Bab 10

15.8K 71 1
                                    

Hana keluar dari bilik air dengan rambut berbalut tuala. Dari semalam dikunci diri dalam bilik. Dia kecewa sangat bila dituduh terlalu baik. Terlalu naif hingga biarkan diri menjadi mangsa penderaan emosi Azlan.

Salahkah aku mendidik diri menjadi seorang isteri yang akur? Salahkah menjadi isteri yang mencintai suaminya sepenuh hati? Salahkah seorang isteri menjaga semua harta suaminya semasa ketiadaan suaminya? Semua itu untuk kesejahteraan dan kebahagiaan rumah tangga aku. Itu yang diperuntukkan bagi seorang isteri buat suaminya, bicara Hana dalam hati. Akalnya berlawan rasa tak puas hati dan bersalah pada Murni.

Badan dihenyak duduk di birai katil. Mengeluh melepaskan kesal berkali. Tuala di kepala dicabutnya. Mata dipejam rapat mengurangkan rasa bersalah yang menggebu dalam hati.

"Aku sayang kau, Hana. Kau kena ingat tu. Aku marah sebab aku sayang. Takkan itu pun kau tak boleh faham?" marah Murni. Bengang dengan Hana yang mudah cair dengan arahan Azlan yang bodoh itu. Ada ke pisahkan ibu dengan anak?

"Ya, aku faham. Faham sangat. Aku ni dah banyak susahkan kau, kan? Aku ni banyak sangat masalah. Lepas satu, satu. Kau dah meluat, kan? Kan?" Lepas Hana dengan cukup lantang. Rimas disogok persoalan yang menyesakkan hati.

"Ya! Memang. Aku meluat dengan sikap kau yang terlalu baik tu. Kau tahu tak? Kau memperbodohkan diri kau pada si mangkuk ayun tu. Dari mula bercinta sampailah sekarang. Kau agungkan sangat dia. Mudah aje kau maafkan dia. Tengok sekarang, dia sanggup pisahkan kau dengan Kimi dan Ida. Kau nampak tak? Kau biarkan dia nampak kelemahan kau. Lepas tu apa? Kau nak kahwin semula dengan dia. Nak lalui benda yang sama ni balik?" tengking Murni.

Murni dah tak tahu bagaimana nak buka mata Hana untuk melihat realiti sebenar. Nak jadi isteri solehah pun agak-agaklah. Bukan pada spesies jantan macam Azlan ni. Ikut nafsu dia saja.

Hana buka pintu bilik luas-luas. Muka masam memandang tepat pada Murni. Jatuh rahang Murni tak percaya. Bahasa badan Hana langsung tak dijangka maksudnya.

"Kau halau aku, Hana?" soal Murni tak percaya.

"Aku nak tidur. Kau ni asyik memekak aje dari tadi. Runsing!"

"Kerana si mangkuk ayun tu kau halau aku keluar dari bilik? Apa istimewanya dia dari aku?" Murni kecewa. Sakit hati melihat Hana biarkan dirinya tak ubah macam lembu dicucuk hidung. Mengikut saja.

"Sebab dia suami aku! Aku cintakan dia!" jerit Hana sekuat hati. Dia tak betah didesak benda yang dia tak nak kongsikan lagi. Hana jatuh berteleku sambil memegang pintu. Kepala ditundukkan ke lantai. Melontarkan kecewa.

Murni gelak. Saja dipanjangkan gelak yang dibuat-buat bagi menyakitkan hati Hana lagi. Murni memegang kedua-dua bahu Hana.

"Bukan suami, Hana. Bukan. Mangkuk ayun tu hanya bekas suami kau aje. Bekas suami kau aje. Cinta? Aku rasa, dia setakat tahu sebut perkataan cinta aje, Hana. Maksud cinta langsung dia tak tahu. Sedarlah Hana," pujuk Murni.

Hana menolak tangan Murni. Dia tak mahu bertengkar dengan Murni lagi. Dia jadi bertambah runsing, bertambah keliru untuk teruskan hidup.

"Tolong, Uni. Leave me alone," perlahan permintaan Hana.

"Baik! Aku keluar. Ambillah sebanyak masa yang kau nak ambil. Tapi satu aje aku nak cakap. Kau bodoh. Kau bukan saja rosakkan diri kau tapi kau dah cacatkan masa depan Kimi dan Ida. Kalaulah mereka ada sekarang mesti mereka malu tengok kau macam ni. Malu nak mengaku kau ni mama mereka," kata Murni cukup geram.

Dia terus menolak tubuh Hana menjauh dari pintu. Ditariknya pintu hingga bergegar gegendang telinga dengan dentuman yang kuat.

Hana membuka mata. Air mata yang bergenang di kelopak mata kini sudah menitis di pipi.

BAHAGIA BUKAN BIDAANWhere stories live. Discover now