MALAM itu malam yang panjang buat Iris. Dia yang baru keluar dari kolong tadi memapah pula jasad neneknya yang kini sudah tidak bernyawa untuk dibawa ke katil. Tubuh tua itu dibaringkan dengan cermat. Untuk sejenak Iris bagaikan patung apabila hanya mampu memerhati jasad kaku neneknya itu.
Air matanya berguguran saat mengenangkan dia kini sudah tidak punya sesiapa lagi di dunia ini. Satu-satunya ahli keluarga yang dia ada sudah menjadi jasad yang tidak bernyawa. Satu perkara yang terlintas dalam benaknya membuatkan Iris segera menyapu kedua-dua pipinya dengan tapak tangan. Langkahnya dilajukan ke almari dengan rasa tidak sabar.
Pakaian yang elok terlipat dicampak ke lantai. Kotak kayu yang disimpan di dalam almari itu dicapai sebaik terlihat oleh pandangan matanya. Iris menggeledah isi kandungan kotak kayu itu untuk mencari surat yang ditinggalkan oleh neneknya.
Surat yang sebelum ini hanya sempat dibaca sedikit saja isi kandungannya, kini sudah berada di tangannya.
Sepasang mata Iris meniti dari baris ke baris. Air matanya bergenang semula apabila membaca patah demi patah yang tercatat di atas surat itu. Beberapa minit berlalu sehingga Iris selesai membaca dua keping surat yang ditinggalkan oleh neneknya.
"Yalah! Mestilah cantik kalau dah si neneknya pun memakai. Kau ingat dia nak biarkan cucu dia macam tu aje? Aku tahu mesti si Seruni tu pun turunkan ilmu hitam dia tu kepada budak tu."
Kata-kata Mak Cik Asiah yang pernah diberikan kepadanya dahulu terngiang-ngiang semula di hujung telinga Iris. Sekarang semuanya sudah jelas sekarang. Patutlah... patutlah orang kampung mempunyai tanggapan begitu kepada neneknya. Kepada arwah datuknya.
Iris menapak semula ke katil. Wajah neneknya direnung.
"Apa yang orang nak buat sekarang, nek?" rintih Iris. Dia terduduk di birai katil. Jasad neneknya didakap sambil melepaskan esakan. Sungguh dia tidak sanggup kehilangan neneknya sekarang. Kalaulah tidak kerana Rizal... Tidak! Bukan saja Rizal.
Iris mendongakkan kepala. Memandang wajah neneknya yang kaku.
"Indra... Indra kan, nek?" soal Iris seakan-akan neneknya boleh mendengar apa yang sedang diperkatakannya.
Iris bingkas bangun dari katil. Surat yang dipegangnya disimpan kembali ke dalam kotak kayu. Gulungan kertas yang diikat benang pula diambil. Sisa air matanya diseka dengan tapak tangan. Riak wajahnya berubah apabila mengenangkan isi kandungan surat neneknya tadi.
Mengapa mereka harus dibiarkan? Mengapa keluarganya yang harus menanggung selama ini?
Gulungan kertas itu dibuka dengan tangan yang sedikit menggeletar. Iris membaca baris-baris yang tertera. Wajahnya berkerut apabila meneliti sebaris ayat.
"Rambut si mati daripada keturunanmu perlu dicari. Ikatkan ia dan simpulkan ia sepenuh hati. Nafas yang baru akan diberi. Rambut nenek ke?" Iris menggerutu seorang diri. Dia menoleh sejenak ke tubuh neneknya yang berada di atas katil.
Baris-baris yang tercatat itu kembali ditatap. Berulang kali dibaca sehingga ke baris yang terakhir. Iris mengangguk-angguk perlahan. Dia sudah faham apa yang harus dilakukannya sekarang. Iris bergegas bangun selepas menyimpan semula gulungan kertas itu ke dalam kotak kayu tersebut. Dia harus melakukannya sekarang. Langkah segera diatur menuju ke luar rumah. Sebaik menuruni anak tangga ke halaman rumah, mata Iris terus terarah pada basikal miliknya. Kelihatan sebatang cangkul yang tersandar di situ. Dia tergesa-gesa mengenakan selipar lalu mencapai cangkul tersebut.
"Jumpa Lebai Hisyam, ya?"
Pinta terakhir neneknya yang bergema dalam benaknya membuatkan langkah Iris yang baru diatur terhenti. Seraut wajah Lebai Hisyam, imam kampung itu terbayang di ruang mata. Patutkah dia menuruti sahaja permintaan neneknya itu? Mungkin Lebai Hisyam lebih tahu apa yang harus dilakukan sekarang.
YOU ARE READING
MANGSA
Mystery / ThrillerTajuk: MANGSA Penulis: DAISY ZAHRA ISBN: 978-967-2116-11-0 Harga: RM24.00 / RM27.00 Satu peristiwa hitam yang menimpa Iris telah mengubah segala-galanya. Daripada seorang gadis yang kurang keyakinan diri, dia bangkit semula ingin melunaskan dendam...