Suara di sekitar kubur lama kembali sepi. Tidak ada terdengar suara orang perempuan dan suara kanak-kanak menangis. Lelaki yang menatang kanak-kanak itu meletakkan kanak-kanak itu atas kubur. Kanak-kanak itu kembali menangis dan terus diam bila lelaki itu menyumbat susu ke dalam mulutnya.
"Aku yakin kanak-kanak itu, bukan kanak-kanak betul," beritahu datuk pada Haji Salim.
"Tapi, macam mana ia boleh menangis tuk," tanya saya.
"Itu bukan suara kanak-kanak tu Tamar."
"Habis suara siapa tuk?"
"Suara itu datang dari dalam kubur."
Saya terus diam. Dengan serta merta bulu tengkuk saya mula meremang. Tetapi mata saya terus tertumpu ke arah kubur lama. Saya lihat lelaki itu mengeluarkan pisau lalu menikam kanak-kanak tersebut. Suara jeritan kanak-kanak itu melalak. Saya lihat darah dari perut kanak-kanak itu mercik. Membasahi pergelangan tangan lelaki yang menikamnya.
Suara ketawa dari orang yang mengelilingi kubur lama itu mula terdengar. Bila suara ketawa itu berakhir, terdengar suara orang perempuan mengilai bersahut-sahutan dari angkasa. Orang-orang yang mengelilingi kubur lama bertepuk tangan menyambut hilai ketawa dari udara.
Lebih kurang lima minit suara ketawa dan mengilai itu berbalas-balas. Lepas itu suasana di situ terasa sepi. Orang lelaki yang menikam kanak-kanak itu terus berdiri. Ia mendepangkan kedua belah tangannya. Kain hitam yang dipakainya mengembang lebar macam sayap kelawar.
"Hai ratu, raja dahulu. Aku tahu kuburmu kubur Seri Banian, waris terdekat dari Selendang Delima. Khabarkan pada kami di mana harta keturunan kamu disimpan," suara lelaki itu meninggi.
Tidak ada jawapan yang terdengar. Lelaki itu mengulangi perkataan itu untuk kali yang kedua. Tiada jawapan yang diterima. Lelaki berjubah hitam itu berjalan atas kubur. Suara lolongan anjing terdengar sayup-sayup. Burung hantu terus menyanyi dengan semahumahunya. Angin bertiup dengan kencang. Pokok-pokok di belakang kami bergegar macam ada orang yang menggoyangkannya. Ada lembaga besar dan tinggi melintas di depan kami.
"Jangan tegur apa yang kamu lihat," datuk memberi pesan.
Saya dan Haji Salim anggukkan kepala. Lelaki yang berdiri di atas kubur berhenti berjalan. Berdiri di depan seorang lelaki yang berpakaian macamnya. Lelaki itu melompat dan melutut di depannya.
"Semua harta itu ada di dalam kubur kami. Kamu tidak boleh mengambilnya kalau tidak memenuhi syarat," orang berlutut bersuara.
"Apa syaratnya?"
"Kami mahu lidah dara sunti, bukannya kanak-kanak, syarat kedua kami mahu mengacau penduduk di sini dan syarat ketiga kamu semua harus datang ke sini pada setiap tengah malam Jumaat," selesai sahaja orang itu berkata-kata ia terus rebah. Tidak ada orang yang mahu menolong membangunkannya.
Orang yang mengelilingi kubur lama terus ketawa. Mereka bertepuk bila melihat orang yang rebah bangun dan terus duduk bersimpuh di depan lelaki yang berdiri.
"Syarat dari siapa?" tanya lelaki yang berdiri.
"Syarat dari aku, raja terawal yang memerintah negeri ini. Berasal dari utara," suara perempuan yang halus dan lunak. Ia membuka kain hitam yang menutup kepalanya.
Dengan pertolongan cahaya api, wajahnya mudah dilihat. Orangnya berkulit putih berambut panjang separas bahu. Orang lain yang mengelilingi kubur terus bertepuk tangan, macam orang tidak sedarkan diri.
Datuk terus mengarah saya dan Haji Salim supaya rapat ke kubur. Kami terus merangkak dengan perlahan-lahan. Berhenti merangkak bila berada di belakang orang-orang yang mengelilingi kubur lama itu.