Nik berjalan menuju ke meja Hana. Murni melihat perubahan wajah Hana yang menunduk tiba-tiba terus menoleh pandang belakang. Murni terus berdiri.
"Oh... It's you?" soal Murni dengan pandangan terkejut.
Nik dengan kedua-dua belah tangan menyeluk poket seluar hanya angkat bahu. Bibir tersenyum senang. Gaya santai bersahaja dengan penampilannya yang cukup ringkas. T-shirt putih, denim biru dan selipar jepun.
"Rasanya betullah tu," balas Nik mesra.
Misha yang duduk di sebelah Murni sudah tersipu malu mengawal tingkah lakunya. Siapa yang tak kenal Nik Zachary, salah seorang waris lelaki keluarga Wilson yang masih berstatus bujang. Pakej lengkap yang dimiliki oleh Nik buatkan dia menjadi idaman sesiapa saja yang mengenali keluarga Wilson itu. Termasuklah Misha, adiknya.
"Kat Kuala Lumpur. Atau lebih spesifik lagi, kat Bangsar ni?" soal Murni. Siap ditepuknya bahu Nik mesra.
"Restoran aku ni," jelas Nik menunjuk ke arah restoran mamak bistro di belakangnya dengan muncung.
"Wow! Aku tak tahu pun," kata Murni. Kagum berganda dengan sepupu rapat suaminya ini. Diam-diam berisi. Tak sangka boleh jumpa kat sini.
"Kau kan kenal aku ni macam mana? Tak boleh duduk diam. Kalau nak duduk lama-lama kat sini kena ada kerja. Projek tak sentiasa ada. Jadi sekarang ni, aku masih ada sebab kenapa aku disiplin bahagikan masa aku kat sini dan kat sana. Kau pula buat apa kat sini? Danny dan budak-budak mana? Tak nampak pun," ramah sapaan Nik.
Mata berbahasa Nik minta Murni kenalkan Hana padanya. Murni dah kemam bibir. Faham sangat maksud bahasa badan Nik tu.
"Aku balik seorang aje kali ni. Ada hal sikit. Oh, ya! Kenalkan. Ini kawan baik susah senang aku, Ain Farhana. Panggil Hana aje... Hana, kenalkan. Ini Nik Zachary sepupu rapat Danny," ucap Murni memperkenalkan Hana pada Nik.
Nik hulur tangan sebagai tanda salam perkenalan. Hana sambut lembut. Muka yang kosong dan suram dilayangkan bersama senyum tawar.
"Hana," ucap Hana pendek.
"Nik. Nik Zachary. Nice to know you, Hana," balas Nik. Senyum manis terpamer di bibirnya. Matanya tak berkalih dari merenung tepat pada anak mata bundar Hana yang jelas terpamer kesakitan.
Digenggam erat jari Hana bagaikan tak mahu dilepaskan. Membulat mata Hana bila tangannya tak dapat ditarik dari terus digenggam oleh Nik. Dibalas tenungan mata Nik. Buat seketika mereka berdua berada di dunia milik mereka.
"Saya kenal awak?" soal bahasa mata Hana.
"Range Rover Sport merah, AB55. Ingat lagi tak?" balas bahasa mata Nik yang mengecil bersama senyum senget di bibir.
"Alamak! Malunya," balas bahasa mata Hana yang terpejam malu.
"Ehem! Ehem!" Dehaman Murni buatkan Nik tertawa halus. Kantoi buta-buta depan Murni. Memang berdesinglah telinganya disinggahi soalan sekejap lagi ni. Hana mengemam bibir. Tangan Hana yang digenggam dilepaskan, Nik terus menggosok pucuk hidung untuk mengawal rasa malu.
"Laaa, Misha pun ada ke?" Nik terus menyapa Misha yang sedang memuncungkan bibir duduk di kerusi sebelah Murni.
"Baru perasan ke, Abang Nik?" balas Misha acuh tak acuh. Penat saja dia menyeringai comel sebelah Murni tadi. Alih-alih perhatian diberikan pada Hana. Sentaplah!
"Perasan dah dari tadi. Saja nak tunggu Misha tegur abang. Amboi, sombong kan. Baru ni abang nampak Misha," usik Nik. Tahu sangat bagaimana nak cairkan hati adik manja Si Murni ni.
"Kak Uni, tengok tu. Entah bila masa pula Isha ni sombong. Manalah Isha tahu Abang Nik ada restoran kat sini. Ingatkan kat Melbourne tu aje. Dah tahu Isha memang duduk sini, tak tahu nak call ke? Kita pula yang salah." Pot pet mulut Misha membebel tak puas hati. Geram hati Misha dituduh sombong oleh pujaan hati.
Murni jentik dahi Misha. Kemudian tertawa lepas. Tak sangka adik kesayangannya ni senang kena main dengan Nik yang memang kaki menyakat. Mengaduh Misha sambil menggosok dahinya. Pedih, doh!
Hana menunduk memaksa diri menghabiskan roti canai yang dipaksa makan oleh Murni tadi. Tak sanggup nak angkat muka memandang Nik. Malu yang menyinggahi dalam hati bila teringatkan insiden lucu tu buatkan pipinya berona merah. Didengar saja usikan Nik pada Misha dan bualan mesra mereka tanpa mencelah.
"Okeylah, ladies. Got to go. Tapi sebelum tu. Ini kad aku. Call aje. Tak kira masa. Jarak aku hanya satu panggilan telefon aje. Ingat tu, only one call away."
Peringatan Nik pada Hana yang terakhir sekali menerima kad namanya. Perkataan one call away buatkan hati Hana berdetik amaran keras pada jajahan hatinya yang sedang berdarah seksa.
Misha memandang Nik dengan perasaan yang ucapan itu ditujukan padanya. Tersipu-sipu malu melayangkan senyum manis dengan kepala diangguk mengerti.
Nik berlalu meninggalkan meja Hana dan kembali ke meja yang masih didiami Lokman. Murni mencubit lengan Misha yang menggeletis manja sejak Nik menegur mereka.
"Ingat sikit, awak tu dah bertunang. Jangan nak menggatal," tegur Murni. Tahu sangat kelemahan si adik yang akan hilang kewarasan akal bila bertemu Nik. Kuasa apa yang Si Nik tu ada pun dia tak pasti. Memang macam kena pukau Misha dibuatnya.
"Nik Zachary tu, kak. Itu pun tak faham," jawab Misha sambil menggosok kesan cubit di lengan kirinya. Isy, jari Murni tu kalau mencubit memang pijau. Boleh lebam kulit dibuatnya.
"Kenapa dengan Nik Zachary?" Polos pertanyaan Hana. Dia perasan dari tadi lagi, tapi belum sempat nak mencelah, Murni terlebih dulu mencubit lengan Misha.
"Salah seorang waris lelaki yang masih bujang dalam keluarga Wilson. Adik aku Si Isha ni pula, memang dah lama jatuh hati dengan Si Nik tu. Tapi nak buat macam mana, Nik hanya anggap dia adik aje. Itu yang frust menonggeng tu," usik Murni. Tersenyum-senyum Misha.
Bila diingatkan kembali sikap berani Misha ucap perkataan 'saya cinta awak' pada Nik memang sampai esok pun dia tak berhenti gelak. Budak yang baru nak kenal erti hidup. Main taram aje cakap tanpa usul periksa. Misha ingatkan Nik tak faham bahasa Melayu sebab sepanjang Misha jumpa Nik, memang berhabuk bahasa Inggeris pekat pelat Aussie tu. Mujurlah Nik ni spesies yang selamba gila. Dia buat bodoh aje.
"Itu mesti tengah mengutuk Isha tu," kata Misha yang mengecilkan mata memandang Murni. Benci betul tengok muka Murni yang tiba-tiba jadi ayu macam tu. Macam muka nak mengenakan orang lagaknya.
"Mana ada. Ketawa pun tak boleh," jawab Murni memberi alasan mudah. Bibirnya mengulum tawa dari terlepas. Dikalih wajah ke sisi membelakangkan Misha.
Berkerut dahi Hana cuba memahami apa yang terjadi depan mata. Murni ni kalau dapat peluang mengusik si manja Misha ni memang tak dilepaskan peluang. Hana mudah saja faham isi usikan Murni. Tapi, yang sekarang ini dia tak faham langsung. Matanya memandang pada Nik berselang enam meja di depannya. Kebetulan Nik pun sedang memandang padanya. Senyum sebaris Nik buatkan Hana cepat-cepat alih pandangan pada Misha dan Murni semula.
"Itu cerita lama, okey. Memang masa tu Isha ni gedik. Bodoh pula tu. Eee... Malunya. Dahlah tak nak cerita lagi. Isha dah bertunang pun kan. Fullstop." Misha mengalah.
Murni terus memeluk bahu Misha. Dikucupnya kepala Misha yang bertudung lilit. Lepas rasa rindu pada si manja.
"Itu pun nak merajuk. Dah. Akak minta maaf, ya? Rindu nak usik Isha. And by the way, Hana," kata Murni berpaling pandang pada Hana yang hanya memerhati sejak dari tadi.
"Nik tu bujang terlajak tau. Dia tak kahwin sebab tak nak kahwin macam orang lain kahwin. Dia tak nak kahwin sebab suka. Dia hanya nak kahwin bila sampai jodoh dia nak kahwin," jelas Murni.
Hana tawa sinis. Mata nakal memandang kembali pada Nik. Wajah tenang dan selamba Nik buatkan Hana rasa sebu.
Lelaki semua sama. Ada rupa, harta, berduit. Perempuan macam kad Touch & Go. Sentuh sampai puas. Bila ada kekurangan tinggalkan, bebel hati Hana.
"Gatal!"
Terpacul sepatah komen Hana buatkan Murni tersedak.
YOU ARE READING
BAHAGIA BUKAN BIDAAN
General FictionTajuk: Bahagia Bukan Bidaan Penulis: Hessa Widad Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-076-2 Muka Surat : 560 Harga: RM24.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Mac 2018 "Dengar sini, Ain Farhana binti Sulaiman, aku ceraikan kau de...