Datuk dan Haji Salim terus merenung ke tanah perkuburan yang dipenuhi dengan pokok-pokok kecil. Batu nisan yang dibuat dari batu gunung tidak berapa jelas kelihatan, kecuali sebuah kubur yang terletak di kawasan tanah yang agak tinggi. Batu nisannya kelihatan menonjol. Bentuknya juga tidak sama dengan batu nisan yang lain.
Ukuran tingginya separas pinggang. Batunya bulat macam batu sempadan letaknya agak condong ke arah barat daya. Penuh dengan lumut yang menghijau.
"Mustahil, ada orang sesat di sini. Tak ada sebab kenapa orang perempuan tua tu membawa anaknya ke sini dan sesat. Dia cari apa di sini," kata datuk pada Haji Salim yang macam rusa masuk kampung. Renung sana, renung sini di kawasan perkuburan lama.
"Kita dipermainkan orang sahabat," tambah datuk lagi.
"Tak apa, mari kita cari sambil membersihkan kubur lama, mana tahu anak perempuannya ada di sini, mungkin tertidur kerana keletihan."
"Kalau dah begitu kata sahabat, kita menurut saja," jawab datuk penuh rasa keyakinan.
Datuk dan Haji Salim mula menebang pokok-pokok yang sebesar ibu jari kaki orang dewasa di tanah kubur. Hari mula beransur gelap. Dalam jangkaan saya, sudah pukul enam setengah lebih. Saya sudah tidak sanggup lagi menampar nyamuk di pipi dan paha. Jejari terasa lenguh menggaru bekas gigitan nyamuk.
"Tuk."
Datuk dan Haji Salim berhenti menebas dan menebang. Mereka merenung ke arah saya.
"Kenapa Tamar?" tanya Haji Salim.
"Saya nampak macam ada orang dekat kubur yang hujung sana."
"Mana kau tahu?" soal datuk.
"Saya terdengar bunyi suara orang batuk, pokok-pokok kecil di situ bergerak-gerak." Jelas saya.
Datuk dan Haji Salim berpandangan. Beberapa ekor tupai jantan berlompatan di dahan jejawi. Burung gagak berlegar-legar di atas kepala sambil berbunyi.
Suara cengkerik dan katak mula menyanyi kerana hari kian bertambah gelap. Angin yang bertiup lemah membuat badan terasa seram sejuk.
"Kita ke situ sahabat," ajak datuk.
"Jum, barangkali orang betul," Haji Salim setuju dengan cadangan datuk. Kami pun bergerak ke arah kubur yang terpisah dengan kubur yang lain itu.
Lebih kurang lima belas kaki mahu sampai ke kubur tersebut, datuk dan Haji Salim berhenti melangkah.Memang ada manusia di situ, memakai kain tudung putih tunduk menghadapi tanah kubur. Jejari tangannya mencabut rerumput dan mematahkan anak-anak pokok kecil di situ.
"Assalamualaikum," kata datuk. Tidak ada jawapan yang diterima.
"Buat apa tu," kata Haji Salim.
"Bersihkan kubur," terdengar jawapan yang parau.
Angin bertiup menggugurkan dedaun dan ranting mati. Suasana terasa seram, lebih-lebih lagi bila terdengar monyet sayup-sayup bersama suara gagak dan burung kuang.
"Mengapa cuci kubur dah dekat nak malam?" soal datuk lagi.
"Waktu lain tak ada masa,"
Datuk menerima jawapan.
Masa datuk dan Haji Salim bersoal-jawab dengan orang yang tidak dikenali itu, hati saya terus berdebar-debar.
"Nak makan marilah," tiba-tiba orang
yang tidak dikenali itu mempelawa.Datuk dan Haji Salim berpandangan. Ada keraguan yang menguasai hati datuk dan Haji Salim. Mana ada orang Islam yang makan di kubur waktu senja begini, fikir saya.