"Kamu ni ada-ada saja," datuk terus meraba dan menggosok serta memicit pergelangan kaki saya. Berkerut muka saya menahan sakit. Sendawa saya bertalu-talu.
"Aku dah pesan. Setiap kali bangun tidur, jangan bangun terus. Pusing ke kanan sekali, pusing ke kiri sekali sambil gerakkan kaki dan tangan perlahan-lahan. Kemudian duduk dan membongkok dua tiga kali. Kemudian menggeliat perlahan-lahan dan tarik nafas panjangpanjang," datuk mula membebel.
"Saya jarang buat tuk."
"Inilah yang susah. Ada petua diberikan tetapi tidak mahu diamalkan. Tujuan aku suruh buat macam itu, untuk melembutkan urat, mengeluarkan angin dari badan dan perut. Lepas sembahyang Subuh terus tidur. Tidak makan tidak minum, akibatnya angin masuk perut," tambah datuk lagi.
Nenek yang baik hati terus menggosok-gosok bahu kanan dan kiri saya. Datuk bangun dan terus keluar. Dengan langkah yang tenang saya terus ke daput mencuci muka. Lepas ucui muka saya terus makan.
Bila perut diisi dengan nasi dan lauk-pauk, badan mula terasa segar dan malas mahu bergerak ke mana-mana. Saya sandarkan badan ke dinding. Datuk tetap dengan kerjanya di luar. Selesai menjemur jalan, ia meraut bilah lukah. Kadang-kadang saya merasa hairan dengan datuk. Setiap masa ada sahaja kerja yang dilakukannya. Ia seolah-olah tidak pernah merasa letih.
Setelah penat bersandar, saya bangun menuju ke arah serambi rumah. Baru tiga kali melangkah saya teringatkan tentang barang yang dibungkus oleh datuk malam tadi. Saya tidak tahu di mana datuk meletakkan barang tersebut. Saya terus mendapatkan datuk yang sedang meraut bilah lukah.
"Ha, apa yang kamu mahu. Kamu nak pergi menangkap burung?"
"Tidak tuk."
"Kalau bukan itu, apa yang kamu mahu?"
"Saya nak tanya tentang barang yang tuk bungkus malam tadi."
"Barang," datuk kerutkan dahi.
"Barang yang nampak bercahaya kemudian tuk bungkus," saya mengingatkan datuk.
Datuk senyum. Ia faham dan ingat kembali peristiwa yang dialami. Ia meninggalkan bilah-bilah lukah yang baru diraut separuh.
Datuk masuk bawah rumah, ia mengambil sesuatu dari gelegar rumah. Saya hanya melihat dari luar. Tetapi, saya tahu datuk meletakkan benda itu pada gelegar rumah yang ada kuda-kuda dan kuda-kuda itu pula mengarah hala matahari terbenam.
Tentu ada petua dan muslihat yang tertentu datuk melakukan semua itu. pada hal kalau diletakkan di mana-mana pun benda itu saya fikir tidak mendatangkan mudarat pada sesiapa saja.
Ah, datuk sudah tua ada pengalaman dan ada sedikit ilmu. Tentu dia tahu dengan apa yang dibuatnya, fikir saya.
Datuk keluar dari bawah rumah membawa bungkusan kain merah. Tanpa memanggil saya, datuk menuju ke halaman rumah. Ia membuat garisan bulat di tanah dengan ranting kayu. Bungkusan kain merah diletakkan di tengah dalam garisan bulat."Tamar ke mari," laung datuk. Saya terus berlari menghampiri datuk yang duduk bertinggung di luar garisan bulat. Peluh terus membasahi baju datuk dalam panas yang terik dan garang.
"Kamu bertinggung di sini."
Saya terus bertinggung di sisi datuk. Peluh-peluh halus mula meruap di muka saya. Dengan perlahan-lahan datuk membuka bungkusan kain merah.
Bila bungkusan itu terbuka, saya lihat biji telur burung puyuh. Datuk tidak menjamah telur tersebut. Ia menolak telur itu dengan ranting kayu supaya kedudukannya beratur lima sebaris.
Saya menggigit bibir. Pelik, telur yang sekecil itu boleh mengeluarkan api dan membakar dedaun kering. Memang sekali pandang telur puyuh itu tidak ada bezanya dengan telur puyuh yang sering saya temui di sarangnya.