Saya terus menekup mata, bila kawannya yang memegang parang mengangkat parangnya tinggi-tinggi dan terus menjatuhkan atas lengan penjual. Semua orang di situ mengeluh, ada pula yang memalingkan muka ke arah lain. Tidak sanggup melihat darah dan lengan yang terputus dua.
"Yaaaakkk," saya terdengar suara pemegang parang, lepas itu saya tidak terdengar apa-apa.
Semuanya sunyi sepi. Bila saya terdengar suara tepukan tangan orang ramai, saya segera menjatuhkan telapak tangan yang menutup mata saya.
Aduh, sungguh mengkagumkan, lengan penjual ubat tidak putus dua. Tidak ada darah yang menitik atas muka tunggul. Wajah penjual ubat kelihatan tenang sambil menggosok lengannya dengan sejenis minyak yang dipamerkan di situ. Sedang penjual ubat asyik menggosok minyak di lengan, pemukul gendang mengambil tombak bermata kapak, lalu mengkapak belakang penjual ubat dengan sekuat hati.
Semuanya tidak mendatangkan kesah, penjual ubat tersenyum bahagian belakangnya terus digosok dengan minyak. Dalam beberapa minit sahaja, orang yang berkumpul di situ berebut-rebut membeli minyak tersebut yang harganya lima puluh sen sebotol. Bila orang ramai selesai membeli ubatnya. Ia memperlihatkan kekuatan kulit tubuhnya yang tidak mampu dilukakan dengan senjata tajam. Ia menikam perutnya dengan pedang. Ternyata pedang itu tidak mampu menembusi kulit perutnya.
"Orang Melayu mana ada kuat macam saya," ujarnya dalam bahasa pasar yang tunggang-langgang.
Ia merenung satu-satu wajah orang Melayu yang ada di situ. Kemudian, ia mencabar orang Melayu yang ada di situ menunjukkan kekuatan.
Seorang Cina tempatan menghampiri penjual ubat. Cina tempatan itu menasihatkan penjual ubat dari Taiwan, supaya jangan berbuat demikian. Perbuatan itu boleh menyinggung perasaan orang Melayu di tempatnya. Penjual ubat dari Taiwan itu, tidak mengendahkan nasihat Cina tempatan tersebut. Ia terus mencabar dan mencabar.
"Eh, lu jangan ingat orang Melayu tak kuat," saya segera menoleh ke kanan.
Saya lihat Haji Salim melangkah garisan putih yang ada di situ. Ia menyinsingkan lengan bajunya. Penjual ubat dari Taiwan terus ketawa. Orang ramai yang ada di situ resah. Mereka bimbang, kalau sesuatu yang tidak diingini akan terjadi. Cina tempatan segera menghampiri Haji Salim, bahu Haji Salim dipegangnya dengan lembut sekali."Haji tolong jangan gaduh, dia bukan Malaysia punya orang, dia tak tahu punya adat," pujuk Cina tempatan.
"Saya tahu, fasal dia bukan orang Malaysia, saya mahu tunjuk sama dia orang Malaysia juga kuat," balas Haji Salim. Saya mula terasa kecut dan cemas.
"Pak Haji tak usah Pak Haji, ini merbahaya," pujuk saya pula.
"Tak apa Tamar," balas Haji Salim dengan tenang. Ia menyuruh saya keluar gelanggang.
Penjual ubat dari Taiwan tersenyum sinis melihat saya dan Haji Salim.
"Sekarang kalau lu boleh kasi luka, gua beri lu lima ratus, kalau gua kasi luka lu berapa lu kasi," penjual dari Taiwan menyoal Haji Salim.
Saya lihat muka Haji Salim selamba sahaja. Sesekali memberi isyarat tangan pada Cina tempatan supaya bersabar dan bertenang.
"Tak usah kasi apa-apa, gua tak mahu lu punya wang dan gua punya wang tak mahu kasi sama lu," ujar Haji Salim dan terus meletakkan lengannya atas tunggul kayu.
"Nanti lu punya tangan putus macam mana?"
"Tak apa."
"Betul ni."
"Betul, semua orang boleh jadi saksi."
"OK, kita mula."
"Ayuh."