Bantal Peluk Berjalan Malam

790 33 0
                                    

"Kita juga tidak percaya tapi ramai orang yang percaya dengan perkara yang karut-marut tu."

"Ajal maut milik Allah. Kalau ajal kita belum tiba, jatuh dalam gunung berapi pun kita hidup. Bila ajal dan janji kita sudah tiba, digigit semut pun kita mati."

"Kita jangan lupa, nyawa kita ini dipinjamkan oleh Allah pada kita. Bila sampai waktunya nyawa kita akan diambilnya. Jadi kenapa kita takut pada mati, kalau kita sudah membuat persiapan yang cukup," balas Haji Salim dengan tenang. Ketika ia berkata-kata tadi, saya lihat sinar matanya cukup tajam.

"Kita setuju," jawab datuk.

"Mari sembahyang, Isyak dah sampai,"

Haji Salim segera bangun. Ketika itu juga terdengar suara azan Isyak dari surau membelah ketenangan seluruh kampung.

"Kita jadi imam," tambah Haji Salim.

"Silakan," ujar datuk tersenyum.

"Nanti dulu," kata saya.

"Kenapa pula budak ni," keras sekali suara datuk.

"Saya terkentut dalam diam tuk."

"Ah kamu ni, ada ada saja. Pergi cepat."

Saya meluru ke bilik air. Saya terdengar suara ketawa dari haji dan datuk tingkah meningkah. Mereka geli hati dengan kelakuan saya. Memang kelemahan diri saya, air sembahyang saya cepat batal. Bila ada air sembahyang perut buat ragam dan sering mahu mengeluarkan udara kotor dari dalamnya.

Kalau tidak ada air sembahyang, perut tidak pula buat hal. Entah mengapa begini jadinya, mungkin dugaan pada orang yang ada air sembahyang terlalu banyak, fikir saya sendirian. Nantilah satu hari, mahu saya tanyakan hal itu pada Haji Salim.

Haji Salim mengambil tempatnya sebagai imam. Saya dan datuk berdiri hampir berlaga bahu. Memang pesan datuk kalau sembahyang jemaah mesti rapat, jangan ada ruang untuk syaitan lalu yang menggoda kita sembahyang.

Sembahyang Isyak dapat disempurnakan dengan aman. Haji Salim terus membaca doa. Suaranya cukup terang dan jelas sekali. Cara mendadak suaranya yang terang itu beransur lemah dan tidak kedengaran langsung.

Saya lihat Haji Salim terus rebah di tikar sembahyang. Datuk dan saya terus menghampirinya. Haji Salim kelihatan sukar untuk bernafas. Datuk segera mahu melakukan rawatan kecemasan.

"Tak payah, masanya sudah sampai," kata Haji Salim. Nafasnya beransur tenang. Ia terus merenung wajah datuk dengan senyum. Dengan susah payah Haji Salim melunjurkan kedua belah kakinya. Ia terus baring. Sepasang matanya merenung lelangit rumah dengan tenang.

Isterinya datang membawa bantal. Datuk segera mengambil bantal itu, terus mengenepikan ke kepala Haji Salim. Ia kelihatan lemah sekali.

"Maafkan aku, kalau ada tersilap dan kasar bahasa pada kamu," Haji Salim renung muka isterinya. Perlahan-lahan isterinya anggukkan kepala bersama wajah yang gusar.

"Begitu juga pada kamu Tamar," Haji Salim renung muka datuk dan saya.

Serentak datuk dan saya anggukkan kepala. Isteri Haji Salim mula tersedu dan datuk terus memujuk isteri Haji Salim supaya jangan menangis dan meraung. Ternyata isteri Haji Salim patuh dengan cakap datuk.

"Sahabat, kita nak tidur. Kita rasa bekalan kita sudah cukup," suara Haji Salim cukup lemah. Sinar matanya cukup redup menikam wajah datuk. Saya lihat datuk menarik nafas dengan rasa yang penuh berdebar.

Beberapa saat kemudian, saya lihat Haji Salim merapatkan kedua belah kelopak matanya dengan aman. Wajahnya nampak seakan-akan orang tersenyum. Datuk segera merasai perjalanan nadinya.

Siri Bercakap Dengan Jin (JILID 4)Where stories live. Discover now