Murni bengang dengan Hana. Pagi tadi dia dah puas membebel pada Hana yang tiba-tiba buat keputusan untuk ke pejabat Azlan. Alasan Hana mudah. Nak selesaikan back lock dengan Biah setiausaha Azlan. Permintaan terakhir Azlan katanya.
Pak su dan mak su pun dah cakap tak usah. Tapi, Hana degil. Alasan Hana senang saja. Dia pergi pejabat bukan sebab permintaan Azlan tapi masa depan staf yang kerja di situ. Dan sekarang lepas dah selesai di pejabat, Hana turun pula ke kafe di tingkat bawah.
Pekerja lama hanya tinggal tiga orang saja yang bertahan. Yang lain semua dah berhenti. Sekarang semuanya muka baru yang Hana tak kenal langsung. Memang nampak bezanya suasana di kafe sekarang dengan masa dia ada dulu.
"Puan sihat?" soal supervisor.
"Alhamdulillah. Wah! Semua muka baru, ya? Bergetah dengan uniform baru," puji Hana ringkas. Pembaharuan kafe yang kelihatan mewah di mata Hana. Pasti kos operasinya pun turut meningkat. Telah Hana sekilas.
"Pengurusan baru, puan. Strategi pemasaran pun baru. Itu yang ramai berhenti. Tak tahan dengan kerenah pengurusan baru yang tak tetap pendirian," cerita supervisor cukup ringkas. Namun, cukup difahami oleh Hana.
Bukan mudah nak uruskan perniagaan runcit yang mengendalikan aliran tunai keluar masuk setiap hari. Nak pula, dalam bentuk makan minum. Peratusan untung rugi hujung jari saja. Silap percaturan boleh rugi besar. Betul pengiraan boleh untung berganda. Cabarannya pun banyak. Tak boleh ambil ringan faktor tukang masak, tukang buat air dan pelayan. Malah faktor kebersihan dan layanan pada pelanggan pun dititikberatkan.
"Eloklah tu. Pembaharuan yang menguntungkan kafe," puji Hana. Dia tak mahu komen lebih. Kafe ini bukan urusannya lagi.
"Elok apanya, puan? Sales bulan lepas pun tak capai target. Dah dua bulan sales tak capai target ni. Lepas ni tak tahulah apa yang encik nak tukar," adu supervisor.
"Dia lebih arif. Ikutkan aje," balas Hana mudah. Supervisor angguk. Setuju.
Murni yang duduk sebelah Hana hanya diam mendengar. Dari pagi tadi telinganya dipasung mendengar komen negatif tentang pengurusan Azlan. Kat pejabat tadi pun, dia dengar ada beberapa orang eksekutif kesayangan syarikat berhenti kerja dengan notis sebulan. Biah yang dah bekerja lebih empat tahun tu pun dah mula hantar resume pada syarikat lain. Tak tahan katanya.
"Assalamualaikum, puan," tegur Aina yang berdiri di tepi meja Hana.
"Waalaikumussalam. Tak payahlah panggil saya puan. Panggil Hana cukup," ucap Hana lembut. Ini pertama kali dia bersemuka dengan Aina selepas kejadian hari itu. Entah kenapa, sudah hilang rasa marah dan dendam dalam hatinya.
Murni angkat kening menyoal siapa perempuan ini pada Hana. Hatinya rasa lain macam saja tengok gaya ayu dengan penampilan mewah Aina dengan beg tangan, kaca mata hitam dan kasut berjenama mewah.
"Kita duduk sanalah, puan. Lebih privasi," minta Aina. Segan pula dia berdepan dengan Murni yang bergaya walaupun gayanya ringkas. Hana sengih kelat. Geleng kepala.
"Lupa nak kenalkan. Ini kawan baik saya, Murni. Uni, kenalkan ini Aina," jelas Hana memperkenalkan Aina pada Murni.
Terbeliak mata Murni dengar nama itu disebut. Muka yang tadinya tenang kini dah bertukar macam Incredible Hulk.
Aina takut-takut nak tarik kerusi dan duduk semeja dengan Murni. Tapi isyarat Hana suruh duduk diikutkan saja. Dia percayakan Hana.
"Kau nak buat apa duduk semeja dengan perempuan ni, Hana? Jom kita balik. Aku jijik nak dengar dia cakap. Tengok muka dia pun meluat," kata Murni dah tarik tangan Hana. Aina telan liur. Jantung dah berdegup lain macam. Kecut perut dia.
YOU ARE READING
BAHAGIA BUKAN BIDAAN
General FictionTajuk: Bahagia Bukan Bidaan Penulis: Hessa Widad Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-076-2 Muka Surat : 560 Harga: RM24.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Mac 2018 "Dengar sini, Ain Farhana binti Sulaiman, aku ceraikan kau de...