DATUK bangun. Duduk mencangkung. Ia memeluk kedua belah lututnya. Datuk melihat bajunya yang berlubang-lubang. Datuk gelengkan kepala beberapa kali. Ia terus bangun. Melakukan senaman dalam panas. Bila seluruh tenaganya sudah pulih. Ia merapati saya.
Datuk meraba tempat yang kena tendang di tubuh saya. Ia mengurut dan menyentuh tiap sendi urat. Sekejap sahaja badan saya sudah berpeluh dan bertenaga kembali. Saya bangun dan boleh bergerak seperti sediakala.
Datuk merawat Saadun pula hingga pulih. Saadun segera mendekati saya. Muka saya direnungnya dengan seribu tanda anya. Semuanya terjadi bagaikan mimpi dan, tidak diduga sama sekali."Ke mana mereka lari", datuk menujukan pertanyaan pada saya dan Saadun. Serentak kami gelengkan kepala. Datuk termenung panjang. Ia mencari arah angin datang. Bila sudah diketahui arah angin datang. Datuk menghalakan telinganya ke arah itu.
"Mereka menuju ke sungai," bisik datuk.
"Kita buru tuk."
"Tak payah, aku tahu dan yakin mereka tidak meninggalkan tempat ini sebelum matahari terbenam. Mereka menyorokkan diri," datuk menggeliat. Ia terus memusing seluruh pondok.
Sampai di sudut pondok sebelah kanan, datuk terhenti. Berdiri di situ membilang jari kaki.
"Selagi belum berkalih hari, kita tak akan jumpa mereka. Lepas Asar kalau kita mencarinya, dengan izin Allah kita berjumpa," beritahu datuk pada saya dan Saadun.
Datuk melihat gerakan awan di langit, ia juga melihat dedaun pisang yang melintuk-liuk diterkam angin. Ia menggeliat lagi.
Dua tiga tahun yang lalu bila datuk berhadapan dengan perkara yang terpaksa mengeluarkan tenaga datuk tidak mudah letih atau penat tetapi, keadaan itu berbeza sejak akhir-akhir akhir ini.
Mungkin disebabkan usianya sudah bertambah tua atau boleh jadi juga datuk menghidap penyakit yang memang dirahsiakan dari pengetahuan saya dan keluarganya yang lain. Walau apapun sejak kematian Haji Salim, datuk lebih banyak termenung macam memikirkan sesuatu.
Perkara begini kadang-kadang menimbulkan kebimbangan dalam diri saya. Mahu rasanya saya bertanya tetapi bimbang takut dimarahinya, perkara itu saya pendamkan walaupun hati saya parah menahan perasaan. Kalau boleh saya tidak mahu datuk mati cepat, biarlah ia mati bila saya sudah berusia lebih dari empat puluh tahun.
Saya harus menerima banyak pengalaman darinya untuk jadi bahan renungan atau jadi bahan cerita pada anak-anak cucu saya atau pada kawan-kawan yang sebaya dengan saya pada suatu masa kelak. Terlalu banyak yang saya fikirkan tentang diri datuk.
Datuk duduk atas tanah dengan kedua belah lututnya ditegakkan. Ia menarik nafas dengan tenang. Datuk mengambil ranting kayu dan terus menikam-nikam rumput dengan hujung ranting kayu. Rambut hitamnya yang sudah lebih separuh dikuasai warna putih bergerak-gerak ditolak angin. Dua tiga kali datuk terbatuk.
"Saadun mari ke sini."
Saadun terus menghampirinya. Berdiri di depan datuk sambil melipat baju kemeja lengan panjang. Usia Saadun sekitar tiga puluh lima tahun. Sudah mendirikan rumahtangga tapi bercerai setelah mendapat seorang anak lelaki. Anak itu dipelihara oleh isterinya yang tinggal di Teluk Kepayang dekat Bota.
Saya menganggap Saadun sebagai manusia yang istimewa, sejak saya mengenalinya, ia tidak pemah memakai kasut. Ia mengunjungi kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, Seremban, Ipoh, Pulau Pinang dengan kaki ayam. Aneh juga melihatnya memakai kemeja lengan panjang, seluar panjang yang menarik dengan belahan rambut yang rapi tetapi tidak memakai kasut.
Kerana keistimewaan itulah, di mana Saadun berada, ia tetap jadi perhatian orang ramai. Saadun tidak ambil peduli, ia seolah-olah mensifatkan orang yang melihatnya sebagai orang yang tidak tahu menghargai kebebasan orang lain.