HAMPIR seminggu berlalu sejak kejadian hitam yang menimpa Iris. Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum bermulanya peperiksaan akhir, tetapi Iris langsung tidak menyentuh buku-buku yang dibawa pulang. Dia lebih banyak termenung dan menangis.
Seruni memerhati tingkah Iris. Sudah beberapa jam cucunya itu duduk menghadap ke jendela. Pandangan kosongnya dibuang ke luar. Puas dipujuk supaya Iris membuat pemeriksaan kesihatan untuk membolehkan laporan polis dibuat, tetapi cucunya itu enggan. Alasan utama Iris adalah dirinya malu. Malu untuk berhadapan dengan doktor dan pihak berkuasa. Juga, malu untuk berhadapan dengan mereka yang lain yang berada di universiti setelah tersebarnya berita itu seandainya laporan polis dilakukan.
"Iris..." Seruni menyeru sebaris nama cucu kesayangannya. Bahu Iris disentuh lembut untuk menarik perhatian cucunya itu.
Iris tidak menoleh. Pandangannya terus dilemparkan ke luar jendela memerhati langit yang cerah dihiasi tompokan awan.
"Tak nak makan lagi ke cu? Pagi tadi pun Iris tak makan," luah Seruni berbaur bimbang. Sejak kejadian itu, Iris tidak lagi seperti dahulu. Makan minumnya kalau tidak dipaksa oleh Seruni, jawabnya Iris tidak akan menjamah langsung makanan atau minuman.
Diam. Iris langsung tidak bersuara. Kata-kata neneknya bagaikan angin lalu di hujung telinganya.
Seruni tidak dapat membendung air matanya apabila melihat keadaan Iris yang sebegitu. Walaupun Iris berada di depan matanya sekarang, tetapi terasa bagaikan dia sudah kehilangan satu-satunya cucu yang dimiliki di dunia ini. Hanya jasad Iris yang terlihat, tetapi fikiran dan jiwanya entah di mana. Dia melabuhkan duduk di sisi Iris.
Seruni memeluk erat Iris yang masih merenung ke luar jendela. Wajah cucunya itu sedikit pucat. Tangisannya dilepaskan di bahu Iris. Rambut cucunya diusap dengan penuh kasih sayang.
"Jangan macam ni, Iris. Apa yang dah berlaku tetap dah berlaku. Kita tak dapat mengubah perkara tu, cu. Kalau Iris terus macam ni, macam mana dengan pelajaran? Iris cakap dulu Iris nak jadi usahawan yang berjaya. Ingat tak?" luah Seruni dalam esakan.
Diam. Iris tidak memberikan sebarang reaksi. Dia tidak rasa mahu bersuara. Apa yang neneknya tidak tahu adalah kewujudan rakaman kejadian itu. Sebab itu dia memberikan alasan malu untuk menjalani pemeriksaan untuk membolehkan laporan dibuat. Hanya sepasang matanya yang masih setia merenung ke awan. Ucap kata dan perilaku neneknya bagaikan tidak meninggalkan sebarang bekas langsung dalam hatinya. Kosong. Dunia dirasakan tidak bermakna lagi buat dirinya. Kenapa harus dia? Kenapa mereka sanggup melakukan perkara itu kepada dirinya? Tanpa sedar, air matanya turut menitis.
"KAU orang ada nampak Iris?" Balqis melepaskan soalan itu sebaik melabuhkan punggung ke kerusi. Suasana di medan selera di universiti itu agak lengang pada tengah hari itu kerana ramai pelajar pulang ke rumah masing-masing untuk menghabiskan masa rehat selama satu minggu yang diberikan oleh pihak universiti sebelum bermulanya peperiksaan akhir.
"Entah, tak nampak pun," balas Haikal. Dia menoleh kepada Rizal sambil mengangkat kening.
"Isy! Mana aku tahu. Aku bukannya teman lelaki dia pun," balas Rizal sambil mengangkat bahu.
Balqis menyedut air minumannya yang baru dibeli tadi. Sesekali dia merenung Lara yang tersenyum kepadanya.
"Kenapa? Takkan kau rindu dia kut?" Sinis Lara menyoal.
"Bukan rindu, tapi aku peliklah. Takkanlah dia tak balik sini? Lusa dah nak mula dah peperiksaan kita. Takkan dia tak nak ambil peperiksaan?" ujar Balqis.
"You, biarlah si Iris tu. Yang you nak risau sangat dah kenapa?" soal Haikal. Terselit sedikit rasa tidak puas hati dalam nada suaranya.
"Bukan risau, tapi..."
"Macam ni tak risau you cakap? Ikut suka dialah nak balik ke sini ambil peperiksaan tu ke tak. Yang penting, lepas ni kita semua tamat belajar. Lepas tu, balik ke Kuala Lumpur dan tinggalkan ceruk ni. Betul tak?" balas Haikal sambil memandang mereka yang lain.
Balqis menyungging senyum. Sungguh dia tidak sabar hendak meninggalkan universiti ini dan menyambung pelajarannya di Kuala Lumpur.
BUNYI yang kedengaran memaksa Iris membuka matanya pada malam itu. Dia mengerling ke sisi kanannya. Kelihatan neneknya duduk menyandar sedang menutup mulut dengan sehelai sapu tangan untuk menahan batuknya.
Seruni mengerling Iris yang sedang memerhatikannya. Dalam payah, dia cuba mengukirkan senyuman.
"Nenek buat Iris terjaga, ya?"
Iris tidak menjawab. Hanya sepasang matanya mengerdip sebagai jawapan. Sejak apa yang menimpa dirinya, tidurnya bertemankan nenek. Dia trauma dengan apa yang berlaku. Setiap kali menutup mata mencari lena, pasti kejadian itu akan terbayang semula dalam fikirannya. Adanya nenek di sisinya, dia berasa lebih selamat.
"Nenek dah tua, cu. Batuk ni... uhuk! Uhuk!"
Tidak sempat hendak meneruskan kata-katanya, Seruni batuk lagi. Sedaya upaya dia menutup mulutnya dengan sapu tangan sejak batuknya menyerang untuk tidak mengganggu Iris yang sedang tidur. Tapi, tidak berjaya. Sejak akhir-akhir ini, tubuhnya dirasakan semakin lemah. Cuma tidak diberitahu kepada Iris kerana mengenangkan apa yang baru terjadi kepada cucunya itu.
"Batuk tu dah semakin teruk, kan?" sambung Iris. Dia yang tadinya berbaring, bingkas bangun lalu melangkah turun dari katil. Sebotol minyak angin di atas meja kecil dicapai lalu dia berlalu semula ke atas katil.
Sedikit minyak itu dituang lalu disapukan ke dada neneknya. Seruni hanya memerhati raut wajah Iris.
Cucunya yang dulu periang kini sudah berubah tingkah. Ulas bibir yang selalunya banyak celoteh itu kini lebih banyak membisu. Sedar tak sedar, air mata Seruni mengalir di kedua-dua belah pipinya. Kasihan cucunya. Siapa yang sanggup merosakkan Iris?
"Kenapa, nek?" soal Iris risau. Untuk seketika, dia lupa pada apa yang menimpa dirinya. Kini, apa yang menjadi kerisauannya adalah kesihatan neneknya. Kalaulah terjadi apa-apa kepada neneknya, kepada siapa lagi dia boleh bergantung? Siapa yang akan mengambil berat akan dirinya kelak?
Seruni menggeleng perlahan. Pantas air matanya diseka dengan tapak tangan. Semput di dadanya tidak seberat apa yang bersarang dalam fikirannya sejak perkara buruk yang terjadi kepada cucunya itu. Tangan Iris yang sejak tadi mengurut di dadanya dicapai lalu digenggam erat.
"Iris..."
"Ya, nek." Iris pantas menyahut. Kedua-dua kelopak matanya sudah pun digenangi air apabila mendengar suara perlahan yang lahir daripada ulas bibir neneknya. Kesihatan neneknya yang semakin hari semakin buruk hanya menambahkan beban dalam hatinya sekarang.
"Dengar cakap nek, cu. Iris... uhuk! Pelajaran..." Seruni bersuara sepatah-patah dalam kepayahan.
Iris terus menganggukkan kepalanya biarpun neneknya belum sempat meluahkan kata. Bukannya dia tidak sedar yang hampir setiap hari neneknya memujuknya untuk menduduki peperiksaan akhir itu demi masa depannya.
"Pergi ya, cu?" Seruni terus memujuk.
Iris mengangguk lagi. Kali ini dengan kedua-dua pipinya yang basah dengan air mata. Dia tidak berdaya untuk terus kekal dengan keputusannya apabila melihat keadaan neneknya yang sebegitu. Ya, demi neneknya, dia akan pergi. Lagipun ini adalah kali terakhir dia akan berhadapan dengan ketiga-tiga lelaki tidak berguna itu, kan?
YOU ARE READING
MANGSA
Mystery / ThrillerTajuk: MANGSA Penulis: DAISY ZAHRA ISBN: 978-967-2116-11-0 Harga: RM24.00 / RM27.00 Satu peristiwa hitam yang menimpa Iris telah mengubah segala-galanya. Daripada seorang gadis yang kurang keyakinan diri, dia bangkit semula ingin melunaskan dendam...