BAB 2

296 12 0
                                    

SESEKALI Seruni mengerling Iris yang begitu berselera menikmati juadah makan malamnya. Ulas bibirnya tersenyum kecil melihat cucu kesayangannya yang tidak pernah gagal pulang ke rumah setiap kali cuti hujung minggu.

"Nek, bila masa nenek bakar ikan kembung ni?" Iris melepaskan soalan seiring jari-jemarinya yang lincah mencubit isi ikan lalu disuapkan ke dalam mulut. Nikmat sungguh rasanya apabila menjamah makanan yang sememangnya sukar hendak dicari di kampus atau kafe universiti.

"Tadi," jawab Seruni sepatah sambil tersenyum.

"Cepatnya? Dah tu, Iris tak bau apa-apa pun. Bukan selalu tu, kalau nenek bakar ikan guna sabut akan ada bau ke? Kuat pula tu bau dia sampai ke dalam rumah," bebel Iris sambil terus menyuap nasi.

Seruni hanya tersenyum segaris mendengar kata-kata cucu perempuannya itu. Dia mendiamkan diri sambil menyambung suapannya sebelum kembali bersuara.

"Tak baik kan cu kalau bercakap banyak sambil makan?"

Soalan yang kedengaran membuatkan Iris terkedu. Baru saja dia ingin menyoal lagi kenapa dia tidak bau apa-apa pun ketika neneknya membakar ikan-ikan kembung itu tadi.

"Selalu tu, nenek guna banyak sabut. Tapi tadi, nenek guna sikit aje. Ada tu kat belakang rumah kalau Iris nak tengok," tambah Seruni selepas beberapa minit. Nasi di pinggannya sudah pun licin.

Iris menggelengkan kepala. Macam tahu-tahu pula neneknya yang dia sedang berkira-kira untuk melihat bara sabut yang akan berbekas kalau digunakan untuk membakar ikan.

"Nenek dah habis makan. Nanti Iris kemaskan semua ni ya? Kalau nak belajar, jangan sampai lewat sangat." Seruni menitipkan pesanan sebelum bangun daripada duduknya.

"Baik, nek." Iris tersenyum kepada neneknya. Pesanan yang sama yang sering kali diberikan oleh neneknya. Matanya mengikut susuk neneknya yang sedang memanjat anak tangga menuju ke ruang tengah rumah. Ruang tengah itulah yang menjadi pemisah di antara ruang tamu dan ruang dapur. Di ruangan tengah itu juga terletak bilik neneknya.

Iris menyambung suapannya. Hatinya merasa tenang apabila berada di sini bersama-sama dengan nenek kesayangannya. Biarpun serba-serbi sederhana, dia senang begitu.

Setelah selesai makan, Iris mengemaskan pinggan-pinggan kotor. Semuanya dibawa ke singki lalu terus dicuci. Neneknya pantang melihat pinggan mangkuk yang kotor dibiarkan bersepah di dalam singki. Selesai mencuci pinggan mangkuk, Iris mencapai tudung saji untuk menutup saki-baki lauk yang masih ada. Tikar mengkuang yang menjadi alas duduknya dengan nenek tadi, turut diperhati kalau-kalau masih ada sisa makanan yang tertumpah. Semuanya bersih.

Setelah berpuas hati dengan keadaan ruang dapur itu, Iris memanjat anak tangga menuju ke biliknya. Sempat dia menekan suis lampu yang menerangi ruangan tersebut sebelum meneruskan langkahnya.

"Dah selesai kemas, cu?"

Suara yang menegur mengejutkan Iris yang leka dengan fikirannya sendiri. Tugasan Human Resource Management yang diberikan oleh Balqis membuatkannya tidak senang duduk selagi belum diselesaikan. Mata Iris segera terarah kepada satu susuk yang sedang duduk bertimpuh sambil menyandar di tiang seri.

"Nek... orang ingat tadi nenek dah tidur," ujar Iris sambil mengatur langkah ke arah neneknya yang sedang tersenyum-senyum.

"Isy! Selepas makan, tak elok kalau terus berbaring." Seruni mengerutkan wajahnya sambil menggelengkan kepala.

Iris duduk bertimpuh di depan neneknya. Satu bekas yang elok terletak di depan lutut neneknya menarik pandangan mata. Biarpun sudah puas diperhati bekas itu sejak dia kecil lagi, tetapi setiap kali melihatkan bekas tersebut, wujud satu rasa yang sukar diterjemah. Hatinya melonjak-lonjak ingin tahu.

MANGSATempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang