BAB 4

176 7 0
                                    

BALQIS yang sedang duduk di salah sebuah meja yang terdapat di medan selera kampus itu segera mengalihkan pandangannya apabila lengannya disiku oleh Lara yang duduk di sisinya.

"Tu... tu..." Lara memuncungkan mulut ke satu arah.

"Biarlah. Dia dah bagi pun kerja yang I minta minggu lepas tu," ujar Balqis tersenyum bangga kerana Iris masih mengikut arahannya seperti dahulu. Dia menyambung kembali menatap surat khabar yang baru saja dibeli dari kedai koperasi.

Bukan setakat Balqis, tetapi Hani dan tiga orang lagi rakan lelaki sekelas dengan mereka ikut menoleh ke arah yang ditunjukkan oleh Lara tadi.

"Kenapa?" Haikal melepaskan soalan tanda tidak faham. Apa yang dia nampak adalah beberapa orang pelajar yang lalu-lalang di luar kawasan medan selera. Tiada apa-apa yang pelik pun kelihatan pada pandangan matanya tadi.

"Tu, si Iris tu. Takkan tak nampak tadi?" balas Lara sambil melepaskan jelingan.

"Oh! Iris..." Haikal menyahut sambil tersenyum-senyum. Kening diangkat kepada dua orang lagi kawannya.

Rizal dan Nizam yang sedang minum air turut tersengih-sengih.

"Eii! Gatal!" Hani mencebik apabila melihatkan keletah tiga orang pelajar lelaki itu.

"Iris tu cantik kut," ujar Haikal sambil terus tersenyum.

"Betul, betul. Baik pun baik," tambah Rizal pula.

"Cantik? Serius? Muka macam tu cantik? Tolonglah!" balas Lara sambil menjuihkan bibir. Roti sandwicnya yang masih berbaki terus dikunyah.

Balqis yang sedang membaca surat khabar mengerling sekilas kepada Haikal yang memegang status sebagai teman lelakinya.

"Ya? Cantik?" Balqis melepaskan soalan kepada Haikal sambil mengangkat keningnya.

Haikal yang masih tersenyum-senyum tadi berdeham sekali dua sebelum menjawab soalan Balqis. Nada suara gadis itu yang sinis sudah biasa di pendengarannya.

"Maksud I, cantik kalau nak dibandingkan dengan perempuan-perempuan lain di dalam universiti ni. Tapi, kalau nak dibandingkan dengan you, memang taklah. Macam langit dengan bumi," sahut Haikal dengan nada serius.

Tangan Balqis yang duduk bertentangan dengannya diraih lalu dielus lembut. Ulas bibirnya memberikan senyuman yang paling manis kepada teman wanitanya itu.

"Yalah tu. Cakap ajelah yang you memang nak puji si Iris tu cantik kan? Macamlah I tak kenal perangai you tu!" balas Balqis, ingin terus memancing reaksi buah hatinya. Sempat dia mengerling rakan-rakan mereka yang hanya membatukan diri, tidak ingin masuk campur perbualannya dengan Haikal yang mungkin akan bertukar menjadi perang bila-bila masa saja.

"Sayang..." Haikal menggenggam erat jari-jemari Balqis yang ingin ditarik semula oleh tuan empunya badan daripada genggaman tangannya.

"Sayang, macamlah you tak tahu cita rasa I macam mana. Kalaulah betul I nak si Iris tu, dari dulu lagi I ambil dia jadi teman wanita I. Tapi, I tak buat macam tu kan? Sebab apa? Sebab I nak you. You yang setaraf dengan I," kata Haikal sambil terus tersenyum kepada Balqis.

Balqis tersenyum lebar apabila mendengarkan kata-kata Haikal. Hati yang sememangnya dipenuhi rasa cinta untuk lelaki itu, kini dibaja pula dengan rasa percaya apabila mendengar kata-kata Haikal yang cukup meyakinkan dirinya. Lagipun, bukannya sehari dua dia mengenali Haikal, tetapi sudah lama. Mereka membesar bersama-sama dan rapat sejak kecil lagi kerana hubungan persahabatan yang terjalin antara keluarga masing-masing.

"Eleh! Entah betul ke tidak apa yang you cakapkan tu," celah Lara dengan nada sinis.

"Eh! Betullah. Ini Haikal okey? Demi Balqis, bukan setakat cinta, jiwa raga dan nyawa I pun I sanggup serahkan tau tak?" balas Haikal dengan bersungguh-sungguh. Tangannya yang menggenggam tangan Balqis terus dieratkan.

MANGSAWhere stories live. Discover now