BAB 1

521 14 0
                                    

DENTUMAN guruh di dada langit menyentak Iris yang sejak tadi tekun menelaah di salah sebuah meja yang terdapat di dalam perpustakaan itu. Dia memandang sekeliling. Hanya terdapat dua tiga orang pelajar sahaja yang masih khusyuk melakukan kerja masing-masing di meja berhampiran. 

Iris menjeling jam di tangan. Jarum yang menginjak hampir ke pukul 6.00 petang membuatkan dahinya sedikit berkerut. Dia bergegas mengemas beberapa helai kertas catatannya yang berselerakan di atas meja. Semuanya diambil lalu dimasukkan ke dalam sebuah fail dengan kalut.

Sebuah buku rujukan yang sejak tadi menjadi tatapan matanya turut dicapai Iris sebaik dia menolak kerusi ke belakang. Langkah diatur menuju ke anak tangga untuk meninggalkan aras dua itu. Dalam diam dia berharap agar tidak ditimpa hujan pada petang ini.

Iris mengorak langkah tidak sabar menuju ke pintu utama perpustakaan dengan kedua-dua tangannya memeluk kemas buku rujukan dan fail. Dalam fikiran sudah terbayang wajah nenek kesayangan yang sedang menantinya di rumah bersama-sama dengan masakan kampung kegemarannya hasil air tangan neneknya itu.

Sebaik melangkah keluar dari perpustakaan, Iris menuju ke bilik lokar yang terletak di bahagian kiri perpustakaan itu. Beg sandangnya yang berwarna hitam yang diletakkan di dalam sebuah lokar kerana mematuhi peraturan perpustakaan, diambil seiring keluhan kecil yang dilepaskan.

"Hei!" Satu tolakan di belakangnya secara tiba-tiba mengejutkan Iris. Beg sandang yang baru diambil terlepas daripada genggaman tangan lalu terjatuh ke lantai. Laju kepalanya menoleh ke belakang apabila mendengar suara yang sudah tidak asing lagi di pendengarannya.

Kelihatan Balqis sedang memandang tepat kepada Iris dengan pandangan tidak puas hati. Turut kelihatan dua orang kawan baik Balqis iaitu Hani dan Lara. Kedua-dua gadis itu menghadiahkan senyuman sinis kepada Iris yang terkejut kerana disergah sebentar tadi oleh Balqis.

"Kau dah buat kerja yang aku suruh?" Balqis menyoal sambil melirik susuk Iris atas dan bawah.

Iris serba salah untuk memberikan reaksi. Takut sudah semestinya apabila mengenangkan reaksi Balqis yang bakal diterima dengan jawapan yang akan diberikan oleh dirinya.

"Kau pekak ke apa ni?! Aku tanya, kau dah buat ke kerja yang aku suruh tu? Dah siap ke belum?" Balqis meninggikan suara kerana geram dengan Iris yang kaku setempat tanpa sebarang jawapan.

"Ajar aje budak ni Qis. Bodoh!" Hani bersuara menambahkan lagi bara yang sedia ada dalam hati Balqis.

"Betul tu Qis. Jangan-jangan, memang dia tak siapkan lagi. Tapi, keluar masuk perpustakaan bukan main lagi," tambah Lara dengan nada sinis.

Balqis menolak bahu Iris yang masih diam membatu.

"Kau dengar ke tak?! Kerja aku mana?!" herdik Balqis dengan penuh geram. Kalaulah tidak mengenangkan bilik lokar itu berdekatan dengan perpustakaan, ingin saja dia mengajar Iris yang dirasakan seakan-akan sengaja ingin mengundang kemarahannya pada petang itu.

"Be... belum..." Terketar-ketar suara Iris cuba mengatur ayat ingin memberikan jawapan kepada Balqis.

"Hah! Kan betul Qis I cakap tadi. Memang belum siap," celah Lara dengan beria-ia.

"Tapi... tapi, saya dah sediakan semuanya. Cuma nak print macam biasa aje lepas tu. Lagipun saya nak semak balik untuk pastikan semuanya betul." Iris bersuara membela diri.

Balqis mengecilkan pandangan matanya apabila mendengar jawapan Iris. Dia tahu selama ini pun belum pernah Iris berbohong kepadanya. Markah-markah yang diperolehinya hasil kerja Iris pun memang memuaskan hati. Dia menolah, memandang kepada Hani dan Lara sambil mengangkat kening.

"Okey. Aku pegang kata-kata kau. Apa yang aku tahu, kerja tu siap macam biasa. Faham?!" Balqis sengaja mengeraskan suaranya untuk menakut-nakutkan Iris yang memang sudah ketakutan itu.

MANGSAWhere stories live. Discover now