Saya gembira dengan berita itu. Secara tidak langsung perkara yang disebutkan oleh Lebai Din itu menguatkan kata-kata yang saya ucapkan pada datuk sebentar tadi."Kalau macam tu, tak salahlah apa yang dikatakan cucu saya tadi, dia nampak orang tu," datuk segera menjeling ke arah saya. Lebai Din terus tersenyum.
"Saya tak nampak, tapi bau yang dibawa angin meyakinkan saya orang tu ada di tanah kubur," Lebai Din terus melangkah.
Dedaun getah tua terus berguguran dirempuh angin. Walaupun angin bertiup tetapi baju kami basah juga diresapi peluh. Panas terlalu terik. Kami terus berjalan di celah-celah nirai getah yang tua.
Sambil berjalan itu, mata saya tetap liar merenung ke arah dedahan getah yang digayuti oleh monyet-monyet liar. Monyet-monyet itu memulas dan menggigit buah getah yang berwarna hijau. Buah-buah getah yang dibuang oleh monyet tersebut bersepah-sepah di mana-mana.
Bila sampai di rumah Haji Salim, Lebai Din terus jumpa isteri Haji Salim. Ia meninggalkan rumah tersebut. Datuk pula menemui isteri Haji Salim bertanyakan kalau-kalau isteri arwah memerlukan apa-apa pertolongan darinya.
Masa datuk bercakap-cakap itu, sebuah teksi masuk ke kawasan rumah Haji Salim. Saya tersenyum bila perut teksi itu meluahkan Saadiah, ibu dan ayahnya serta adik-adiknya. Mereka meluru ke rumah dengan wajah yang resah dan muram.
Ayah Saadiah menyelesaikan pembayaran tambang teksi. Kemudian menemui datuk. Mereka bersalam. Datuk minta ia bersabar. Tetapi ayah Saadiah ternyata tidak berjaya menahan rasa sedih. Dia terus menangis. Datuk memimpinnya ke rumah.
Saya terus ikut datuk. Bila saya berdiri di muka pintu, saya lihat Saadiah yang tersedu merenung ke arah saya. Dalam wajah yang rawan ia masih sempat menghadiahkan sebuah senyum manis dan penuh erti untuk saya.
Aduh, dalam sedu-sedan pun wajahnya tetap manis, inilah yang membuat diri saya tidak tentu arah. Kalau datuk tidak ada di situ pasti saya menghampirinya, memujuknya supaya jangan bersedih dan menangis, harus menerima segala-galanya dengan sabar.
Apakan daya datuk ada dekat saya. Kalau saya turutkan kata hati, pasti saya dimarahi datuk. Hanya renungan dan kerlingan mata sahaja yang dapat saya lakukan. Lebih dari itu saya tidak sanggup membuatnya.
"Mari kita balik Tamar."
"Ya tuk," jawab saya sambil cuba menghampiri Saadiah yang berdiri di pintu ruang tengah. Saya lihat Saadiah seakan-akan melangkah mahu menghampiri saya.
"Ke mana kamu nak pergi tu Tamar. Ikut ini bukannya nak keluar ikut pintu dapur."
"Haaa…," saya pura-pura terkejut.Beberapa orang wanita yang ada di ruang rumah tersenyum ke arah saya. Tebal rasa kulit muka. Saya terus menuju ke pintu. Pijak tangga dan terus melangkah pulang.
Sebelum sampai di selekoh jalan, saya renung ke arah muka pintu sambil melambai-lambaikan tangan. Saya renung datuk. Dia tunduk melangkah. Cepat-cepat lambaian tangan Saadiah saya balas. Baru dua kali lambai. Datuk terus berdehem. Saya terkejut dan tidak menoleh ke arah rumah Haji Salim.
Sudah seminggu Haji Salim meninggal dunia. Saya rasa cukup sepi. Dalam tempoh seminggu itu, secara diam-diam saya mengunjungi rumah arwah Haji Salim. Dua kali saya dapat bercakap dengan Saadiah.
Saya gembira bila Saadiah memberitahu saya yang dia akan tinggal lama bersama neneknya. Persetujuan sudah dibuat antara nenek dengan kedua orang tuanya yang sudah pun pulang ke Beranang. Sebenarnya setiap hari saya berdoa supaya Saadiah terus tinggal bersama neneknya.
Rupanya tindak-tanduk saya itu dapat dikesan oleh datuk. Suatu hari datuk memanggil saya.
"Aku rasa kamu berkenan dengan Saadiah?"