RIZAL menghirup sisa air yang masih berbaki di dalam tin minuman itu sehingga ke titisan yang terakhir. Tin minuman itu kemudiannya dilemparkan ke tanah lalu dipijak dengan geram. Dalam fikirannya sekarang terbayang seraut wajah Iris. Bibirnya tersenyum sinis apabila mengenangkan apa yang bakal dilakukan sebentar lagi kepada gadis itu.
Dia mengerling sekeliling kawasan yang sunyi sambil mengorak langkah dengan penuh berhati-hati. Kelihatan rumah yang didiami oleh Iris dan neneknya itu gelap-gelita. Sesekali dia menampar geram lehernya yang menjadi tempat persinggahan nyamuk.
"Sial!" Rizal menggerutu geram. Kalaulah tidak mengenangkan usahanya mengekori Iris siang tadi dengan meminjam motosikal salah seorang kawannya, tidak ingin dia berlama-lama di situ.
Setelah mengetahui di mana tempat tinggal gadis itu, dia pulang semula ke kampus untuk menghantar semula motosikal yang dipinjamnya. Selepas itu, dia menaiki sebuah teksi selepas isyak tadi untuk menghantarnya ke kedai runcit yang berhampiran. Dari kedai itulah dia membeli air minuman sebagai bekalannya sementara menunggu hari gelap. Sebatang pemutar skru mata Philips turut dibelinya untuk membantu menjayakan misi yang dirancang sendirian.
"Sekejap lagi kau tahulah nasib kau Iris!" ujar Rizal dengan penuh geram.
Kata-kata Iris siang tadi di dalam dewan peperiksaan masih terngiang-ngiang di hujung telinganya.
Rizal menapak perlahan-lahan mendaki anak tangga menuju ke beranda. Pemutar skru mata Philips yang disimpan di dalam kocek dikeluarkan. Sesekali dia menjeling keadaan sekeliling. Ulas bibirnya menguntumkan senyuman apabila mengenangkan keadaan yang memudahkan kerjanya. Kedudukan rumah itu yang jauh terpisah dari rumah-rumah yang lain membuatkan dia berani memilih untuk memasuki rumah itu melalui arah hadapan.
Beberapa kali mengumpil tingkap, satu bunyi yang kedengaran membuatkan Rizal menarik nafas lega. Melihatkan keadaan rumah itu pun, dia sudah menjangkakan bukannya susah sangat hendak menceroboh masuk.
Dari beranda rumah, Rizal memanjat masuk melalui tingkap yang telah diumpil. Matanya melingas sekeliling ruang tamu yang hanya diterangi oleh cahaya lampu kalimantang yang malap.
Iris yang nyenyak tidur di sisi neneknya terjaga apabila mendengar bunyi. Dia bangun berteleku di katil. Sempat dia mengerling neneknya yang masih nyenyak tidur. Selimut yang menutupi tubuh tua itu dibetulkan sebelum pandangan matanya ditalakan ke pintu bilik yang bertutup. Dia bangun meninggalkan katil.
Pintu bilik dikuak perlahan-lahan. Iris melangkah keluar dengan raut wajah yang berkerut. Bunyi yang didengarinya tadi sudah tidak kedengaran lagi. Mungkin telinganya salah mendengar?
Sebaik melangkah keluar dari bilik, langkah kaki Iris terhenti. Sepasang matanya tidak berkerdip apabila melihat susuk tubuh Rizal sudah terpacak berdiri di ruang tamu. Kelihatan lelaki itu juga seperti tergamam sejenak apabila melihat dirinya yang baru saja muncul dari bilik tidur.
"Hah... ada pun kau. Aku baru nak masuk bilik yang tu tadi," kata Rizal sambil menuding ke bilik yang paling hampir dengan ruang tamu.
Pandangan mata Iris tidak berganjak mengikut arah telunjuk Rizal. Sememangnya itu adalah bilik yang dihuninya sebelum dia takut tidur keseorangan selepas apa yang ketiga-tiga lelaki itu lakukan kepadanya.
Iris mengerling salah satu tingkap yang terbuka sebelum merenung kembali kepada Rizal. Apa yang lelaki itu pernah lakukan kepada dirinya kembali terbayang dalam fikiran tanpa dipinta. Nafasnya turun naik menahan rasa yang bergelodak dalam hati.
"Berani kau datang menceroboh ke sini? Apa lagi yang kau nak hah?!" Iris bertempik geram.
"Hehehe..." Rizal tertawa kecil. Bukannya dia tidak nampak raut wajah gadis itu yang sedang menahan marah. Tetapi, ekspresi Iris langsung tidak memberi kesan kepada dirinya. Apa yang dia tahu, tujuannya harus dilunaskan pada malam ini sebelum dia berangkat pulang ke Kuala Lumpur pagi esok bersama-sama Haikal dan Nizam.
![](https://img.wattpad.com/cover/152965724-288-k871417.jpg)
YOU ARE READING
MANGSA
غموض / إثارةTajuk: MANGSA Penulis: DAISY ZAHRA ISBN: 978-967-2116-11-0 Harga: RM24.00 / RM27.00 Satu peristiwa hitam yang menimpa Iris telah mengubah segala-galanya. Daripada seorang gadis yang kurang keyakinan diri, dia bangkit semula ingin melunaskan dendam...