"CUBA kau tengok Tamar, apa yang jatuh atas lantai," cukup lembut datuk mengeluarkan perintah. Dengan rasa jijik saya segera mematuhi cakap datuk. Saya periksa ulat-ulat yang ada atas lantai.
"Bukan ulat tuk," beritahu saya terketar-ketar.
"Kalau bukan ulat, apa bendanya?"
"Benang putih yang sudah reput dan bercerai-cerai, kalau dikumpulkan jumlahnya dekat tiga buku benang."
"Sebenarnya, penglihatan kita sudah disihir. Benang nampak macam ulat," datuk terus renung ke muka isteri Haji Salim. Datuk juga menyuruh isteri Haji Salim mencari tiga pucuk pisang tanduk yang belum kembang penuh.
Isteri Haji Salim menyediakan bahan-bahan tersebut. Tubuh Haji Salim diletakkan atas pucuk pisang tersebut, manakala kepalanya dilapik dengan badan kukur kelapa. Mata kukur yang bergigi seratus dicabut. Diikat pada ibu kaki kanan dan kiri Haji Salim.
Tubuh Haji Salim tidak menggeletar lagi. Ia terbaring kaku, macam orang pengsan. Beberapa minit kemudian, Haji Salim membuka mata. Mukanya yang pucat kembali menjadi merah. Pucuk pisang yang melapik badannya terus kecut dan layu, seperti kena api.
Haji Salim terus duduk. Bengkak di lengannya terus surut. Wajah datuk direnung oleh Haji Salim seketika, seolah-olah mengucapkan ribuan terima kasih. Datuk terus memeluk tubuh Haji Salim erat-erat.
"Kita sedar kita kena sihir, tapi tak terdaya melawannya. Pengaruh syaitan tu cukup kuat. Kita jadi lupa dengan beberapa ayat Quran yang perlu dibaca bila terasa diri disihir orang," beritahu Haji Salim pada datuk dalam keadaan suara yang terputus-putus.
Datuk terus menepuk-nepuk belakang Haji Salim sambil berkata:
"Rawatlah luka awak tu. Kalau tak boleh pergi saja ke klinik kerajaan."
"Rasanya, boleh dibuat cara kampung."
"Buatlah mana yang patut. Asalkan luka awak sembuh."
"Saya cuba. Dengan izin Allah, tetap sembuh."
Saya cuma tersenyum sahaja mendengarkan perbualan datuk dengan Haji Salim. Isteri Haji Salim juga tersenyum. Senyumnya tentu lebih lebar daripada saya. Suaminya sudah beransur pulih.
Datuk juga menceritakan pada Haji Salim tentang usahanya mencari rumah Dukun Pendekar yang mencari guru pada Daud. Haji Salim anggukkan kepala.
"Saya tidak mampu melawannya. Ilmu batinnya yang diapit syaitan cukup kuat," terang datuk dengan wajah kesal.
"Berusaha dan berikhtiarlah. Kalau dibiarkan ramai orang yang jahanam."
"Tengoklah, sebelah malam nanti saya pergi lagi ke pondoknya."
"Kalau begitu, biar saya ikut sama."
"Tak payahlah, diri awak belum cukup baik."
"Apa yang boleh saya tolong?"
"Awak doakan kejayaan saya."
"Saya berjanji."
Datuk terus bersalam dengan Haji Salim. Kami meninggalkan rumah Haji Salim. Waktu saya sampai di kaki tangga rumah datuk, matahari sudah pun berada di kaki langit. Beberapa ekor burung gagak berterbangan menuju ke sarang. Kelawar mula mengembangkan kepak mahu memulakan tugas mencari rezeki.
Saya renung ke langit, cukup bersih. Saya lihat keluang terus terbang berkawan-kawan mencari bunga durian. Cara kebetulan waktu itu musim durian berbunga di kampung saya. Terdengar sayup-sayup tembakan senapang kampung berlaras satu, berturut-turutan. Dan fahamlah saya tembakan itu dilepaskan oleh beberapa orang Cina yang datang dari Sitiawan dan Air Tawar yang suka makan daging keluang.