Bab 11

16.5K 65 2
                                    

Hana duduk keletihan di atas lantai. Mencungap mencari nafas dalam kepenatan. Malam ni dirasakan benar-benar bebas menjadi diri sendiri. Bebas terbang dan berlari semahunya tanpa perlu fikirkan orang lain. Melayang semua takut. Terkubur rasa tak setaraf. Hilang terus rasa terbelenggu demi menjaga status suami. Bebas!

Talhah duduk bersila di sebelah Hana. Sehelai tuala kecil diberikan kepada Hana untuk mengelap peluh yang memercik di wajahnya.

"Bagaimana Hana rasa?"

"Puas. Macam dapat balik diri Hana yang sebenar," balas Hana dengan nafas yang mencungap. Mana tak mencungap, dua jam dia menari tanpa henti. Talhah beri studio ini sepenuhnya pada Hana sendirian dan dia datang semula selepas dua jam.

"Ha dengar bunyi lagu pilihan Hana bukan main lagi. Semuanya lagu barat. Ingatkan nak menari joget ke, zapin ke, mak yong ke. Rupa-rupanya hip-hop."

Hana yang mengelap peluh tersengih. Dia memang tak ikut perkembangan dunia muzik. Tapi itu tak bermakna dia ketinggalan zaman. Dia masih kenal mana lagu lama dan baru.

"Jangan tengok orang sebelah mata tau, Ha. Hana mengaku tak up-to-date. Tapi itu tak bermakna Hana ni kuno. Agak-agaklah." Menjeling geram Hana pada Talhah. Dia terus berdiri. Talhah pegang tangan Hana.

"Duduk. Kita sembang," bisik Talhah. Peluang begini ingin diguna sebaik mungkin untuk membuat Hana meluah.

Hana naikkan bahu dan kembali duduk bersila di sebelah Talhah. Sebotol air mineral dihulur padanya. Hana ambil dan minum sampai habis sebotol.

"Nak sembang apa?"

"Pasal Hana."

Tersedak Hana. Bibir dilap dengan tuala kecil tadi. Mata memandang Talhah yang tenang di sebelah. Tiada paksaan. Tiada juga riak mengharap. Cuma wajah bersahaja membuka ruang terbuka untuk Hana meluah.

"Apa yang Ha nak tahu tentang Hana?" Hana mengalah akhirnya. Membuka ruang untuk berkongsi dengan Talhah yang merupakan doktor yang merawat tekanan yang dialaminya. Dia sedar, bukan mudah bagi Talhah berurusan dengannya yang sukar memberi kerjasama. Sesi kaunseling mereka sering kali gagal di tengah jalan. Kerana dia sendiri tak mahu membuka peluang.

"Ha cuma nak tahu kisah Hana dan Azlan. Bagaimana kau orang berdua boleh berkahwin? Setahu Ha, Hana bukan jenis gadis yang mudah cair dengan mana-mana lelaki. Betul tak?"

Hana tarik nafas dalam. Kedua-dua belah tangan dipanggung ke belakang. Kaki berlunjur menyilang santai. Talhah berbaring di tengah studio. Mengiring menghadap Hana. Memang lepak habis ketika ini.

"Hana kenal Azlan masa Hana dalam tahun dua. Hana terlibat dalam satu program amal di kampung Azlan. Masa tu Azlan balik cuti di rumah keluarga dia. Melihat Azlan yang macam tipikal pemuda kampung yang terpelajar dan kerja di Kuala Lumpur buatkan hati Hana tertarik. Yalah, Hana dibesarkan di Kuala Lumpur. Tak ada kampung. Bila dapat pemuda kampung rasa macam wow. Dari situ kami bertukar nombor. Berjumpa. Dan rasa serasi. Masa bercinta dulu Azlan kuat cemburu. Tapi Hana suka. Itu tunjukkan yang dia sayang sangat kat Hana. Sampai Uni kata Hana gila sebab biarkan Azlan kongkong hidup Hana. Ini tak boleh. Itu tak boleh. Orang kata, bila dah sayang tahi kambing tu pun boleh nampak macam coklat. Itulah Hana waktu tu."

"Takkan tak ada pilihan lain masa tu?"

Hana senyum malu. Kepala diangguk. Kenangan silam terbit kembali.

"Ada. Tapi hati Hana pilih Azlan sebab dia orang kampung. Dia begitu bertanggungjawab pada ibu dan adik-adik dia. Macam kata orang tua dulu-dulu, nak pilih calon suami. Pilih yang pandai layan ibu dia sendiri. Itu calon suami terbaik."

Talhah diam mendengar. Tumpuan masih sepenuhnya pada Hana.

"Hana bahagia. Bahagia sangat di awal perkahwinan. Sampailah bila kami berdua rancang untuk ada business sendiri. Rezeki Allah kot. Bila Hana mengandung anak kedua aje, Azlan dapat satu projek besar. Bermula dari situlah hubungan kami renggang. Hana dimadukan dengan business Azlan. Waktu di rumah pun dah semakin kurang. Bila dah jumpa macam-macam jenis orang, Azlan semakin berubah. Bermulalah episod orang ketiga. Lepas satu, satu dan satu. Hana tak mampu bersuara. Sebab Hana tak punya apa-apa. Jadi Hana tumpukan rasa kecewa dengan anak-anak, kafe dan juga business. Ingatkan semua boleh kembali seperti dulu bila Hana beralah. Rupa-rupanya tak. Semakin hari kami semakin jauh. Sampai Hana tak tahu apa sebenarnya maksud isteri dalam rumah tangga. Bila keluarga dan saudara-mara tanya mana Azlan. Hana selalu buat cerita, Azlan ada meeting. Walhal Hana sendiri tak tahu dia ke mana." Bergenang air mata Hana.

Rasa betapa lemah dan bodohnya dulu. Kerana cintakan suami, sayang ditebalkan, sakit diubati sendiri. Harap semua akan kembali seperti dulu. Tapi...

"Hana cintakan Azlan? Maksud Ha, Hana masih cintakan Azlan?"

Hana tak menjawab soalan Talhah. Air mata yang bergenang di tubir mata tadi menitis juga. Cepat-cepat Hana kesat dengan hujung jari. Dia tak nak lemah lagi. Nekadnya untuk melupakan semuanya. Dia pasti boleh.

"Hana pejam mata dan tanya hati Hana. Masih ada lagi tak cinta itu pada Azlan? Bila Hana dah tahu sendiri, mudah untuk Hana ambil tindakan seterusnya. Boleh, kan?" pujuk Talhah lembut. Hana menurut. Mata dipejamkannya rapat.

"Isteri mana yang tak cintakan suami, Ha? Hana sudi jadi isteri Azlan sebab hati Hana yang pilih dia. Bohonglah kalau Hana kata cinta tu dah tak ada. Dia yang pertama dalam hidup Hana. Kerana cintalah Hana rasa dikhianati. Tapi sekarang, cinta tu cukuplah tinggal dalam hati Hana aje. Kerana mengejar cinta Azlan, Hana jadi lalai tunaikan kewajipan sebagai Muslimah."

"Hana yakin sudah sampai masanya Hana move on? Hana nak buat apa?"

"Hana nak cari kerja. Hana nak bina kerjaya. Dah ada semua tu, baru Hana boleh ambil anak-anak Hana tinggal dengan Hana. Hana nak lawan depression ni macam yang Ha ajar. Macam Uni, pak su dan mak su selalu harapkan. Hana nak belajar kenal diri Hana dengan Islam semula. Lama dah Hana lalai."

"Alhamdulillah. Syukur, Hana. Seronok Ha dengar. Dah hampir dua bulan lebih Hana ada sesi dengan Ha. Tapi yang ini paling berjaya. Hana tak menangis. Hana tak tertekan dan takut berkongsi cerita. Ha rasa macam nak peluk aje Hana malam ni," ucap Talhah terus terang.

Cepat saja jari telunjuk Hana bergoyang melarang. Sungguhpun dia terbuka tapi sentuhan dengan bukan muhrim sangat dielakkannya. Itu ajaran daripada sikap cemburu Azlan dulu. Haknya jangan sekali-kali disentuh orang lain. Tak boleh!

"Gurau aje," senyum Talhah.

"Ha tahu kan, Hana memang tak buat main hal macam tu, ya? Dah, jom balik. Dah lewat malam ni."

Hana sudah berdiri. Talhah menurut. Sekejap sangat masa berlalu. Baru sekejap keluar dengan Hana.

"Lain kali kalau Hana nak menari, call aje Ha. Tempat ni akan sentiasa terbuka untuk Hana. Tapi kena ada Ha la."

Hana hanya membalas dengan hujung jari telunjuk bercantum dengan hujung ibu jari. Bermaksud okey.

"Alololo, okey aje awesomeness best friend Hana ni. Baiklah, doktor," balas Hana cukup bersemangat. Rasa hidup lebih segar merasionalkan tekanan hidup yang mendatang.

Ha janji, Hana. Pulih itu pasti. Bahagia pasti akan mengusul bersama cinta buat Hana. Itu janji Ha pada Hana. 

BAHAGIA BUKAN BIDAANWhere stories live. Discover now