiakan mereka. Tapi belum sempat saya menyuarakan hasrat saya, bekas isteri saya terlebih dahulu minta cerai. Dia yang berkeras nak bercerai. Hmmm... Mak cik jangan risau, anak-anak saya memang kenal dan selesa dengan Aina. Saya tak nampak kenapa mereka tak izinkan saya bernikah dengan Aina. Lagipun, sebagai ayah saya tak perlukan izin mereka," jelas Azlan.

Wajah tenang Salmi berubah kelat. Dipandangnya pada anaknya yang dah menunduk memandang ke lantai. Kemudian nafas lelah dilepaskan. Apa yang didengari sudah mengesahkan apa yang difikirkannya sebelum ini. Kisah cinta Aina dan Azlanlah yang menjadi penyebab Hana minta cerai. Sakit betul hatinya.

"Encik, mak cik ni kenal encik dan puan sejak Aina kerja dengan encik setahun yang lalu. Sebagai orang tua, mak cik gembira tengok pasangan suami isteri yang sepakat berusaha bangunkan syarikat bersama. Kagum sangat. Selama itu, mak cik kenal dengan puan. Dia seorang yang lemah lembut, penyayang, tak sombong, suka bantu orang susah, penyabar dan sanggup bersusah untuk keluarga. Tak ramai isteri yang sanggup buat apa yang puan buat, encik. Jika nak dibandingkan dengan Aina ni, macam langit dengan bumi. Aina ni masak pun tak pandai. Kemas rumah pun tak pernah. Bagaimana dia nak uruskan rumah tangga sehebat puan? Encik yakin ke, Aina mampu jadi isteri yang lebih hebat dari puan?" tanya Salmi. Soalan yang penuh maksud tersirat.

BAHAGIA BUKAN BIDAANWhere stories live. Discover now