Pendekar Terbang

740 31 0
                                    

Datuk menolak ramalan yang tidak berasas itu. tetapi ramalan yang bergerak dari mulut ke mulut itu, tidak dapat disekat dan terus mempengaruhi orang-orang kampung. Akibatnya, orang-orang kampung berada dalam kecemasan.

"Entah siapa yang pandai buat ramalan mengarut tu," rungut Haji Salim ketika saya mengunjungi tempat kerjanya. Dari cara ia bercakap dan kerut wajahnya membayangkan rasa kesal yang mendalam.

"Kau lihat sendiri Tamar dah dua minggu cucu saudaraku ditanam, sudah dua minggu jugalah peristiwa hujan panas itu terjadi, tak ada pun perkara yang tak baik terjadi," sambungnya lagi sambil membakar beberapa campuran besi untuk dibuat keris panjang.

Saya anggukkan kepala. Setuju dengan pendapatnya. Apa yang dikatakan oleh Haji Salim itu memang benar. Sejak dua minggu kebelakangan ini, tidak terdapat makhluk berjubah hitam dan wanita berwajah cantik, merayau seluruh kampung menjelang waktu Maghrib. Tidur saya juga aman tenteram, tidak diganggu oleh mimpi-mimpi yang menakutkan.

"Kubur lama juga tidak dipuja orang lagi?" saya terkejut mendengar kata-kata Haji Salim. Wajahnya yang berpeluh dan merah dibahangi oleh kepanasan, saya tenung.

"Macam mana Pak Haji tahu?"

"Aku pergi sendiri dengan tidak memberitahu datuk kamu."

"Kerja tu merbahaya Pak Haji."

"Aku tahu. Kalau aku pergi dengan datuk kamu, aku tak boleh membalas dendam. Datuk kamu bertindak lambat sangat," tambah Haji Salim lagi.

Saya menarik nafas panjang. Tahulah saya bahawa Haji Salim masih menaruh dendam pada orang-orang yang memuja kubur lama. Ia yakin, kematian cucu saudaranya angkara manusia pemuja syaitan.

"Kematian cucu saudaraku mesti dibalas," ujarnya sambil menggengam penumbuk.

Peluhnya yang meleleh dari hujung dahi terus menitik atas dadanya. Air peluh itu bercampur dengan air peluh di dada lalu mengalir ke arah perutnya yang agak buncit sedikit dan kulitnya nampak kendur. Saya terus memerhatikan ia membuat kerja. Secara tidak diduga, saya teringatkan datuk yang sejak pagi lagi pergi ke kaki bukit memberu ayam hutan.

"Aku tahu, datuk kamu sudah memagar seluruh kampung ni dengan beberapa syarat dan petua," Haji Salim merenung ke arah saya.

Cepat-cepat saya kerutkan dahi, saya tidak tahu dari mana Haji Salim mendapat sumber cerita yang baru ini. Saya kira, Haji Salim cuma mahu bergurau atau cuba membuat ramalan kosong. Sepanjang ingatan saya, belum pernah datuk melakukan sesuatu kerja tanpa memberitahu saya. Selangkah ia bergerak dalam usaha untuk kebaikan ia pasti memberitahu saya. Kalau tidak beritahu pada saya, ia akan beritahu pada nenek. Dan nenek akan memberitahu saya.

Bila Haji Salim berkata demikian, menimbulkan rasa sangsi dalam diri saya terhadap Haji Salim. Saya rasakan, Haji Salim seolah-olah mengintip segala kegiatan datuk. Apakah Haji Salim meragui kejujuran datuk? Mungkin Haji Salim mahu memperlihatkan kelebihan yang ada pada dirinya pada datuk.

Mungkin Haji Salim merasakan apa yang dilihatnya di tanah kubur lama itu satu rancangan datuk yang disembunyikan dari pengetahuannya, timbul petanyaan dalam diri saya. Kalaulah apa yang saya fikirkan itu benar, sesuatu yang lebih dahsyat akan terjadi bila dua orang yang berilmu mahu menunjukkan kepandaian masing-masing.

"Aku yang meminta datuk kamu membuatnya. Pada mulanya ia enggan. Setelah aku rayu baru ia setuju, ia melakukannya waktu tengah malam tanpa ada orang lain yang tahu, kecuali diri aku sendiri," saya tersenyum. Rasa sangsi dan bimbang yang bergolak dalam dada saya menemui jalan akhir.

"Hari ni hari Rabu. Aku ada janji dengan orang nak berjumpa di Kampung Ulu Kelubi," Haji Salim berhenti membakar besi. Ia mengelap peluh di tubuhnya dengan tuala kecil cap matahari.

Siri Bercakap Dengan Jin (JILID 4)Where stories live. Discover now